#421 Basuh Telur Ayam

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah kita mesti membasuh kulit telur ayam sebelum menyimpan atau menggunakannya dalam masakan kerana ia dianggap najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Membasuh telur ayam

Menurut Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, semasa proses bertelur, ayam keluarkan sejenis cecair yang dikenali sebagai egg bloom atau cuticle. Ia umpama lapisan perlindungan bagi yang melitupi liang-liang di seluruh permukaan telur untuk mengelak kemasukan kuman ke dalam telur selain membantu mengekalkan kelembapan dengan cara mencegah air daripada meluap keluar dari kulit telur. Justeru, jika kulit telur dibasuh sebelum disimpan lapisan perlindungan itu akan menipis atau hilang.

Selain itu najis dan kulit telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella, dan ia boleh berpindah kepada makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk. Hal ini kerana walaupun peti sejuk berada pada suhu yang rendah (4°C ke bawah) dan bebas dari zon suhu bahaya (iaitu 5°C hingga 63°C). Pada suhu itu, kuman tidak mati, tetapi hanya dorman (kurang aktif). Justeru, kerosakan pada telur boleh berlaku walaupun pada kadar yang rendah. Jadi perlu membasuh kulit telur bagi membuang najis padanya agar bersih dan tiada kontaminasi silang.

Kemudian, beliau menyebutkan bahawa kalau ada tahi yang jelas kelihatan, basuhlah telur-telur yang tercemar terlebih dahulu kerana kita pun tidak mahu peti sejuk dicemari dengan kuman. Akan tetapi tidak perlulah membasuhnya dengan menyental kuat-kuat kulit telur itu sehingga hilang semua lapisan perlindungannya. Basuhlah hanya sekadar untuk menghilangkan najisnya sahaja, kemudian simpan dalam bekas yang tertutup. Apabila hendak memasak, utamakan telur yang sudah dibasuh kerana ia lebih berpotensi untuk dimasuki kuman dan rosak. Manakala telur yang tidak dibasuh sebelum disimpan, hendaklah dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan.[4]

Hukum membasuh telur ayam

Imam al-Nawawi ada membincangkan dalam kitabnya iaitu adakah wajib membasuh bahagian luar telur jika jatuh di tempat yang suci? Dalam hal ini, terdapat dua pendapat ulama mengenainya iaitu ada dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa ia dikira sebagai najis dan ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat, ia adalah suci. Perbezaan pendapat ini dibina atau bersandarkan kepada hukum lembapan faraj adakah dikira suci atau najis sebagaimana dinukilkan oleh al-Baghawi dan pengarang kitab al-Bayan serta ulama selainnya. Namun Ibn Sibagh memutuskan dalam fatwanya bahawa bahagian luar telur itu tidak wajib dibasuh. Beliau menyebutkan, kaum Muslimin telah ijmak (bersepakat) bahawa anak haiwan jika sudah keluar dikira sebagai suci, maka begitulah juga halnya dengan telur.[5]

Selain itu, Abu Bakar al-Dimyati juga ketika mensyarahkan kitab Fath al-Mu‘in ada menyebutkan bahawa perkataan pengarang bahawa tidak wajib untuk membasuh zakar selepas berjimak, telur dan anak yang dilahirkan bermaksud barang yang terkena lembapan faraj, sama ada lembapan itu suci atau tidak, dan kalau ia najis sekalipun ia dimaafkan, maka ia tidak menajiskan perkara-perkara yang telah disebutkan.[6]

Justeru, dapat diketahui bahawa pendapat yang lebih sahih dalam mazhab al-Syafi‘i ialah pendapat kedua, iaitu bahagian luar telur dianggap sebagai suci jika jatuh ke tempat yang suci sehingga tidak perlu dicuci sebelum dimasak. Akan tetapi jika jatuh ke tempat najis ketika ia keluar atau kulitnya terkena najis, maka ia dianggap sebagai mutanajjis — yakni sesuatu yang terkena najis — dan boleh kembali menjadi suci apabila dibasuh dan dibersihkan bahagian yang terkena najis itu.

Ini kerana najis itu tidak boleh masuk ke dalam isi telur — yakni bahagian dalamnya — sebagaimana disebutkan dalam kitab Matalib Uli al-Nuha bahawa sesiapa yang menelan suatu jenis kacang seperti kacang hazel berserta kulitnya. Kemudian dia memuntahkannya kembali atau seumpamanya iaitu ia keluar dari mana sekalipun, maka bahagian dalamnya tidak dikira najis disebabkan oleh kuatnya lapisan kulitnya itu sebagaimana telur yang direbus dengan arak atau lain-lain daripada jenis najis. Perkara tersebut tidak akan menajiskan bahagian dalamnya kerana najis itu tidak boleh sampai ke bahagian dalam itu.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika telur tersebut tidak kelihatan padanya najis seperti tahi ayam dan sebagainya maka ia dihukum sebagai suci. Namun, jika ternampak najis pada telur itu atau diyakini adanya najis padanya disebabkan berbau najis, maka wajiblah membasuhnya sebelum digunakan, lebih-lebih lagi jika dikhuatiri najis tersebut akan terkena pada isi dalam telur ketika dipecahkan atau pada makanan lain. Jika tidak nampak atau disangka sahaja ada najis, maka kembali kepada hukum bahawa ia tidak bernajis.

Begitulah juga telur-telur yang dijual di kedai dan pasar raya, yang pada zahirnya tidak kelihatan najis pada kulitnya. Oleh itu, selagi mana tiada bukti yang nyata, maka kulit telur itu pada asasnya dikira sebagai suci.

Sekalipun begitu, jika tiada sebarang kesukaran kami ingin syorkan agar basuhlah telur ayam terlebih dahulu sebelum digunakan dalam masakan kerana ia lebih menjamin soal kebersihan telur itu yang berkemungkinan terdapatnya kuman pada kulitnya. Di samping itu, ia juga termasuk dalam etika yang baik dalam penyediaan makanan dan lebih dekat dengan agama Islam itu sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.

[4] Lihat https://www.majalahpama.my/betul-ke-telur-cepat-rosak-kalau-dicuci-sebelum-simpan-doktor-beri-penjelasan/.

[5] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556.

[6] Lihat I‘anah al-Talibin, 1/104.

[7] Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/230.

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles