Halangan dan Syor Dalam Isu Penetapan Harga Barang

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mutakhir ini, harga barang sebahagian besarnya naik mencanak. Ia bukan hanya berlaku dalam Malaysia, bahkan di peringkat global. Pelbagai faktor yang menyumbang ke arah itu. Antaranya di peringkat antarabangsa dengan berlakunya peperangan antara Rusia dan Ukraine serta sokongan blok Barat dan Timur kepada kedua-duanya. Tambahan pula, berlakunya serangan Hamas terhadap Israel dan tindak balas Israel yang membawa ke kancah peperangan. Krisis-krisis global sebegini sememangnya memberi kesan kepada ekonomi dunia kerana Malaysia adalah salah satu daripada 25 negara utama perdagangan dunia dan kita akan terdedah dengan apa sahaja yang berlaku di peringkat global.

Bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kemarau panjang yang menyebabkan hasil berkurangan juga memberi penyumbang utama kepada kenaikan harga barang. Selain itu, kenaikan harga barang juga adalah disebabkan wujudnya golongan yang tamak sehingga menjadi kartel-kartel dalam mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Saya terpanggil untuk membahaskan  isu kenaikan dan penetapan harga barang, sebagaimana yang telah dibentangkan dalam fiqh Islam. Semoga perbahasan ini menemukan kita solusi yang terbaik dalam isu harga barang. 

Definisi Tas’ir (التَّسْعِيْر)

Dalam Bahasa Arab, penetapan harga barang atau price fixing disebut sebagai tas’ir (التَّسْعِيْر). Dari sudut bahas, ia sama dengan si’r (السِّعْر) iaitu menetapkan atau menentukan harga. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 334)

Dari sudut istilah, saya nukilkan pandangan fuqaha’ seperti berikut:

  • Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah:

تَقْدِيرُ سِعْرِ الطَّعَامِ وَنَحْوِهِ بِثَمَنٍ لَا يَتَجَاوَزُ

Maksudnya: “Penetapan harga makanan atau yang semisalnya dengan harga tertentu.” (Lihat Tahrir Lughat al-Tanbih, hlm. 147)

  • Syeikh Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah:

أَنْ يَأْمُرَ الْوَالِي السُّوقَةَ أَنْ لَا يَبِيعُوا أَمْتِعَتَهُمْ إلَّا بِسِعْرِ كَذَا (وَلَوْ فِي) وَقْتِ (الْغَلَاءِ) لِلتَّضْيِيقِ عَلَى النَّاسِ فِي أَمْوَالِهِمْ 

Maksudnya: “Pemerintah/penguasa mengarahkan penjual (pasar) untuk tidak menjual barang niaganya kecuali dengan harga tertentu, walaupun pada saat harga sedang melambung tinggi, yang menyukarkan harta masyarakat.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 2/38)

  • Ibn ‘Arafah al-Maliki menyatakan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah:

تَحْدِيدُ حَاكِمِ السُّوقِ لِبَائِعِ الْمَأْكُولِ فِيهِ قَدْرًا لِلْمَبِيعِ بِدِرْهَمٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: “Penguasa pasar menetapkan kepada peniaga untuk menjual barang niaganya dengan harga yang sudah diketahui.” (Lihat Syarh Hudud Ibn Arafah, hlm. 258)

  • Al-Buhuti menyatakan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah: 

(أَنْ يُسَعِّرَ الْإِمَامُ) أَوْ نَائِبُهُ (عَلَى النَّاسِ سِعْرًا وَيَجْبُرَهُمْ عَلَى التَّبَايُعِ بِهِ) أَيْ بِمَا سَعَّرَهُ.

Maksudnya: “Penetapan harga oleh pemerintah atau yang mewakilinya, dan pemaksaan kepada masyarakat (peniaga mahupun pembeli) untuk mengikutinya.” (Lihat Kassyaf al-Qina’, 3/187)

  • Al-Syaukani menyatakan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah: 

هُوَ أَنْ يَأْمُرَ السُّلْطَانُ أَوْ نُوَّابُهُ أَوْ كُلُّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أُمُورِ الْمُسْلِمِينَ أَمْرًا أَهْلَ السُّوقِ أَنْ لَا يَبِيعُوا أَمْتِعَتَهُمْ إلَّا بِسِعْرِ كَذَا، فَيُمْنَعُوا مِنْ الزِّيَادَةِ عَلَيْهِ أَوْ النُّقْصَانِ لِمَصْلَحَةٍ

Maksudnya: Arahan pemerintah atau wakilnya atau arahan setiap orang yang menguruskan urusan umat Islam kepada para peniaga untuk tidak menjual barang niaganya kecuali dengan harga yang telah ditetapkan, dengan larangan untuk menambah atau mengurangkannya atas tujuan kemaslahatan. (Lihat Nail al-Autar, 5/260)

Dr. Fathi al-Duraini menjelaskan definisi yang dikemukakan oleh al-Syaukani ini dengan menyebut bahawa: Pertama, dengan adanya perintah penguasa atau wakilnya mengisyaratkan adanya paksaan, yang wajib diikuti oleh peniaga. Kedua, lafaz amti’ah (أَمْتِعَة) menunjukkan pengertian yang luas, iaitu semua barang niaga yang memberi kemudaratan kepada manusia apabila ditahan atau dinaikkan harganya. Ketiga, disebutkan tujuan penetapan harga barang untuk kemaslahatan adalah bagi menunjukkan pentingnya penetapan harga barang dalam menolak kemudaratan. Keempat, penyebutan tidak boleh menjual dengan melebihkan atau mengurangkan daripada harga yang telah ditetapkan, maka dalam hal melebihkan harga, itu adalah jelas dilarang kerana akan memberikan kemudaratan kepada manusia. Sedangkan dalam mengurangkannya, tidak ditemui sesuatu alasan untuk tidak membolehkannya dalam waktu-waktu yang sulit, bahkan mengurangkan harga ini dibolehkan kerana sesuai dengan tujuan penetapan harga barang itu sendiri, iaitu memberi manfaat kepada manusia dan meringankan kesulitan mereka dengan cara memenuhi keperluan mereka, kecuali apabila diyakini bahawa dengan mengurangkan harga, akan berlaku monopoli harga barang. Kelima, yang boleh melakukan tas’ir adalah sultan atau ketua negara/pemerintah. (Lihat al-Fiqh al-Islami al-Muqaran Ma’a al-Mazahib, hlm. 140)

  • Sayyid Sabiq menjelaskan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah: 

وضع ثمن محدد للسلع التي يراد بيعها بحيث لا يظلم المالك ولا يرهق المشتري

Maksudnya: “Menetapkan batas harga tertentu bagi suatu barang niaga yang hendak dijual dengan mengambilkira perbuatan tersebut tidak menzalimi penjual dan tidak menganiayai pembeli.” (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/104)

  • Dr. Fathi al-Duraini menyatakan bahawa al-tas’ir (التَّسْعِيْر) ialah:

هو أن يصدر موظف عام مختص بالوجه الشرعي أمرا بأن تباع السلع أو تبذل الأعمال أو المنافع التي تفيض عن حاجة أربابها وهي محتبسة أو مغالى في ثمنها أو أجرها على غير الوجه المعتاد والناس أو الحيوان أو الدولة في حاجة ماسة إليها، بثمن أو أجر معين عادل بمشورة أهل الخبرة

Maksudnya: “Arahan daripada pejabat yang bertanggungjawab untuk menjual barang niaga, menurunkan upah atau manfaat yang sangat diperlukan secara Syarak, kerana menahan atau menaikkkan harta serta upah dengan jalan yang tidak dibenarkan, sementara manusia, haiwan dan negara sangat memerlukannya dengan harga atau upah tertentu, yang adil berdasarkan perbincangan dengan ahli ekonomi.” (Lihat al-Fiqh al-Islami al-Muqaran Ma’a al-Mazahib, hlm. 144)

Hukum Menetapkan Harga Barang

Hukum asalnya adalah pemerintah tidak ada kuasa untuk menentukan harga barang. Hal ini berdasarkan hadith Anas bin Malik R.A, bahawa apabila orang ramai meminta Rasulullah SAW menetapkan harga barang, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ، وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah lah Penetap harga barang. Dia-lah yang menahan dan jua melapangkan rezeki. Dia-lah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.”

Riwayat Abu Daud (3451), al-Tirmizi (1314), Ibn Majah (2200) dan Ahmad (14057). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Hadith ini secara zahirnya mengisyaratkan bahawa para peniaga berhak menetapkan harga barang yang dijual dan kerajaan tidak berhak campur tangan. Namun menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, hadith ini tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk mengharamkan penetapan harga oleh pemerintah kerana ia merupakan kes khusus dan tidak terpakai dalam semua situasi. Bahkan dalam sebahagian keadaan, penetapan harga merupakan satu keadilan, namun ia menjadi satu kezaliman dalam keadaan yang lain. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 28/95; al-Turuq al-Hukmiyyah, hlm. 217)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili, dalam ijtihadnya menyebut: “Hari ini, boleh bagi mujtahid untuk membenarkan penetapan harga barang apabila melihat kepada berubahnya keadaan-keadaan dan situasi-situasi masyarakat. Ini untuk mentahqiqkan maslahah awam pada penetapan harga barang. Terdapat pendapat yang membenarkan penetapan harga barang ketika waktu al-ghala’ (kegawatan ekonomi) ke atas barang makanan. Justeru, apabila pemerintah telah menetapkan harga siling, lalu penjual ingkar, maka menjadi hak pemerintah untuk mengenakan ta’zir (hukuman) ke atas pembeli, sekalipun jual beli itu asal adalah sahih.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/65)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan: Islam lebih cenderung kepada dasar membebaskan pasaran dan membiarkannya tertakluk di bawah undang-undang tabiat yang melaksanakan peranannya selaras dengan masa keperluan dan penghasilan (demand and supply). Pernah berlaku pada zaman Nabi SAW, ketika harga barang meningkat tinggi, orang ramai datang kepada Baginda SAW untuk mengadu dengan berkata, “Hai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang-barang itu!” Lantas Rasulullah SAW menjawab:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT yang menentukan harga barang-barang itu. Dialah yang menggenggam dan melepaskan. Sesungguhnya aku berharap nanti apabila aku menemui Allah SWT, tiada seorang pun di antara kamu yang akan menuntutku dalam perkara penganiayaan (urusan yang dibuat secara teraniaya), sama ada yang berkaitan dengan darah mahupun harta benda.”

Riwayat Abu Daud (3451), al-Tirmizi (1314), Ibn Majah (2200) dan Ahmad (14057). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Berdasarkan hadith di atas, Nabi SAW telah menyatakan bahawa mencampuri hak kebebasan individu tanpa hak atau darurat merupakan perbuatan penganiayaan, di mana Baginda SAW berharap akan bertemu dengan Allah SWT nanti dan terselamat daripada kesalahan ini.

Tetapi, apabila keadaan pasaran dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak normal, seperti sesetengah golongan peniaga cuba membolot atau memonopoli pasaran sesuatu barang, dan ingin menaik-turunkan harga sesuatu barang dengan sesuka hatinya, maka ketika itu kepentingan orang ramai mestilah diutamakan daripada kebebasan sebahagian individu. Oleh itu, bolehlah menetapkan harga untuk melindungi keperluan dan kepentingan masyarakat ummah, dan menyelamatkan mereka dari pengaruh monopoli orang-orang yang tamak, serta menindas maksud jahat mereka, sebagaimana yang sudah ditetapkan kaedah-kaedah hukumnya.

Justeru, hadith tadi bukan bermaksud melarang setiap bentuk penetapan harga walaupun penetapan harga itu dapat menangkis mudarat ataupun menghalang penindasan keterlaluan daripada mana-mana pihak. Bahkan para peneliti dalam kalangan ulama’ menetapkan (pelopornya adalah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah), bahawa konsep penetapan harga itu ada yang dianggap zalim dan diharamkan. Ada juga yang dianggap adil dan diharuskan.

Beliau mengatakan bahawa:

  • Sekiranya penetapan itu mengandungi penindasan terhadap orang ramai dan memaksa mereka (para peniaga) untuk menurunkan harga tanpa ada hak dengan menetapkan harga yang tidak dipersetujuinya, ataupun dengan tujuan untuk menghalang daripada mendapat keuntungan yang dibolehkan oleh Allah SWT untuk mereka, maka yang demikian itu adalah haram.
  • Namun, jika sekiranya ia mengandungi keadilan untuk sesama manusia seperti memaksa mereka (para peniaga) itu untuk menjual dengan harga yang sepadan dan sudah ditentukan, serta melarang mereka daripada mengambil keuntungan lebih daripada kadar yang telah ditetapkan itu, maka perbuatan itu adalah dibolehkan, bahkan wajib.

Untuk kategori pertama di atas, hadith telah menerangkan, jika para peniaga itu menjual barang-barang mereka dengan harga yang sudah diketahui ramai tanpa ada unsur penganiayaan dari mereka. Kemudian tiba-tiba, harganya naik mendadak kerana kekurangan barangan atau kerana banyak permintaan (mengikut undang-undang ‘demand and supply’), iaitu permintaan dan penawaran, maka ianya diserahkan kepada Allah SWT. Justeru, memaksa peniaga untuk menjual sesuatu dengan harga yang ditentukan secara paksa, samalah dengan memaksa orang membuat sesuatu tanpa hak atau kebenaran.

Manakala dalam kategori kedua pula, seperti para peniaga yang mempunyai barang-barang perniagaan yang enggan dijualnya kepada orang ramai, sedangkan orang ramai sangat memerlukan barang-barang tersebut, kecuali mereka ingin menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada yang biasa dijual di pasaran. Maka, di sini wajib dipaksa penjual itu untuk menjualnya mengikut harga pasaran (market price). Dan tidaklah dimaksudkan dengan menetapkan harga itu melainkan untuk memastikannya dijual dengan harga yang telah sedia maklum. Menetapkan harga ini samalah seperti menetapkan keadilan yang memang diwajibkan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan. (Lihat Risalah al-Hisbah oleh Ibn Taimiyyah dan al-Turuq al-Hukmiyyah oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 214; seperti dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 481)

Ini adalah selari dengan pandangan tokoh ekonomi Islam terkemuka masa kini, Syeikh Muhammad Taqi Uthmani yang berkata: “Sesungguhnya penetapan harga barang tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila orang ramai berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu tinggi pada barang-barang yang orang ramai berhajat padanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya adalah hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka.” (Lihat Fiqh al-Buyu’, 2/1002)

Saya cenderung untuk berpendapat bahawa menetapkan harga barang boleh jadi menzalimi dan boleh jadi hukumnya diharuskan untuk keadilan kepada rakyat dan peniaga. Jika memaksa manusia tanpa hak ke atas satu-satu jualan dengan harga yang mereka tidak redha, maka hukumnya haram. Sebaliknya jika ia dilaksakan kerana ada usaha daripada kartel untuk menindas, maka hukumnya adalah dibolehkan. Bahkan pada ketika tertentu, ia menjadi keperluan bagi seluruh manusia dengan dua syarat:

Pertama: Keperluan mendesak bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat disebabkan harga barang yang meningkat.

Kedua: Harga barang yang amat tinggi kerana barang yang “sedikit” (samada benar-benar kurang atau disembunyikan) dan permintaan yag amat banyak.

Jika dua perkara ini berlaku, maka hukum menetapkan harga barang adalah harus.

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang pada 1409 H bersamaan 1988 M. Antara keputusannya: “Tidak boleh pemerintah masuk campur dalam harga barang kecuali terdapat kecacatan yang nyata di pasaran atau nilai harga kerana perlbagai punca. Ketika itu pemerintah boleh masuk campur bagi menegakkan keadilan semampu mungkin dan untuk mengelakkan berlakunya kenaikan yang mendadak, penipuan dan kecacatan dalam harga barang.”

Dalil-Dalil Bagi Pandangan yang Membolehkan dan Tidak Membolehkan Untuk Menetapkan Harga Barang

Secara ringkasnya, para fuqaha’ terbahagi kepada dua pandangan. 

Pandangan Pertama

Hukumnya adalah haram dan ini merupakan pandangan jumhur. (Lihat al-Tas’ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 457) 

Sayyid Sabiq menyatakan bahawa dengan membataskan (menetapkan) harga, boleh mengakibatkan tersembunyinya barang-barang, di mana akan menjadikan barang menjadi mahal. Meningginya harga membawa maksud menyusahkan orang-orang miskin disebabkan daya beli mereka yang menurun. Manakala orang kaya dapat membeli barang dari pasar gelap yang penuh dengan tipu daya. Hal ini semua menyebabkan tidak terwujudnya maslahat terhadap masyarakat. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/114)

Antara dalil bagi pandangan ini adalah, firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dalam ayat di atas, disyaratkan saling meredhai antara penjual dan pembeli dalam memastikan sahnya jual beli. Apabila penjual menjual dengan harga yang ditetapkan, maka hilanglah sifat saling meredhai itu, sehingga jual beli menjadi cacat kerana wujudnya keterpaksaan. Justeru, ayat ini menjadi dalil tidak dibolehkan al-tas’ir. (Lihat Nail al-Autar, 5/248)

Manakala dalil al-Sunnah pula adalah berdasarkan hadith daripada Anas bin Malik R.A, di mana pernah harga barang meningkat tinggi, lalu orang ramai datang kepada Baginda SAW untuk mengadu dengan berkata: “Hai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang-barang itu!” Lantas Baginda SAW menjawab:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ، وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah lah Penetap harga barang. Dia-lah yang menahan dan jua melapangkan rezeki. Dia-lah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.”

Riwayat Abu Daud (3451), al-Tirmizi (1314), Ibn Majah (2200) dan Ahmad (14057). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Dalam hadith di atas, Baginda Nabi SAW tidak menetapkan harga sedangkan para Sahabat telah meminta kepada Rasul untuk menetapkan harga dalam kalangan mereka. Jika tas’ir dibolehkan, maka sudah tentu Rasulullah SAW akan memenuhi permintaan para Sahabat. ‘Illah (sebab) mengapa Rasulullah SAW tidak membolehkan tas’ir adalah kerana terdapat kezaliman. (Lihat Nail al-Autar, 5/248)

Pandangan Kedua:

Menetapkan harga barang dibolehkan, akan tetapi kebolehan ini tidak secara mutlak. Hanafiyyah menyatakan bahawa dibolehkan untuk menetapkan harga barang apabila berlaku kenaikan harga barang, di mana kenaikannya melepasi batas kewajaran. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/114) 

Manakala Malikiyyah menyatakan bahawa menetapkan harga barang terdapat dua bentuk:

  • Bentuk pertama, dibolehkan menetapkan harga barang apabila sebahagian peniaga menurunkan harga barang, maka menetapkan harga barang  pada bentuk ini dibolehkan agar peniaga yang menurunkan harga tersebut menyesuaikan dengan harga peniaga kebanyakan.
  • Bentuk kedua adalah membataskan para peniaga dengan harga tertentu, sehingga mereka tidak boleh menjual melebihi harga yang telah ditetapkan. Maka bentuk ini dibolehkan juga menurut Malikiyyah dalam riwayat Asyhab dari Malik, walaupun lebih utama menurutnya adalah tidak melakukannya. (Lihat Ahkam al-Tas’ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 38)

Al-Syafi’iyyah menyatakan bahawa dibolehkan menetapkan harga barang ketika orang ramai berada dalam kesusahan. (Lihat Asna al-Matalib, 2/38)

Manakala Hanabilah seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim mewajibkan penetapan harga barang apabila akan terjamin keadilan antara manusia, seperti dalam melakukan pembelian dengan harga tertentu, dan larangan terhadap mereka untuk menaikkan harga suatu barang. Pemerintah tidak boleh menetapkan harga terhadap manusia kecuali apabila berhubungan dengan kepentingan umum. 

Sekiranya peniaga menjual dengan harga yang tinggi sementara pemerintah tidak dapat memelihara hak umat Islam kecuali dengan penetapan harga barang, maka pemerintah boleh menetapkan harga setelah berbincang dengan pakar ekonomi. Apabila peniaga tidak mematuhinya, maka mereka dipaksa untuk melaksanakannya. Menurut Ibn al-Qayyim, al-tas’ir di sini adalah bagi menetapkan keadilan sepertimana yang Allah telah tetapkan. (Lihat Ahkam al-Tas’ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 96)

Antara dalil bagi pandangan ini adalah, firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Menjual barang dengan peningkatan harga lebih daripada harga yang sewajarnya akan menyusahkan orang ramai. Hal itu sama seperti makan harta orang lain dengan cara yang batil. Sedangkan jual beli yang dibolehkan adalah dengan tidak merampas hak orang lain atau menyukarkan orang lain kerana tingginya harga.

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ شِرْكًا لَهُ فِي عَبْدٍ، فَكَانَ لَهُ مَالٌ يَبْلُغُ ثَمَنَ العَبْدِ قُوِّمَ العَبْدُ عَلَيْهِ قِيمَةَ عَدْلٍ، فَأَعْطَى شُرَكَاءَهُ حِصَصَهُمْ، وَعَتَقَ عَلَيْهِ العَبْدُ، وَإِلَّا فَقَدْ عَتَقَ مِنْهُ مَا عَتَقَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan bahagiannya pada hamba yang dimiliki bersama, dan dia memiliki harta yang mencukupi harga hamba itu, maka dibebankan kepadanya (untuk membayar hak orang lain terhadap hamba itu) dengan nilaian yang adil, lalu dia berikan orang-orang yang bersekutu pada hamba tersebut bahagian (nilaian) masing-masing, kemudian hamba itu dimerdekakan. Jika pihak yang memerdekakan (tidak mampu membayar hak sekutunya), maka dia memerdekakan hamba itu sebesar haknya yang ada pada hamba itu.”

Riwayat al-Bukhari (2522) dan Muslim (1501)

Daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ يَبِيعُ حَاضِرٌ لِبَادٍ دَعُوا النَّاسَ يَرْزُقُ اللَّهُ بَعْضَهُمْ مِنْ بَعْضٍ

Maksudnya: “Janganlah penduduk kota menjualkan barang-barang milik orang desa; biarkanlah masyarakat, sebahagian diberi rezeki oleh Allah daripada sebahagian yang lain.”

Riwayat Muslim (1522)

Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW melarang penduduk kota yang tahu harga menjual barang niaga kepada orang desa yang tidak tahu harga. Kerana perkara ini boleh melonjakkan harga. Justeru, tas’ir dibolehkan agar tidak berlaku lonjakan harga. (Lihat Syarh Hudud Ibn Arafah, hlm. 258)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas serta kenyataan saya dalam isu monopoli harga barang sebelum ini, maka saya berpendapat bahawa menetapkan harga barang dalam situasi seperti hari ini adalah dibolehkan bahkan amat diperlukan. Mengabaikan keperluan ini, pasti akan mengakibatkan lebih banyak masalah terutamanya jenayah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat.

Syor dan Cadangan 

Kami mengambil kesempatan untuk mengesyorkan seperti berikut:

  • Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu memastikan bekalan secara domestik mencukupi dengan cara memajukan industri pertanian dan pengeluaran dalam negeri untuk meningkatkan bekalan barang keperluan asas di dalam negara. Antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah memberi insentif kepada petani dan pengeluar tempatan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk. Saya yakin usaha ini telah dilaksanakan, namun ia tidak dalam skala mega.
  • Menetapkan harga siling dan pemantauan secara kerap. Perkara ini juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan kadar yang termampu. Malah, saya amat bersetuju dengan YB Menteri Ekonomi bahawa tidak ada Kerajaan dalam dunia yang mampu menetapkan semua harga barang asas. Pun begitu, kuncinya bukan pada meningkatkan jumlah penguatkuasa yang sudah tentu melibatkan peningkatan peruntukan kewangan. Saya melihat, ada keperluan untuk mengaktifkan peranan watch group dalam kalangan komuniti seperti Rukun Tetangga untuk pemantauan dan aduan. Kekerapan pemantauan juga boleh ditingkatkan melalui skim sukarelawan atau kerjasama bersama Skuad Jejak Asnaf sekiranya isu kekurangan pegawai penguatkuasa menjadi penghalang.
  • Mempelbagaikan skim bantuan secara berkelompok dan berskala besar, khasnya kepada petani, penternak, peladang, nelayan dalam kalangan asnaf dengan bantuan Agensi Mengurus Zakat Negeri. Sebelum ini, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) telah dilakukan oleh Kerajaan terdahulu. Model berjaya yang dipraktikkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah mungkin boleh dipertimbangkan untuk rujukan negeri-negeri lain.
  • Buat masa ini, jumlah perdagangan negara pada Ogos 2023 menyusut 19.8 peratus kepada RM213.01 bilion berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah. Pasaran eksport utama negara termasuklah – ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun. Cabaran terbesar adalah mengimbangi peranan negara kita dari sudut import-eksport secara berkadar. Sebagai contoh dalam masa 5 tahun, 5% import dikurangkan dan 5% eksport ditambah. Isu utama adalah Environmental, Social & Governance (ESG) yang menjadi nadi utama bagi pasaran eksport mana-mana negara dunia. Kini, masyarakat global mendokong erat prinsip ESG di dalam semua aspek kehidupan, pekerjaan serta perniagaan. Malah negara luar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila melibatkan isu pematuhan ESG, termasuklah – penamatan kontrak dan sekatan import.
  • Perlu ada satu mekanisme khas untuk Kerajaan mengurangkan orang tengah dalam jual beli. Antaranya adalah memperbanyakkan lokasi Pasar Tani melalui penganjuran FAMA. Selain itu, Kerajaan perlu serius untuk memperbaiki sistem penjualan melalui platform e-dagang yang lebih canggih dan mesra usahawan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia telah dimulakan oleh Kerajaan-kerajaan terdahulu dan saya pasti ia perlu penambahbaikan yang menyeluruh.

Semoga kerjasama secara bersepadu akan menatijahkan perasaan tenang dan bahagia masyarakat serta rakyat jelata apabila harga barang tidak lagi mahal dan semua rakyat mampu membeli dan memiliki di samping merasa makanan dengan harga yang berpatutan. 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *