Pempengaruh, Awas Bahaya Ghibah

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hari ini, Jumaat, 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H, kami menyampaikan khutbah yang bertajuk Pempengaruh, Awas Bahaya Ghibah di masjid Sultan Abdul Samad berhampiran KLIA, Sepang. 

Merasakan betapa pentingnya isu ini diketengahkan maka, kami jadikannya dalam siri Mawaqif kami. Moga-moga ia memberi manfaat kepada kita semua dalam berinteraksi dalam medsos sama ada di Twitter, Facebook, Tiktok dan Instagram. Sesungguhnya, hi-tech dan medsos moden banyak mempengaruhi kehidupan manusia dan yang paling kita takuti pempengaruh boleh merubah pemikiran seseorang termasuk bangsa dan masyarakat sesebuah negara. 

Justeru, peri pentingnya tajuk ini diangkat untuk kesedaran ummah dalam membuat sebarang bentuk komentar atau forward maklumat yang diperolehi yang kadang-kadang separa matang atau tidak tepat dengan fakta yang sebenar. 

Ghibah (غيبة)

Ghibah (غيبة) secara istilah adalah menyebutkan sesuatu perkara yang terdapat pada diri seseorang Muslim, sedangkan ia tidak suka (jika hal itu disebutkan). Baik dalam soal jasmaninya, agamanya, kekayaannya, hatinya, akhlaknya, bentuk lahiriyahnya dan sebagainya. Cara melakukan ghibah juga bermacam-macam. Di antaranya dengan mengetengahkan keaibannya dan meniru tingkah-laku atau gerak-geri tertentu dengan bertujuan untuk memperolokkannya.

Ghibah itu merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bahkan ghibah itu bukan sahaja dengan kata-kata, malahan dengan perbuatan juga. Ada seorang wanita yang menemui ‘Aisyah R.Anha. Tatkala wanita itu hendak keluar, ‘Aisyah berisyarat pada Nabi SAW dengan tangannya untuk menunjukkan bahawa wanita tersebut pendek. Nabi SAW lantas bersabda:

قَدْ اغْتَبْتِيهَا

Maksudnya: “Engkau telah mengghibahnya.” 

Riwayat Abu Daud (4875) dan Ahmad (25049). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim dalam takhrij al-Musnad.

Dosa ghibah ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ

Maksudnya: “dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Menurut Ibn Kathir, Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/377)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menjelaskan bahawa Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara muslimnya, kerana ia akan menyebabkan berlaku pengumpatan dan mencerca. Ia jelas perkara yang diharamkan kerana boleh membawa sehingga tertanam di dalam hatinya perasaan yang buruk terhadap rakan muslimnya dan menimbulkan permusuhan sesamanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/801)

Sekiranya kita aktif di media sosial seperti di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, kita akan mendapati bahawa terdapat pempengaruh yang mengisi kandungan media sosialnya dengan menceritakan tentang kesilapan orang lain, atau memaparkan kesalahan orang lain sehingga menimbulkan rasa malu pada pelaku kesalahan tersebut, walaupun kesalahan itu kecil. Malahan ada yang memaparkan kesilapan orang lain sehingga menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat. 

Al-Syaukani dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir menyebut, “Allah SWT memisalkan ghibah ini dengan memakan bangkai seseorang. Kerana bangkai sama sekali tidak mengetahui siapa yang memakan dagingnya. Ini sama keadaannya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengghibah dirinya.” 

Beliau juga menjelaskan maksud pada ayat di awal perbincangan ini terkandung isyarat bahawa kehormatan manusia itu sebagaimana dagingnya. Jika daging manusia saja diharamkan untuk dimakan, begitu pula dengan kehormatannya dilarang untuk dimalukan. 

Ayat ini menjelaskan agar setiap Muslim menjauhi perbuatan ghibah kerana ia adalah perbuatan yang teramat keji dan mungkar, begitu juga tercelanya orang yang melakukan ghibah.

Marilah kita lihat bagaimana Rasulullah SAW menjelaskan bagaimana ghibah itu boleh berlaku. Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ‏؟‏‏ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ‏.‏ قَالَ :‏ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ ‏ ‏.‏ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ :‏ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ .‏ ‏

Maksudnya: “Tahukah kamu, apakah ghibah itu?” Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang ia tidak sukai.” Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku bicarakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah berbuat fitnah.” 

Riwayat Muslim (2589), Ibn Hibban (5759)

Perkataan ghibah berasal daripada (اغْتَابَ – يَغْتَابُ), diambil daripada perkataan  (غَيَبَ) yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Hal ini kerana hakikat daripada perbuatan ghibah adalah mencela atau menyebut aib seseorang ketika orang yang dicela tidak ada di hadapannya. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/403; Minhatu al-’Allam, 10/238)

Imam al-Nawawi berkata: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/142) Menurut Imam al-Nawawi lagi, ungkapan (بِمَا يَكْرَهُ)  mengandungi makna umum, iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan, sama ada ia berkait dengan masalah agama, atau masalah dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj,  16/142)

Sedangkan ucapan yang bohong atau tuduhan yang melulu tanpa asas kepada seseorang maka ia tidak dianggap sebagai ghibah sebaliknya lebih teruk lagi, ia dikenali sebagai buhtan (بُهْتَان).

Al-Qurtubi berkata: “Para ulama telah sepakat bahawa ghibah termasuk dosa besar. Mereka berdalilkan dengan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.” 

Riwayat Muslim (3179)

Daripada hadis di atas juga, kita dapat fahami bahawa:

  • Perbuatan ghibah itu adalah mengumpat atau gosip dan merupakan perbuatan dosa
  • Ghibah juga adalah menceritakan atau melakonkan sesuatu yang buruk yang ada pada diri orang lain
  • Ghibah, mengumpat, gosip boleh berlaku melalui lisan, tulisan atau melalui bahasa isyarat
  • Walaupun yang dibicarakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, ia adalah fitnah
  • Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan gossip dan mengumpat melalui media sosial sama ada melalui FB, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau forward akhirnya ianya menjadi fitnah. 

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat:12)

Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 139-140/26)

Bahaya Menyebarkan Fitnah dan Ghibah

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” 

(Surah al-Nur: 19)

Rasulullah SAW melarang keras umatnya daripada melakukan ghibah melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَنَاجَشُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ‏.‏ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ ‏.‏ التَّقْوَى هَا هُنَا -‏ وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ – ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ‏. بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu saling mendengki, janganlah saling tanajusy (menyakiti dalam jual beli), janganlah saling membenci, janganlah saling membelakangi (mendiamkan), dan janganlah menjual di atas jualan saudaranya. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara untuk muslim lainnya. Kerana itu, dia tidak boleh berbuat zalim, memulaukan, berdusta, dan menghina yang lain. Takwa itu di sini, baginda SAW memberi isyarat ke dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang berdosa jika ia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” 

Riwayat al-Bukhari (6064) dan Muslim (2564)

Dua nas di atas menunjukkan kepada kita peri pentingnya menjarakkan diri kita daripada terbabit dalam ghibah serta menyebarkannya kepada khalayak masyarakat kerana akibat dan kesannya adalah cukup buruk. Semoga Allah SWT pelihara kita dari melukakan serta mencederakan maruah seseorang walaupun hanya dalam tulisan di Facebook, Twitter dan sebagainya. 

Sifat Mukmin Sejati

Islam menunjukkan kepada kita sifat mukmin yang sejati yang sentiasa mencari mardhatillah, melakukan yang baik dan bersifat dengan sifat mahmudah serta menjarakkan daripada sifat-sifat mazmumah. AKhlak yang mulia sudah tentu membentuk keperibadian yang mulia seseorang dengan sakhsiah Islamiyyah yang nyata. Hasilnya, mereka dapat mewatakkan diri mereka sebagai jail (generasi) Qurani yang unik. 

Oleh itu, marilah kita menjauhi sifat ghibah ini, apatah lagi sekiranya kita aktif di media sosial. Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ.

Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam.” 

Riwayat al-Bukhari (6018), Muslim (47), Abu Daud (5154), Ahmad (9967) dengan sedikit perbezaan, al-Tirmizi (2500) dan Ibn Majah (3971)

Seseorang itu hendaklah berfikir dahulu apabila bercakap tentang hukum sesuatu. Jika dia mengetahui dan mendapat gambar yang jelas, barulah dia bercakap. Sebaliknya jika tanpa mengetahui hakikat sesuatu, lebih baik dia diam, kerana keselamatan itu adalah pada yang diam. (Lihat Hilyah Talib al-Ilmi, hlm. 16)

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Orang Islam itu adalah apabila orang Islam lain merasa selamat daripada keburukan lidah dan tangannya.”

Riwayat al-Bukhari (10) dan Muslim (40)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/62)

Ingatlah dosa pahala dan ingatlah balasannya kerana setiap perbuatan kita akan diperhitungkan di hadapan Allah SWT. Firman Allah SWT:

لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Al-Sobuni berkata: “Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka.” (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)

Pempengaruh hendaklah menggunakan pengaruh yang ada bagi menggalakkan pengikutnya di media sosial supaya menyebar dan melakukan kebaikan, menggalakkan pengikut supaya berakhlak mulia dan menjaga adab di media sosial serta menjauhi sifat-sifat mazmumah, tidak menimbulkan perselisihan faham dan persengketaan yang berpanjangan. 

Ingatlah sabda Nabi SAW daripada Abi Mas’ud al-Ansari R.A:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ 

Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti orang yang melakukannya.” 

Riwayat Muslim (1893), Abu Daud (5129), al-Tirmizi (2671), dan Ahmad (22405)

Imam al-Nawawi berkata: “Maksudnya semisal dengan ganjaran/pahala orang yang melakukannya. Sesungguhnya bagi orang yang menunjukkan tersebut pahala/ganjaran atas perbuatan tersebut sebagaimana orang yang melakukannya mendapatkan ganjaran/pahala. Namun hal ini tidak memberikan kesan besarnya ganjaran/pahala keduanya sama persis.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/370)

Semak dan Fikir dahulu Sebarang Maklumat

Berwaspadalah apabila melayari media sosial, pastikan benar dan sahih terlebih dahulu kemudian barulah disebarkan. Ini kerana yang menyebarkan maklumat ada yang kita kenalpasti dan yang kita tidak kenalpasti. Boleh jadi mereka orang yang tidak beramanah, fasik, dan mempunyai nawaitu serta niat yang jahat.

Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” 

(Surah al-Hujurat: 6)

Ibn Jarir berkata: “Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/286)

Ibn Kathir berkata: “Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasiq sebagai ihtiyat. Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/370)

Mengambil iktibar dengan menghayati isi kandungan dari apa yang dibincangkan ini agar dapat dijadikan pedoman dalam hidup ini: 

  • Umat Islam hendaklah menjaga hubungan baik sesama manusia yang merupakan tuntutan selepas daripada keimanan kepada Allah dan Hari Kiamat. 
  • Umat Islam juga wajib meninggalkan perbuatan ghibah iaitu mengumpat, bergosip dan menyebarkan keburukan orang lain terutama sekali di media sosial.
  • Umat Islam hendaklah sedar bahawa mulut adalah antara punca utama yang menyebabkan manusia itu menjadi penghuni neraka. 

Firman Allah SWT:

وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ ‎

Maksudnya: “Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela.” 

(Surah al-Humazah : 1)

Syeikh al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “وَيْلٌ” bermakna ancaman dan azab yang sangat keras. “لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ” iaitu orang yang suka mencela dan merendahkan orang lain dengan perbuatannya dan menyakiti orang dengan katanya. Orang yang disebut “الهَمّاز” ialah orang yang menghina dan mencela orang lain dengan isyarat dan perbuatan, Manakala “اللّمّاز” adalah orang yang mengaibkan orang lain dengan perkataannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 934)  

Yahya bin Muaz al-Razi Rahimahullah berkata:

لِيَكُنْ حَظُّ الْمُؤْمِنِ مِنْكَ ثَلَاثُ خِصَالٍ: إِنْ لَمْ تَنْفَعْهُ فَلَا تَضُرُّهُ. وَإِنْ لَمْ تَسُرُّهُ فَلَا تَغُمُّهُ. وَإِنْ لَمْ تَمْدَحْهُ فَلَا تَذُمَّهُ

Maksudnya: “Orang beriman mempunyai bahagian darimu dalam tiga perkara: (1) Jika engkau tidak dapat memberikan manfaat, maka janganlah engkau melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. (2) Jika engkau tidak dapat membahagiakan mereka, maka janganlah engkau menjadikan mereka dukacita. (3) Jika engkau tidak dapat memuji mereka, maka janganlah mencela mereka.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 165)

Kaharusan Mendedahkan Aib dan Mengumpat

Di sini kami ingin nukilkan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya. Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Solihin, 432-433)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173)

Penutup

Nasihat kami kepada pempengaruh, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dan tidak melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Sebagai netizen, ingatlah kepada Allah SWT tatkala jari-jemari begitu pantas memetik abjadiyat di atas keyboard. Fikirlah terlebih dahulu akan implikasi dan kesan akibat komentar, kenyataan, tuduhan, serta tohmahan yang kita lemparkan kepada mana-mana individu kerana kesannya amat buruk di hari Akhirat kelak. 

Dengan iman dan keyakinan yang teguh kepada Allah SWT akan menjadikan kita sentiasa memperolehi kebaikan dan dapat mengelakkan dari bersifat pempengaruh yang berniat jahat atau tidak baik. 

Kami akhiri dengan astaghfirullahal ‘azim dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.” 

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *