#36 Monopoli Barang Dalam Islam dan Syor Mengatasinya

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mutakhir ini, saya dapati sebahagian daripada harga barangan mula naik mencanak. Antaranya seperti, makanan dan minuman serta keperluan ramai orang. Sebagai contoh, harga beras yang meningkat. Terdapat pelbagai alasan dan hujah diberikan. Salah satu sebab yang boleh jadi berlaku ialah dengan sebab barangan kegunaan disorok agar akhirnya di pasaran seperti hypermarket, supermarket, kedai-kedai runcit dan pasar-pasar kekurangan bahan keperluan itu. Akhirnya, harga meningkat dan ketika itulah barangan tersebut telah mendapat harga baru yang jauh lebih tinggi daripada harga sebelumnya. 

Justeru, dalam ruangan Mawaqif pada kali ini, saya fokuskan kepada isu Monopoli Barang (al-Ihtikar) dan Solusinya. Semoga ia dapat memberi kefahaman yang menyeluruh dan sampai kepada pihak berwajib agar dapat menguruskan masalah harga barang yang melampau ini dengan penuh rasa tanggungjawab, perikemanusiaan, ihsan, dan rahmah. Sudah pasti ia amat membantu kelangsungan kehidupan golongan yang sukar dan susah.

Definisi Ihtikar

Perbuatan menaikkan harga barangan atau menyembunyikan barangan untuk dinaikkan harganya oleh seseorang peniaga adalah amat dilarang. Perbuatan ini termasuk dalam larangan daripada melakukan ihtikar. Saya nukilkan di sini beberapa definisi ihtikar berdasarkan pandangan ulama’ dari pelbagai mazhab seperti berikut:

  • Imam al-Nawawi mendefinisikan ihtikar sebagai: “Seseorang yang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan. Akan tetapi dia tidak menjualnya pada waktu itu, sebaliknya dia menyembunyikannya agar dapat menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/43)
  • Imam al-Syirazi menyebut, bahawa ihtikar adalah: “Seseorang yang membeli barang pada waktu harganya tinggi, dan menahannya bagi tujuan menaikkan harganya.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 2/64)
  • Imam al-Ghazali menyatakan bahawa ihtikar adalah: “Penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikkan.” (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/24)
  • Imam al-Haskafi menyatakan, ihtikar adalah: “Membeli makanan atau selainnya dan menahannya sehingga tinggi harganya selama 40 hari.” (Lihat Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar, 2/547)
  • Imam al-Barbarati menyebut bahawa ihtikar adalah: “Menahan makanan dengan tujuan menunggu masa yang sesuai untuk menaikkan harganya.” (Lihat al-’Inayah Syarh al-Bidayah, 8/126)
  • Imam al-Baji menyebut, al-ihtikar adalah: “Menyimpan barang yang dibeli dan meraih untung dengan turun naik harga pasaran.” (Lihat al-Muntaqa, 5/15)
  • Imam al-Ramli menyatakan bahawa ihtikar adalah: “Membeli (barang) pada waktu yang ghala’ (harga melambung) di mana kebiasaannya dia menyimpannya dan menjualnya kembali dengan harga yang lebih tinggi kerana kekurangan sumber pada ketika itu.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/472)
  • Sayyid Sabiq menyatakan bahawa ihtikar adalah perbuatan membeli suatu barang dan menyimpannya agar barang tersebut berkurang dalam kalangan masyarakat sehingga harganya meningkat, dan sehingga manusia menghadapi kesulitan akibat kekurangan dan mahalnya harga barang tersebut. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/103)

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, boleh diringkaskan bahawa istilah ihtikar bermaksud seseorang membeli barangan keperluan manusia, lalu dia menyimpannya sehingga waktu krisis kekurangan barang, kemudian dia menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dia beli. Barangan keperluan ini dianggap sebagai bahan keperluan asas bagi manusia. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 2/64; al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 8/126 dan al-Muntaqa, 5/15)

Ia juga bermaksud membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran ketika barangan tersebut amat diperlukan oleh pengguna. Barangan tersebut dihimpun dan disorok dengan tujuan menaikkan harganya berlipat kali ganda dan kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan mengeksloitasi keperluan orang ramai. 

Hukum Monopoli Barang

Perbuatan monopoli barang jelas dilarang sepertimana yang ditegaskan dalam hadith Nabi SAW. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Mu’ammar al-Adawi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan monopoli barang. Jika tidak, dia termasuk orang yang bersalah (berdosa).”

Riwayat Muslim (1605)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Ahli bahasa menyebut bahawa makna ‘خَاطِئٌ’ di sini adalah seorang yang berdosa. Para ulama’ menyatakan bahawa hikmah daripada pengharaman monopoli barang ini adalah bertujuan bagi menolak kemudaratan terhadap orang ramai. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/358)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Perbuatan seperti ini adalah haram berpandukan hadith Nabi SAW:

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan monopoli barang. Jika tidak, dia termasuk orang yang bersalah (berdosa).”

Riwayat Muslim (1605)

Jika orang ramai amat memerlukan makanan asasi tersebut, atau keadaan menjadi darurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa oleh pemerintah untuk menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah. Jika dia ingkar, hakim boleh menjual barangan tersebut bagi pihaknya dan hasil jualan diserahkan kepadanya. 

Imam al-Kasani menyatakan monopoli barang adalah kerana dilihat pada kemudaratan yang boleh berlaku kepada pihak masyarakat ramai. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 7/129)

Al-Qadhi al-Ruyani menyatakan bahawa monopoli barang secara umumnya haram sepertimana diriwayatkan oleh Nabi SAW di mana Baginda melarang monopoli barang makanan. (Lihat Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’i, 5/177)

Monopoli barang hanya berlaku pada barang asas sahaja yang melibatkan makanan pada waktu di mana kekurangan sumber. Al-Khatib al-Syarbini menyebut: “Dikhususkan pengharaman monopoli barang pada perkara makanan asas.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/392)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Meskipun Islam menjamin kebebasan individu untuk berjual beli dan bersaing secara sihat, tetapi tidak bersetuju dengan sikap mementingkan diri sendiri dan tamak dalam mengembangkan harta dengan mengorbankan orang lain, walaupun terhadap makanan dan keperluan asasi manusia.

Ancaman kepada Pemonopoli (Muhtakir)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan hukum monopoli barang adalah haram. Kami langsungkan lagi dengan dalil-dalil yang memberi amaran keras kepada yang pemonopoli. 

Atas sebab itu, diriwayatkan larangan melakukan pembolotan atau monopoli menerusi ungkapan-ungkapan keras yang mengharamkannya. Antaranya, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

مَنِ احْتَكَرَ الطَّعَامَ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً فَقَدْ بَرِئَ مِنَ اللَّهِ وَبَرِئَ اللَّهُ مِنْهُ 

Maksudnya: “Sesiapa yang  melakukan memonopoli barang makanan selama 40 malam, maka dia sudah berlepas diri daripada Allah, dan Allah juga berlepas diri daripadanya (tanpa keredaan dan keberkatan).”

Riwayat Ahmad (4880), Abu Ya’la (5746) dan al-Hakim (2165). Hadith ini dinilai dha’if dalam Ghayah al-Maram.

Daripada Mu’ammar R.A, sabda Nabi SAW:

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ

Maksudnya: “Tiada yang melakukan monopoli barang itu melainkan dia seorang yang bersalah.”

Riwayat Muslim (2605)

Perkataan “bersalah” di sini bukanlah suatu perkataan yang ringan, yang boleh diremehkan. Ini kerana, perkataan seumpama itu jugalah pernah digunakan dalam al-Quran al-Karim terhadap pembesar-pembesar yang zalim dan sombong, seperti Firaun dan Haman berserta tentera-tentera mereka, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran al-Karim, firman Allah SWT:

 إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.”

(Surah al-Qasas: 8)

Sifat pentingkan diri sendiri yang ada pada diri si pembolot ini terserlah pada satu kenyataan yang diriwayatkan:

 بِئْسَ الْعَبْدُ الْمُحْتَكِرُ، إِذَا سَمِعَ بِرُخْصٍ سَاءَهُ، وَإِذَا سَمِعَ بِغَلَاءٍ فَرِحَ بِهِ

Maksudnya: “Seburuk-buruk peribadi itu adalah orang yang suka memonopoli. Apabila dia mendengar harga barang murah, dia merasa kecewa. Dan apabila dia mendengar harga barang mahal, dia amat gembira.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (186) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (11215) dengan sedikit perbezaan lafaz. Dinyatakan sebagai dha’if dalam Ghayah al-Maram (326).

Daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْجَالِبُ مَرْزُوقٌ وَالْمُحْتَكِرُ مَلْعُونٌ

Maksudnya: “Orang yang membekalkan barang keperluan diberi rezeki, sementara orang yang melakukan monopoli barang pula dilaknat.”

Riwayat Ibn Majah (2153), ‘Abd bin Humaid dalam al-Musnad (33) dan al-Darimi (2586). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad (8/486).

Ini kerana, peniaga mendapatkan manfaat menerusi salah satu daripada dua cara ini:

  • Bentuk pertama, iaitu dia menyimpan barangan untuk dijual dengan harga yang tinggi. Ketika orang ramai mencari barangan itu, mereka tidak menemuinya. Kemudian, muncul orang yang begitu memerlukannya. Ini sehingga mereka sanggup mengerahkan apa sahaja bagi mendapatkannya meskipun harganya keterlaluan dan melampaui batas. Ini adalah perbuatan membolot atau monopoli.
  • Bentuk kedua pula adalah, peniaga mendapatkan barangan, lalu dijual dengan beroleh untuk yang tidak seberapa. Tidak lama selepas itu, dia berniaga lagi, lalu mendapat untung. Kemudian, dia mendapatkan barangan lain dan beroleh sedikit untung lagi. Begitulah seterusnya. Cara mendapatkan manfaat ini lebih selari dengan kepentingan masyarakat dan lebih berkat. Peniaga sebegini mendapat rezeki sebagaimana yang dikhabar oleh hadith di atas.

Terdapat riwayat yang menyatakan tentang kegiatan membolot atau monopoli dan bermain dengan harga ini. Ia diriwayatkan oleh Ma’qil bin Yasar ketika beliau ditimpa sakit yang teruk. Lalu Ubaidullah bin Ziyad (Gabenor Kerajaan Umawiyah) datang menziarahi beliau. Kata beliau kepada Ma’qil: “Adakah kamu tahu wahai Ma’qil, bahawa aku ini sudah menumpahkan darah yang haram?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu.” Ubaidullah mengatakan lagi, “Adakah kamu tahu, aku ini sudah masuk campur dalam urusan penetapan harga orang-orang Islam?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu.” Kemudian Ma’qil pun berkata: “Dudukkanlah aku.”

Lalu Ubaidullah pun mendudukkan beliau, lalu Ma’qil pun berkata: “Dengar sini wahai Ubaidullah, supaya aku dapat beritahu kamu sesuatu yang aku tidak pernah dengar sekali mahupun dua kali daripada Rasulullah SAW. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَخَلَ فِي شَيْءٍ مِنْ أَسْعَارِ الْمُسْلِمِينَ لِيُغْلِيَهُ عَلَيْهِمْ، فَإِنَّ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ يُقْعِدَهُ بِعُظْمٍ مِنَ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang masuk campur dalam urusan penetapan harga orang-orang Islam bagi tujuan untuk meninggikan harganya ke atas mereka, maka berhaklah bagi Allah SWT untuk menempatkannya di tempat yang sangat dahsyat di dalam neraka kelak pada hari Kiamat.”

Riwayat Ahmad (20313), al-Tayalisi dalam al-Musnad (980) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8/285). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad (8/485)

Mendengar hal itu, Ubaidullah berkata: “Kamu mendengar ini daripada Rasulullah SAW?” Ma’qil menjawab: “Ya, bukan sekali atau dua kali aku mendengarnya.” Iaitu dengan maksud banyak kali.

Berdasarkan nas-nas hadith ini beserta kefahamannya, para ulama’ mengemukakan hukum haram melakukan perbuatan monopoli dengan dua syarat:

  • Ia berlaku di dalam negeri yang menjejaskan penduduknya pada waktu itu.
  • Tujuan perbuatan itu adalah untuk menjadikan harga barangan mahal ke atas orang ramai bagi tujuan menggandakan keuntungan. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 474)

Faktor yang Menyebabkan Kenaikan Harga Barang

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menyatakan bahawa kenaikan harga tidak semuanya disebabkan ketidakadilan. Ada faktor lain yang mempengaruhinya iaitu kekuatan pasaran antara penawaran (supply) dan permintaan (demand). 

Berikut dinyatakan beberapa yang mempengaruhi permintaan serta implikasinya terhadap harga barang:

  • Keinginan masyarakat terhadap pelbagai jenis barang yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini sesuai dengan keadaannya yang nadir atau bukan pada barang-barang yang selalu dibeli. Semakin sedikit jumlah suatu barang yang tersedia, semakin diminati barang tersebut oleh masyarakat.
  • Jumlah mereka yang menginginkan satu-satu barangan. Jika jumlah masyarakat yang menginginkan barang tersebut semakin banyak, harga barang tersebut akan semakin meningkat dan begitu juga sebaliknya.
  • Lemah atau kuatnya permintaan terhadap sesuatu barang dan besar atau kecilnya ukuran permintaan. Apabila permintaan besar, maka harga akan naik. Sebaliknya, jika permintaan kecil dan lemah, harga akan turun.
  • Kualiti pembeli, iaitu sekiranya pembeli adalah seorang yang kaya dan diyakini mampu membayar hutang, maka harga yang diberikan lebih rendah. Sebaliknya, harga yang diberikan lebih tinggi jika pembeli adalah seorang yang muflis, suka melambatkan pembayaran hutang dan tidak memandang serius akan hutangnya.
  • Jenis wang yang digunakan dalam transaksi jual beli, di mana harga akan lebih rendah jika pembayaran dilakukan dengan menggunakan wang yang umum dipakai (naqd raj’i) daripada wang yang jarang dipakai.
  • Tujuan transaksi yang menghendaki adanya kepemilikan timbal balik antara kedua belah pihak. Harga suatu barang yang telah tersedia di pasaran lebih rendah daripada harga suatu barang yang belum ada di pasaran. Begitu juga halnya, harga akan lebih rendah jika pembayaran dilakukan secara tunai daripada pembayaran yang dilakukan secara ansuran.
  • Besar atau kecilnya belanja yang perlu dikeluarkan oleh pengeluar atau penjual. Semakin besar belanja yang diperlukan oleh pengeluar atau penjual untuk menghasilkan atau memperoleh barang, maka akan semakin tinggi pula harga yang diberikan. Begitu juga sebaliknya.

Implikasi Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barangan secara bertali arus bukan sahaja membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana bahkan dibimbangi akan meningkatkan lagi kadar jenayah dalam masyarakat. 

Kenaikan harga barang yang tidak terkawal mengakibatkan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat kerana terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan boleh mengundang kegiatan jenayah termasuk ragut, rompakan, keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial.

Begitu juga, dengan sebab kenaikan harga barang maka ramailah golongan yang tidak mampu seperti B40 dan mungkin M40 terpaksa berhutang. Silap hari bulan mereka mengambil jalan pintas dengan berhutang kepada Ah Long. Ini mengakibatkan bunga yang tinggi yang akhirnya mereka terperangkap dalam hutang sehingga menjadi hamba yang terpaksa menggadai maruah diri dan harta benda yang mereka punya. 

Ini juga menjadikan kehidupan mereka tidak lagi tenang dan stabil. Akan timbullah dalam masyarakat, dua darjat, level kayangan dan kaya-raya dan sepihak lagi yang menjadi jumlah yang ramai, golongan marhaen, fakir miskin dan naif, yang hidup mereka hanya mencari sesuap nasi. Hanya bertujuan ingin melangsungkan kehidupan dan bukan lagi matlamat untuk menjadi kaya-raya dan senang-lenang. 

Jika ini tidak diatasi, tidak pelik negara dalam keadaan tidak stabil. Begitu juga, akan banyak berlaku tindakan yang tidak waras dan tidak lagi menepati kehendak kehidupan dalam meraih kebahagiaan. Boleh jadi, akan bertambah pesakit mental, kemurungan, bahkan sikap ingin membunuh diri kerana tidak mampu bertarung dalam kehidupan yang mengganas. 

Jenis Barang

Menurut Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, larangan monopoli barang khusus untuk makanan asasi, seperti beras, jagung, kurma dan anggur. Tidak semua makanan haram dilakukan monopoli barang. Hanya makanan asasi sahaja yang haram untuk dimonopoli. Hal ini kerana jika dilakukan monopoli barang pada selain daripada barang makanan, maka ia tidak akan mendatangkan kesan negatif. (Lihat al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar, 2/642)

Dalam konteks Malaysia, antara barangan yang juga dianggap sebagai makanan asasi atau keperluan semasa oleh kebanyakan rakyat Malaysia termasuklah tepung, beras, gandum, minyak masak, ayam, ikan, daging, telur, sayur-sayuran, garam, gula, dan beberapa bahan-bahan mentah yang lain. 

Jika ini selamat daripada monopoli barang, kebarangkalian untuk kenaikan harga barang tidaklahmencanak dan harganya boleh jadi lebih rendah. Inilah yang rakyat biasa harapkan – khasnya kepada kerajaan – bagi meringankan bebanan kehidupan mereka.

Bentuk Monopoli

Pelbagai bentuk monopoli boleh dilakukan oleh golongan taikun atau tauke-tauke besar terutamanya barangan yang menjadi keperluan asasi manusia. Sepanjang pengamatan saya, antara bentuk tersebut ialah:

  • Barangan hanya dapat dibeli melalui mereka sahaja.
  • Hanya mereka mempunyai lesen atau kebenaran khas
  • Harga barangan keperluan di pasaran tidak ditambah dan dilihat amat berkurangan dan dihadkan sehingga rakyat terpaksa berebut-rebut.
  • Beberapa tauke-tauke besar telah membeli secara pukal atau secara besar-besaran barangan keperluan dan mereka sengaja membiarkan seolah-olah barangan keperluan tidak mencukupi. Apabila harga telah naik, mereka akan keluarkan barangan milik mereka untuk dijual.
  • Adanya golongan ketiga atau keempat yang telah memonopoli harga barang sehingga tidak sampai ke tangan pengguna kecuali dengan harga yang mungkin berkali-kali ganda dari harga asal. 

Pendekatan Pemimpin Islam Terdahulu dalam Menyelesaikan Isu Monopoli Barang 

Antara contoh pemimpin Islam terdahulu dalam mengatur ekonomi Islam dengan berkesan adalah seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab R.A. Beliau turun sendiri ke lapangan rakyat bagi melihat perjalanan kehidupan harian mereka supaya menepati hukum Islam. Beliau juga memastikan agar rakyat melaksanakan ajarannya dengan betul serta meninggalkan kemungkaran yang menjadi punca kemusnahan umat terdahulu.

Khalifah Umar R.A turun ke pasar dengan pakaiannya yang kasar dan bertampung, sambil memegang kayu yang kecil bagi melihat perjalanan urusan muamalat dalam kalangan umat Islam. Kemudiannya, apabila melihat jumlah umat Islam semakin ramai, maka ‘Umar R.A menugaskan pegawai penguatkuasa. Antaranya ialah al-Sa’ib bin Yazid, ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud dan lain-lain.

Kadang-kadang ‘Umar R.A bertanyakan hukum Islam kepada para peniaga serta mengingatkan mereka tentang kewajipan fardhu ‘ain kepada sesiapa yang berniaga supaya mengetahui hukum muamalat. (Lihat Fiqh Siyasah Khalifah Umar R.A, hlm. 484)

Diriwayatkan daripada Farrukh Maula Uthman, katanya:

أَنَّ عُمَرَ – وَهُوَ يَوْمَئِذٍ أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ – خَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَرَأَى طَعَامًا مَنْثُورًا، فَقَالَ: مَا هَذَا الطَّعَامُ؟ فَقَالُوا: طَعَامٌ جُلِبَ إِلَيْنَا، قَالَ: بَارَكَ اللهُ فِيهِ وَفِيمَنْ جَلَبَهُ، قِيلَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ فَإِنَّهُ قَدِ احْتُكِرَ. قَالَ: وَمَنِ احْتَكَرَهُ؟ قَالُوا: فَرُّوخُ مَوْلَى عُثْمَانَ، وَفُلانٌ مَوْلَى عُمَرَ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِمَا فَدَعَاهُمَا، فَقَالَ: مَا حَمَلَكُمَا عَلَى احْتِكَارِ طَعَامِ الْمُسْلِمِينَ؟ قَالا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، نَشْتَرِي بِأَمْوَالِنَا، وَنَبِيعُ، فَقَالَ عُمَرُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” مَنِ احْتَكَرَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ طَعَامَهُمْ، ضَرَبَهُ اللهُ بِالْإِفْلاسِ، أَوْ بِجُذَامٍ “، فَقَالَ فَرُّوخُ عِنْدَ ذَلِكَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، أُعَاهِدُ اللهَ وَأُعَاهِدُكَ، أَنْ لَا أَعُودَ فِي طَعَامٍ أَبَدًا، وَأَمَّا مَوْلَى عُمَرَ، فَقَالَ: إِنَّمَا نَشْتَرِي بِأَمْوَالِنَا وَنَبِيعُ. قَالَ أَبُو يَحْيَى: فَلَقَدْ رَأَيْتُ مَوْلَى عُمَرَ مَجْذُومًا

Maksudnya: Pada suatu hari, ketika Umar – yang pada masa itu adalah Amir al-Mu’minin – keluar ke masjid, dia melihat makanan yang terhampar di tanah. Beliau bertanya, “Apakah makanan ini?” Mereka menjawab, “Ini adalah makanan yang dibawa kepada kami.” Umar berkata, “Semoga Allah memberkati makanan ini dan orang yang membawanya.” Mereka mengatakan, “Wahai Amir al-Mu’minin, makanan ini telah diambil oleh seseorang.” Umar bertanya, “Siapa yang mengambilnya?” Mereka menjawab, “Seorang hamba milik Uthman dan seorang hamba milikmu sendiri.” Kemudian Umar mengirim seseorang untuk memanggil mereka berdua. Ketika mereka berdua datang, beliau bertanya kepada mereka, “Apa yang membuat kamu berdua mengambil makanan orang-orang Muslim ini?” Mereka menjawab, “Wahai Amir al-Mu’minin, kami membeli makanan ini dengan harta kami dan niat kami adalah untuk menjualnya.” Umar kemudian mengatakan, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata, ‘“Sesiapa sahaja yang melakukan ihtikar makanan orang Islam, maka dia tidak meninggal sebelum terkena muflis atau penyakit kusta.” Pada saat itu, hamba Uthman berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, aku berjanji kepada Allah dan kepada kamu bahwa aku tidak akan pernah lagi mengambil makanan seperti ini.” Sedangkan hamba Umar berkata, “Kami hanya membeli dan menjual dengan harta kami sendiri.” Abu Yahya berkata, “Saya melihat hamba Umar pada waktu itu mengalami penyakit kusta.”

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (135; 1/283-284), al-Tayalisi (55), Abd bin Humaid (17). Hadith ini juga disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam al-’Ilal al-Mutanahiyah (2/606) dan beliau menyatakan Abu Yahya al-Makki dalam sanad ini majhul. Manakala al-Zahabi dalam al-Mizan (4/322) menyatakan Abu Yahya al-Makki tidak dikenali dan khabarnya munkar.

Diriwayatkan daripada Ismail bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Abi Rabiah, daripada bapanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ خَرَجَ إِلَى السُّوقِ فَرَأَى نَاسًا يَحْتَكِرُونَ بِفَضْلِ أَذْهَابِهِمْ، فَقَالَ عُمَرُ: ” لَا، وَلَا نِعْمَةَ عَيْنٍ، يَأْتِينَا اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِالرِّزْقِ حَتَّى إِذَا نَزَلَ بِسُوقِنَا قَامَ أَقْوَامٌ فَاحْتَكَرُوا بِفَضْلِ أَذْهَابِهِمْ عَنِ الْأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ، إِذَا خَرَجَ الْجُلَّابُ بَاعُوا عَلَى نَحْوِ مَا يُرِيدُونَ مِنَ التَّحَكُّمِ، وَلَكِنْ أَيُّمَا جَالِبٍ جَلَبَ يَحْمِلُهُ عَلَى عَمُودِ كَبِدِهِ فِي الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ حَتَّى يَنْزِلَ سُوقَنَا فَذَلِكَ ضَيْفٌ لِعُمَرَ فَلْيَبِعْ كَيْفَ شَاءَ اللهُ، وَلْيُمْسِكْ كَيْفَ شَاءَ اللهُ “

Maksudnya: “Bahawa Umar bin al-Khattab keluar ke pasar dan melihat orang-orang yang menaikkan harga barang-barang mereka dengan mengambil kesempatan daripada keperluan orang lain. Umar berkata, “Tidak, dan tidak akan ada mata air rezeki. Allah Azza wa Jalla memberikan rezeki kepada kita sehingga apabila Dia menurunkannya ke pasar kita, ada orang-orang yang menaikkan harga barang-barang mereka dengan mengeksploitasi (ihtikar) orang-orang yang janda dan miskin. Apabila penjual barang-barang kain keluar, mereka menjualnya dengan harga yang mereka suka. Tetapi sesiapa yang mendatangkan barang-barang kain ini dengan meletakkannya di atas pundaknya dalam cuaca panas dan sejuk, sehingga ia sampai ke pasar kita, maka itu adalah tetamu untuk Umar. Dia boleh menjualnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan mengekalkannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11152). Beliau menyatakan bahawa Imam Malik menyebut riwayat ini secara mursal dalam al-Muwatta’.

Selain itu, langkah yang diambil oleh Khalifah Uthman R.A terhadap sesiapa yang melakukan monopoli barang juga adalah selari sepertimana tindakan yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab R.A sebelumnya, sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Termasuk dalam senarai di atas adalah sebarang cara yang jahat untuk mendapat keuntungan tanpa bersikap mesra dan kasihan terhadap masyarakat. Hal ini termasuklah perbuatan monopoli barang sebagai salah satu sifat negatif yang ditegaskan dalam hadith  Rasulullah SAW. (Lihat Fiqh Siyasah Khalifah Uthman R.A, hlm. 164)

Dari undang-undang pencegahan Islam dalam perkara ini:

  • Larangan melakukan talaqqi al-rukban (memintas pedagang), dan tidak menjual kepada orang pedalaman. Akan tetapi harus memberikan peluang kepada orang pedalaman apabila mereka datang untuk menjual di pasaran dengan harga yang memuaskan mereka dan yang mereka redha.
  • Orang Islam seharusnya membeli daripada sesama Islam untuk mengurangkan import dan penjualan syarikat multinasional yang mendominasi (ihtikar).
  • Pasaran harus dibiarkan terbuka untuk semua orang untuk menjual sesuai kehendak mereka. Kumpulan kartel yang dikawal oleh broker, pedagang, dan mereka yang mempunyai kepentingan dalam pasaran harus dipantau dan dihadkan untuk mengurangkan amalan monopoli ini. (Lihat al-Hawi oleh al-Mawardi, 5/409; Maqasid al-Syar’iyyah oleh Ibn ‘Asyur)

Imam Malik meriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab R.A pernah berkata:

 لَا حُكْرَةَ فِي سُوقِنَا. لَا يَعْمِدُ رِجَالٌ، بِأَيْدِيهِمْ فُضُولٌ مِنْ أَذْهَابٍ، إِلَى رِزْقٍ مِنْ رِزْقِ اللهِ نَزَلَ بِسَاحَتِنَا. فَيَحْتَكِرُونَهُ عَلَيْنَا. وَلَكِنْ أَيُّمَا جَالِبٍ جَلَبَ عَلَى عَمُودِ كَبِدِهِ فِي الشِّتَاءِ، وَالصَّيْفِ. فَذلِكَ ضَيْفُ عُمَرَ. فَلْيَبِعْ كَيْفَ شَاءَ اللهُ. وَلْيُمْسِكْ كَيْفَ شَاءَ اللهُ.

Maksudnya: “Tidak ada monopoli barang dalam pasar kita. Orang-orang yang memiliki kelebihan dalam bentuk wang tidak sepatutnya memanfaatkannya atas rezeki yang Allah turunkan kepada kita dengan mengeksploitasikannya (Ihtikar). Sebaliknya, sesiapa yang membawa barang ke pasar, yang didatangkan dengan usaha dan kesulitan, baik dalam cuaca musim sejuk atau panas, dia adalah tetamu Umar. Maka, biarkan dia boleh menjual sebagaimana Allah kehendaki, dan dia boleh menahan sebagaimana Allah kehendaki.

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2398)

Ibnu Taimiyyah berkata: “Oleh itu, pemerintah seharusnya memaksa orang untuk menjual barang yang mereka miliki pada harga pasaran semasa dalam situasi keperluan orang ramai kepadanya. Contohnya, seseorang yang memiliki makanan yang tidak dia perlukan sedangkan orang lain dalam keadaan kelaparan, maka dia harus dipaksa untuk menjual makanan itu pada harga pasaran semasa. Oleh itu, para Fuqaha’ menyatakan: Seseorang yang terpaksa untuk membeli makanan daripada orang lain boleh mengambilnya pada harga pasaran semasa tanpa pilihannya, walaupun penjual itu menolak untuk menjual pada harga tersebut. Dia hanya berhak mendapatkan harga pasaran semasa, dan penentuan harga yang tidak adil adalah dilarang, dan harga yang adil adalah dibenarkan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 28/75)

Dalam mengatasi isu monopoli barang ini, Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya sentiasa ada sifat rahmah dalam perkara muamalah dan jual beli bagi semua pihak sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ , سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: “Allah mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.”

Riwayat al-Bukhari (2076), al-Tirmidzi (1320), Ibn Majah (2203) dan Ahmad (14699)

Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli. Hal ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan. Manakala kelebihan di akhirat, Nabi SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh Nabi SAW, maka hendaklah dia mengikuti saranan Nabi SAW dan beramal dengannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/189)

Syor dan Cadangan

Saya cadangkan seperti berikut:

  • Menggubal akta yang lebih khusus dari sekadar Akta Sewa Beli 1967, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Persaingan 2010, dan Akta Kawalan Bekalan 1961. Saya sedia maklum yang Akta Anti Monopoli belum diwujudkan di Malaysia kerana saiz pasaran dagangan dalam negara belum cukup besar. Pun begitu, usaha ke arahnya wajar digerakkan dengan lebih serius. Antara yang penting adalah mewujudkan takrifan yang jelas tentang aktiviti yang dilarang seperti penetapan harga dan peruntukan pasaran (market allocation).
  • Menguatkan pengawasan kawal selia dengan meningkatkan keupayaan pihak berkuasa kawal selia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memantau dan menguatkuasakan peraturan monopoli barang dengan berkesan. Ia juga boleh dicapai dengan melabur dalam teknologi dan analisis data untuk mengesan herotan pasaran (market distortion) dengan segera.
  • Perlu wujud ketelusan pada peringkat harga, pengeluaran, dan inventori, terutamanya berkait barangan utama. Kerajaan sudah ada sistem aduan yang baik melalui https://eaduan.kpdn.gov.my/ dan ia perlu diuar-uarkan lagi agar lebih ramai masyarakat mengetahuinya.
  • Memupuk persaingan sihat melalui pembangunan dasar yang menggalakkan kemasukan pasaran baharu dan memperbanyak insentif bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju. Sedikit sebanyak, Ia telah diterjemahkan oleh Kerajaan melalui inisiatif Ekonomi MADANI. Namun saya berharap, pihak berkaitan perlu memberi perhatian yang lebih serius untuk melaksanakannya.
  • Perlindungan pengguna melalui pemerkasaan undang-undang perlindungan pengguna dan pelancaran kempen pendidikan untuk memaklumkan rakyat tentang hak-hak sebagai pengguna. Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 (atau Akta 599) telah berkuatkuasa pada 15 November 1999 untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan pengguna. Sejak itu, pindaan telah dibuat sebanyak tujuh kali dan saya pasti lebih penambahbaikan boleh dibuat.
  • Pengalaman yang berlaku apabila tercetusnya peperangan antara Rusia dan Ukraine sejak lebih 2 tahun lalu, maka harga barangan mentah naik mencanak kerana Ukraine juga salah sebuah negara pengeluar utama makanan asasi dunia seperti gandum, jagung dan lain-lain. Maka, kerjasama dalam rangka kerja ASEAN perlu terus digiatkan melalui polisi persaingan ASEAN, perkongsian maklumat yang berkesan, dan jaringan pihak berkuasa persaingan serantau yang memainkan peranan penting dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan persaingan, bagi membanteras monopoli barang.
  • Kita perlu berfikir bagaimana dengan penggunaan teknologi, Mok De yang berada di Kuala Berang mampu memasarkan produknya sampai ke Kuala Lumpur dengan jaminan peluang keuntungan yang adil. Ini hanya akan terlaksana dengan menggalakkan inovasi dan teknologi, yang boleh mengganggu monopoli tradisional dan meningkatkan persaingan ekonomi. Contoh mudah ialah pendekatan penghantaran makanan melalui aplikasi, merevolusikan industri restoran dengan menawarkan lebih banyak pilihan, harga yang telus dan kemudahan. Inovasi ini mendorong restoran tradisional untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, mewujudkan pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Penutup

Sesungguhnya, monopoli barang adalah perbuatan yang dilaknat oleh manusia dan orang ramai. Ini amat membimbangkan jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk menangani isu seperti ini. Sudah pasti, ia akan membawa kepada pertambahan kartel-kartel yang tidak bertanggungjawab. 

Tugas membaikpulih kerosakan ini bermula dengan Kerajaan. Saya teringat kisah kegusaran Sultan Abdul Hamid II iaitu antara Khalifah Uthmaniyyah yang terakhir. Bilamana harga barang di negaranya naik, beliau sanggup menyamar untuk mendengar hakikat sebenar dan denyut nadi masyarakat sehingga akhirnya beliau telah membuat suatu keputusan yang berani dalam menangani isu tersebut. Semoga Allah SWT merahmati Sultan Abdul Hamid II.

Marilah sama-sama kita berjihad membasmi kekurangan makanan dalam negara kita dan kenaikan harga barang dengan bertindak mengikut lunas undang-undang, khususnya di peringkat kesedaran awam. Kuasa penuh adalah di tangan Kerajaan dnan saya meletakkan sepenuh keyakinan bahawa Kerajaan mampu menanganinya dengan sebaik mungkin, insya-Allah.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.” 

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *