Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS) pada hari Jumaat 22 September 2023 M bersamaan 6 Rabiulawwal 1445 H, telah ditajukkan dengan Hargailah Air Sebagai Nikmat Ilahi di mana saya merasa tertarik untuk menengahkan isu ini kerana ia bersifat sejagat dan kepentingan bersama bagi semua manusia bahkan haiwan dan tanaman yang memerlukan air.
Air ialah khazanah alam yang sangat penting untuk kita. Sebagai Muslim, kita memanfaatkan air untuk beribadah dan menjalankan urusan kehidupan yang lain. Alhamdulillah, negara kita jarang dilanda dengan krisis bekalan air. Pendek kata, kalau kita membuka paip air yang terdapat di rumah, insya-Allah air terus keluar dan boleh digunakan. Kita hanya dilanda keresahan jika air terputus disebabkan berlakunya kebocoran atau kerosakan di loji.
Peri pentingnya air, jelas dalam kehidupan kita mutakhir ini di mana keperluan setiap rumah dengan bilangan isi rumah yang memerlukan sejumlah air. Ia dianggap sebagai darurat yang mesti dimiliki oleh semua orang atau setiap rumah, tidak kira lah kaya mahu pun miskin.
Mengimbau kembali tahun 60-an atau 70-an dan sebelumnya, rakyat tidaklah bergantung sangat kepada air paip kerana masing-masing mempunyai telaga dan air telaganya jernih lagi bersih tanpa sebarang pencemaran bau atau apa-apa toksik.
Mereka menggunakan air tersebut untuk mandi, membasuh, minum, menyiram dan lain-lain lagi. Ketika itu, tiadalah isu sangat yang terkait dengan air berbanding hari ini dengan pembinaan pelbagai taman perumahan, bangunan, premis sekolah, rumah ibadah dan lain-lain.
Islam dan Pemeliharaan Sungai
Alam semesta adalah salah satu tanda kebesaran Allah Azzawajalla. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini dengan penuh keinsafan, nescaya kita berasa takjub, kagum dan gerun dengan kehebatan Yang Maha Pencipta.
Firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”
(Surah al-Anbiya’: 31)
Dalam Tafsir Imam Ibnu Kathir ada dinyatakan, disebabkan langit dan bumi yang bercantum pada asalnya, langit tidak menurunkan hujan, dan di bumi pula tidak ada tumbuh-tumbuhan. Selepas dipisahkan, maka turunlah hujan dari langit dan tumbuhlah segala tanaman di bumi.
Malaysia sangat bertuah kerana dilimpahi dengan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 bilion meter padu air hujan. Malaysia juga memiliki 189 lembangan sungai yang menyumbang kira-kira 900 billion meter padu sumber air di seluruh negara. Hal ini terjadi disebabkan Malaysia memiliki kawasan bukit dan tanah tinggi yang berperanan sebagai kawasan tadahan air semula jadi, seterusnya membentuk aliran sungai ke kawasan yang lebih rendah.
Sungai adalah sumber air yang sangat penting bagi kehidupan manusia dan ekosistem. Mereka memberikan air untuk minum, pertanian, industri, dan juga memiliki peran ekologis yang besar dalam menjaga keseimbangan lingkungan. Di dalam Islam, pemeliharaan dan pemuliharaan alam, termasuk sungai, memiliki kedudukan yang sangat penting.
Terdapat 53 perkataan di dalam al-Qur’an yang datang dalam pelbagai bentuk, merujuk kepada sungai. Antaranya adalah al-nahr (al-Baqarah: 249; alQamar: 54), naharan (al-Kahf: 33), al- anhar (al-Baqarah: 25, 74, 266: Ali-‘Imran: 15,136, 195, 198; al-Nisa’: 13, 57, 122; al-Ma’idah: 12, 85, 119; al-An‘am: 6, al-‘Araf: 43; alTaubah: 72, 89, 100, 109; Yunus: 9; al-Ra’d: 35; Ibrahim: 32; al-Nahl: 31; al-Isra’: 91; alKahf: 31; Taha: 76; al-Hajj: 14, 23; al-Furqan: 10; al-‘Ankabut: 58; al-Zumar: 20; alZukhruf: 51, Muhammad: 12; al-Fath: 5, 17; al-Hadid: 12; al-Mujadalah: 22; al-Saff: 12; al-Taghabun: 9; al-Talaq: 11; al-Tahrim: 8; al- Buruj: 11, al-Bayyinah: 8) serta anharan (al-Ra’d: 3; al-Nahl: 15; al-Naml: 61; Nuh: 12) dan lapan perkataan untuk al-yamm yang membawa maksud sungai dan laut (al-‘Araf: 136; Taha: 39, 78, 97; al-Qasas: 7, 40; alDhariyat: 40).
Syor dan Cadangan
Memandangkan 98 peratus daripada bekalan air tawar negara berasal dari sungai, maka status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan agar sentiasa dalam keadaan baik dan lestari.
Saya masih ingat dahulu Sungai Temiang di Seremban kerap mengalami risiko pencemaran kerana pembuangan sampah dari Pasar Besar Seremban serta premis kediaman dan kedai yang terdapat di sepanjang sungai berkenaan. Akan tetapi, setelah usaha yang jitu oleh pihak berkuasa, Sungai Temiang ini diklasifikasikan sebagai kelas IIB iaitu bersih. Perubahan ini hasil usaha pelbagai pihak kerajaan negeri yang mengadakan kerja pemeliharaan.
Ingatlah bahawa Allah SWT melarang kita melakukan pencemaran, sebagaimana firman-Nya:
كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Maksudnya: “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.”
(Surah al-Baqarah: 60)
Oleh yang demikian, setiap pihak hendaklah berperanan dan bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai kita. Kita tidak boleh mengharapkan pihak-pihak tertentu sahaja memelihara kebersihan sungai kerana nikmat sungai yang bersih dapat dirasai oleh segenap makhluk Allah SWT. Apa yang perlu dilakukan di Malaysia ialah penganjuran budaya dan pembentukan suasana kebersihan ini dengan lebih efektif seperti Jepun. Ini lebih utama dari melakukan program gotong-royong tahunan yang bersifat one-off tapi tidak memberi impak kesedaran yang berkekalan.
Mengenai pemeliharaan dan pemulihan sungai, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan:
- Pemantauan Ketat dan Penguatkuasaan Undang-undang: Saya sedia maklum akan adanya undang-undang bagi menghalang pencemaran sungai seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Akta Kerajaan Tempatan 1976; Seksyen 55 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Kawasan Pengairan 1953 serta Akta Kerja-Kerja Perparitan 1953. Namun apa yang perlu diberi perhatian adalah ketegasan dalam melaksanakannya.
- Pembangunan Infrastruktur Penapisan dan Rawatan Sisa: Pelaburan dalam infrastruktur untuk penapisan dan rawatan sisa boleh membantu mencegah pencemaran sungai. Ini bagi memastikan semua pihak terlibat mempunyai akses mudah kepada kemudahan pemprosesan sisa yang selamat, dan ia adalah langkah yang sangat penting. Saya memuji usaha Kementerian Ekonomi yang sedang menjalankan kajian mengenai pembangunan loji rawatan air sisa industri berpusat bagi menguruskan efluen daripada industri untuk menangani pencemaran air.
- Pemulihan Ekosistem: Projek penanaman pokok di sepanjang sungai dan memulihkan habitat semula jadi perlu terus digiatkan. Ia adalah cara yang berkesan untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem dan meningkatkan kualiti air.
- Menggalakkan Kesedaran Alam Sekitar: Pendidikan alam sekitar dan kempen kesedaran yang diadakan oleh kerajaan boleh membantu meningkatkan pemahaman orang ramai tentang kepentingan sungai dan peranannya dalam melindunginya. Ini boleh termasuk kempen pembersihan sungai komuniti dan program pendidikan di sekolah.
- Penyelidikan dan Inovasi: Pelaburan dalam penyelidikan saintifik untuk memahami dinamik sungai, kualiti air dan kesan perubahan iklim boleh membantu mereka bentuk strategi penyelenggaraan yang lebih berkesan. Inovasi teknologi juga boleh digunakan untuk pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih baik. Seingat saya, mantan Menteri MOSTI pada tahun 2020, saudara Khairy Jamaluddin pernah mengusulkan kepada Ketua Setiausaha MOSTI untuk berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi usaha pengaplikasian teknologi yang berkesan untuk memantau pencemaran air secara proaktif. Semoga ada perkembangan positif pada masa kini.
- Kerjasama Rentas Sempadan: Jika sungai merentasi beberapa negara, kerjasama rentas sempadan untuk memastikan sungai bersih dan mampan adalah sangat penting. Perjanjian dua hala atau pelbagai hala mungkin diperlukan untuk mengurus sungai secara bersama.
- Pemerkasaan Komuniti: Memperkasakan komuniti tempatan dalam pengurusan sungai adalah langkah utama. Mereka boleh menjadi mata dan telinga yang berkesan untuk memantau aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Kerajaan mempunyai peranan yang sangat penting dalam memelihara sungai, dan dengan melaksanakan cadangan di atas, mereka boleh menyumbang secara positif kepada penyelenggaraan dan pemulihan sungai yang penting untuk kehidupan manusia dan ekosistem.
Penutup
Suka saya tegaskan bahawa tiga hal yang mesti dimiliki bersama berdasarkan hadith Nabi SAW:
الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْكَلإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ
Maksudnya: “Orang Islam itu (di dalam sanad yang lain menyebut manusia) berkongsi pada tiga perkara, air, padang rumput, dan api.”
Riwayat Abu Daud (3477), Ibn Majah (2472) dan Ahmad (23132). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Daud.
Al-Khattabi menjelaskan: “Maknanya, rumput yang tumbuh di mawat al-ardh (tanah mati dan tidak dikelola), atau air yang mengalir di tempat-tempat milik umum.” (Lihat A’lam al-Sunan, 2/12)
Dalam ilmu tasawuf, selain menjaga kebersihan hati, kita juga perlu meningkatkan usaha memelihara kebersihan luaran, sebagaimana yang kita terapkan dalam berwuduk. Maka, kebersihan sungai adalah salah satu usaha untuk merealisasikan kebersihan secara zahir.
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَرِيْنَ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang bertaubat serta mengamalkan kebersihan.”