#454 Memakan Daging Kuda

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging kuda? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya.[2]

Definisi kuda

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kuda ialah sejenis binatang besar berkaki empat yang dipelihara untuk kenaikan — yakni pengangkutan dan lain-lain.[3] Kuda adalah satu daripada haiwan yang paling berguna sejak beribu-ribu tahun. Satu masa dahulu, kuda adalah cara pengangkutan yang paling pantas dan yang paling pasti untuk mengembara di darat. Pemburu yang menunggang kuda mengejar haiwan dan membunuhnya untuk makanan dan untuk kegiatan sukan.

Kuda sesuai untuk bekerja dan berlari. Misalnya, lubang hidungnya yang lebar membantunya bernafas dengan mudah. Kuda mempunyai deria bau yang baik, pendengaran yang tajam, dan mata yang tajam. Ia mempunyai gigi yang kuat, tetapi ia hanya memakan bijiran dan tumbuhan, dan tidak makan daging. Badan kuda diliputi bulu. Bulu yang sihat berkilat memberikan memberikan rupa yang menakjubkan. Bulu tebal pada musim sejuk tumbuh setiap musim luruh dan gugur setiap musim bunga. Bulu surai dan ekor kuda tidak pernah gugur. Jika surai dan ekor menjadi terlalu tebal, pemilik kuda mungkin mencabut sedikit bulunya menjadikan kuda kelihatan lebih elok. Mencabut bulu tidak menyakitkannya kerana kuda tidak mempunyai saraf di akar bulu.

Kuda mempunyai banyak warna, termasuk pelbagai warna hitam, perang, perang berangan (perang kemerahan), kelabu kekuningan, warna emas, kelabu, perang kekuningan, dan putih. Kuda bay mempunyai bulu perang kemerahan dan tompok hitam (kaki, surai dan ekor). Banyak kuda bay gelap mempunyai bulu perang di belakang dan bulu perang kemerahan di sisi, bahagian bawah dan muda. Kuda perang berangan mungkin mempunyai surai dan ekor kuning pucat, atau perang kekuningan, tetapi bukan tompok hitam. Banyak kuda kelabu dilahirkan berwarna gelap dan bertukar menjadi cerah semasa ia membesar. Kuda Lippizza dan sesetengah kuda kelabu bertukar menjadi putih mengikut masa ia membesar sepenuhnya. Kuda dewasa yang berbulu putih umumnya dirujuk sebagai kuda kelabu. Kuda roan mempunyai bulu perang kekuningan atau perang kemerahan bercapuk-capuk dengan bulu kelabu atau putih. Pinto, yang juga dinamakan paint, mempunyai bulu berwarna hitam atau gelap dengan kawasan putih yang besar yang berbeza-beza coraknya.

Kepalbagaian baka kuda biasanya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama: (1) kuda ringan, (2) kuda berat, dan (3) kuda padi. Kuda ringan mempunyai tulang yang kecil dan kaki yang kurus. Kebanyakannya kurang daripada 590 kilogram beratnya. Kuda berat bertulang besar dan berkaki tebal dan pejal. Sesetangahnya mencecah berat melebihi 590 kilogram. Kuda padi adalah kuda kecil yang tingginya kurang daripada 145 sentimeter. Kebanyakan kuda padi beratnya kurang daripada 360 kilogram. Setiap satu daripada ketiga-tiga kumpulan utama kuda mempunyai banyak baka. Bagaimanapun, satu baka mungkin melibatkan lebih daripada satu jenis kuda. Misalnya, sesetengah jenis kuda padi diklasifikasikan sebagai kuda ringan, dan jenis yang lain dianggap kuda padi. Sebagai tambahan kepada kuda ringan, kuda berat dan kuda padi, terdapat juga beberapa jenis kuda liar seperti Przewalski dan tarpan.[4]

Hukum daging kuda

Mengenai perkara ini, terdapat sebuah riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata:

أَكَلْنا زَمَنَ خَيْبَرَ الخَيْلَ، وَحُمُرَ الوَحْشِ، وَنَهانا النبيُّ ﷺ عَنِ الحِمارِ الأهْلِيِّ

Maksudnya: “Pada waktu perang Khaibar kami pernah memakan (daging) kuda dan keldai liar, dan Nabi SAW melarang kami daripada memakan (daging) keldai jinak.”[5]

Begitu juga dalam sebuah hadith lain, daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, beliau berkata:

نَحَرْنا على عَهْدِ رَسولِ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَرَسًا فأكَلْناهُ

Maksudnya: “Kami telah menyembelih kuda pada zaman Rasulullah SAW dan kami memakannya.”[6]

Oleh itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dagingnya adalah halal dan tidak makruh memakannya. Ini juga merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i  dan majoriti ulama lain seperti Abdullah bin al-Zubair, Fadhalah bin ‘Ubaid, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakar, Suwaid bin Ghafalah, ‘Alqamah, al-Aswad, ‘Ata’, Syuraih, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha‘i, Hammad bin Abu Sulaiman, Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Daud dan lain-lain.[7]

Namun, di sana terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa hukum daging kuda adalah makruh. Pendapat ini disandarkan kepada Ibn Abbas R.Anhuma, al-Hakam, Malik dan Abu Hanifah.[8] Di antara hujah mereka ialah firman Allah SWT:

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً

Maksudnya: “Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan.”[9]

Mereka menyebutkan, ayat di atas menunjukan bahawa Allah SWT menjadikan haiwan-haiwan ini sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan, serta Allah SWT tidak menyebut pun di dalam ayat tersebut manfaatnya untuk dijadikan sebagai makanan — yakni untuk dimakan. Oleh itu, ini menunjukan bahawa tidak ada manfaat lain bagi haiwan-haiwan tersebut melainkan apa yang telah disebutkan. Selain itu, kuda juga diletakkan sekali bersama keldai dan baghal yang mana menunjukan mereka juga berkongsi hukum yang sama iaitu haram — untuk dimakan.[10]

Selain itu, terdapat sebuah riwayat daripada Khalid bin al-Walid R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ لُحُومِ الْخَيْلِ، وَالْبِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَكُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan daging kuda, baghal, keldai dan setiap haiwan buas yang bertaring.”[11]

Walau bagaimanapun, para ulama dalam kalangan imam-imam hadith dan selainnya telah bersepakat dengan menyebutkan bahawa hadith di atas adalah dhaif (lemah). Malah ada juga sebahagian daripada mereka yang menyatakan bahawa hadith ini telah dimansuhkan.[12]

Selain itu, para ulama juga telah menjawab kembali hujah mereka — yakni yang berpendapat hukum memakannya adalah makruh — dengan menyatakan bahawa apabila menyebutkan sebahagian manfaat daripada sesuatu perkara, tidaklah menafikan sebahagian manfaatnya yang lain. Oleh itu, dengan menyebut manfaat kuda sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan, tidaklah menunjukkan bahawa manfaatnya itu hanya terhad kepada kedua-dua perkara itu sahaja. Akan tetapi dikhususkan dengan menyebut kedua-dua manfaat tersebut kerana kedua-duanya merupakan tujuannya yang terpenting. Hal ini kerana kebiasaannya seekor kuda memang dijadikan sebagai haiwan tunggangan dan perhiasan berbanding menjadikannya sebagai sumber makanan.[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging kuda adalah halal dan tidak makruh memakannya sebagaimana pendapat majoriti seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi.

Cukuplah hadith Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma menjadi hujah bagi menolak mereka yang berpendapat bahawa daging kuda haram dimakan ataupun makruh kerana keluarga Abu Bakar al-Siddiq tidak akan melakukan sesuatu perbuatan mahupun perkara pada zaman Nabi SAW melainkan mereka mengetahui akan keharusannya — yakni boleh dilakukan — disebabkan oleh kerapnya mereka bersama dengan Nabi SAW.[14]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H

[1] Surah al-Jathiyah: 13

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kuda.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 11/536-543.

[5] Riwayat Muslim (1941)

[6] Riwayat al-Bukhari (5512); Muslim (1942)

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/4.

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/4; Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/497.

[9] Surah al-Nahl: 8

[10] Lihat al-At‘imah, hlm. 41-42; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/4.

[11] Riwayat al-Nasa’i (4332)

[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/96.

[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/5; Taudhih al-Ahkam, Cet. Dar Ibn Hazm, 3/497.

[14] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 9/206.

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles