#452 Mencelur Ayam bagi Mencabut Bulunya

q

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum merebus atau mencelur ayam sebelum dikeluarkan kotoran dan najisnya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu daripada (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Selain itu, al-Tabari turut menyatakan bahawa lafaz ‘tayyib’ bermaksud (makanan) yang suci dan bersih daripada najis dan keharaman.[2]

Mukadimah

Kebiasaannya, ayam yang sudah disembelih akan dicelur dalam air panas sebelum dibersihkan terlebih dahulu kotoran dan najisnya bagi memudahkan proses mencabut bulu-bulunya. Justeru, jika ayam itu dicelur dalam air panas yang kurang daripada dua qullah, maka air panas itu menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya sekalipun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.[3] Namun, jika ayam itu sudah dibersihkan segala kotoran dan najisnya sebelum dicelur dalam air panas, maka ia tidak akan menajiskan air panas tersebut.

Begitu juga para ulama berbeza pendapat mengenai air kencing dan tahi haiwan yang halal dimakan — yakni adakah ia dikira sebagai najis ataupun tidak? Mengenai hal ini, para ulama dalam kalangan mazhab Maliki dan Hanbali, serta Muhammad bin al-Hasan dan Zufar dalam kalangan ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa kotoran — yakni air kencing dan tahi — haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci dan tidak dikira sebagai najis, sama ada semasa haiwan itu masih hidup atau setelah disembelih. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith al-‘Uraniyyin, di mana Rasulullah SAW memerintahkan mereka agar minum air kencing unta dan susunya. Jika ia adalah najis, sudah tentu Baginda tidak akan memerintahkan perkara tersebut. Begitu juga dengan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mendirikan solat di dalam kandang kambing. Justeru, jika air kencing dan tahi haiwan yang halal dimakan dagingnya itu dikira najis, maka sudah tentu ia akan menajiskan kawasan kandang tersebut kerana sudah pasti ia tidak selamat daripada air kencing haiwan tersebut.

Manakala Abu Hanifah dan Abu Yusuf pula berpendapat air kencing haiwan yang halal dimakan dagingnya itu adalah najis ringan. Manakala tahinya pula dikira sebagai najis berat di sisi Abu Hanifah sedangkan di sisi Abu Yusuf ia dikira sebagai najis ringan. Perbezaan antara najis ringan dan berat di sini dalam kalangan ulama mazhab Hanafi adalah dari segi kemaafan yang diberikan pada najis tersebut. Dalam erti kata lain, najis yang dikira ringan diberikan kemaafan yang banyak, manakala najis yang dikira berat pula, sedikit kemaafan yang diberikan, dan perbezaan ini bukanlah pada cara membersihkannya kerana di sisi mereka tiada beza antara cara membersihkan kedua-dua najis itu.

Adapun ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa air kencing dan tahi haiwan yang halal dimakan dagingnya itu adalah najis.[4] Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ

Maksudnya:Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’[5]

Justeru, mereka yang berpegang dengan pendapat ulama yang menyatakan bahawa air kencing dan tahi haiwan yang halal dimakan dagingnya itu adalah suci dan bukan najis, maka tidak mengapa untuk terus mencelurnya sebelum dibersihkan ayam itu daripada segala kotoran kerana ia tidak akan menajiskan air panas tersebut. Namun, persoalan yang berbaki ialah jika kotoran — yakni air kencing dan tahi — itu dikira sebagai najis, maka apakah hukum mencelur ayam tersebut sebelum dibersihkannya terlebih dahulu kerana ia akan menajiskan air panas yang digunakan dan adakah ayam itu halal dimakan?

Mencelur ayam dengan air najis

Para ulama ada membahaskan mengenai perkara ini dan telah berbeza pendapat padanya. Ada kalangan mereka yang mengatakan bahawa sekiranya daging dimasak dengan najis, sudah tidak boleh lagi untuk disucikan atau dibersihkan (daging tersebut). Ini merupakan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanafi kecuali Abu Yusuf, dan juga merupakan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanbali.

Menurut ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula, mereka berpendapat bahawa daging yang dimasak dengan najis, jika najis itu termasuk dalam masakan tersebut sebelum daging itu masak, maka ia tidak boleh dibersihkan lagi. Akan tetapi jika najis itu terkena pada makanan tersebut selepas ia sudah masak, maka dalam hal ini ia boleh dibersihkan lagi.[6]

Manakala ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, daging yang dimasak dengan najis akan menajiskan bahagian dalam daging dan luarnya tetapi ia masih boleh disucikan atau dibersihkan. Terdapat dua cara membersihkannya iaitu membasuh semula daging itu dan kemudiannya diperah seperti hamparan (karpet). Keduanya, disyaratkan untuk mendidihkannya semula dengan air yang bersih.[7]

Akan tetapi, al-Khatib al-Syirbini menyebutkan dalam hasyiahnya bahawa tidak disyaratkan untuk memerahnya sama ada ia berbulu seperti hamparan (karpet) ataupun tidak. Apa yang telah disebutkan dalam al-Raudhah dan al-Majmu’ bahawa daging yang dimasak dengan air najis akan menajiskan daging tersebut luar dan dalam. Maka, cukup dengan hanya membasuhnya (dengan air) sahaja. Adapun, memerahnya seperti hamparan dapat difahami bahawa perbuatan tersebut hukumnya adalah sunat ataupun dhaif. Manakala pendapat al-Qamuli yang menyatakan bahawa najis masuk ke dalam bahagian dalam daging, maka perlu dikeluarkan (najis tersebut) melalui perahan adalah tidak tepat kerana pendapat yang mengatakan bahawa tidak disyaratkan perah adalah pendapat yang lebih tepat — yakni asah — yang dibina di atas pendapat yang asah iaitu air basuhan adalah suci.[8]

Selain itu, Zainuddin al-Malibari turut menyebutkan bahawa jika biji-bijian atau daging dimasak dengan najis ataupun pakaian dicelup dengan najis, maka bahagian dalamnya menjadi suci dengan menuangkan air pada bahagian luarnya, dan disyaratkan bagi mensucikan tempat — yakni bahagian najis — itu dengan melalukan air yang sedikit ke atas tempat yang najis. Akan tetapi jika najis yang terkena pada air yang sedikit dan bukannya pada air yang banyak, air tersebut menjadi najis, sekalipun tidak berubah (warna, rasa dan baunya). Justeru, air itu tidak lagi menyucikan.[9]

Begitu juga, di dalam Hasyiah al-Bujairimi ada dinyatakan bahawa jika biji-bijian menjadi basah disebabkan oleh air najis atau air kencing dan ia menjadi lembap. Kemudian, ia dibasuh dengan air yang bersih ketika masih lagi lembap, maka suci bahagian luar dan dalamnya. Demikianlah juga pada daging yang dimasak dengan kedua-duanya — yakni air najis dan air kencing — kemudian dibasuh dengan air bersih, maka daging tersebut suci bahagian luar dan dalamnya.[10]

Hal ini kerana kesucian itu adalah berdasarkan kepada apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak) sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i ketika membahaskan mengenai cara membersihkan racun (najis) yang meresap masuk ke dalam besi yang dipanaskan dan disiram dengan racun itu.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa merebus atau mencelur ayam yang belum lagi dibersihkan kotoran dan najisnya ketika proses mencabut bulu akan menajiskan ayam dan air panas itu. Akan tetapi, ayam itu boleh dibersihkan kembali bahagian luar dan dalamnya dengan hanya membasuhnya kembali dengan air bersih sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana kesucian itu adalah berdasarkan kepada apa yang zahir — yakni yang dilihat — dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga — iaitu yang tidak nampak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Tabari, 3/300.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/33-35.

[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/91-92.

[5] Riwayat al-Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)

[6] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/116.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/599-600.

[8] Lihat Hasyiah al-Syirbini ‘ala al-Gharar al-Bahiyyah, 1/59.

[9] Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 78.

[10] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/101.

[11] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/600.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *