Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah telur ayam dimakan secara mentah-mentah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]     

Mukadimah

Telur merupakan makanan yang versatil dan boleh dihidangkan dengan pelbagai cara. Selain itu, ia juga di antara makanan yang menjadi kegemaran orang ramai dan merupakan satu bahan penting di dalam masakan masyarakat Melayu. Contohnya, telur rebus selalunya dipotong kecil dan dimakan bersama nasi lemak, juga dimakan dengan mee kari atau laksa dan lain-lain. Selain itu, telur merupakan salah satu makanan yang sihat dan boleh menjadi sumber protein yang baik. Di samping itu, sebiji telur juga mempunyai pelbagai vitamin seperti vitamin A, B2, B12 dan D serta mineral seperti folat dan iodin.

Terdapat suatu perkara yang biasa kita dengar iaitu mengenai kebaikan memakan telur mentah khususnya bagi ahli bina badan untuk membina lebih banyak otot. Oleh sebab itu, ada yang menambah sebutir dua telur mentah ke dalam minuman ataupun smoothies, sebagai booster yang boleh bantu mereka membina lebih banyak otot dalam masa yang singkat. Persoalan yang timbul adakah ia suatu yang benar?

Sebenarnya telur rebus adalah lebih baik berbanding telur mentah. Hal ini kerana ia mempunyai lebih banyak protein berbanding telur mentah. Makan atau minum telur mentah tidak mempunyai sebarang kebaikan tambahan berbanding telur rebus atau telur separuh masak. Proses memasak telur membantu untuk menguraikan protein supaya ia lebih mudah untuk dicerna dan diserap oleh badan. Tambahan lagi, protein dalam telur mentah hanya diserap sebanyak 50-60% sahaja berbanding 90% protein yang terdapat dalam telur rebus. Bukan itu sahaja, telur mempunyai sejenis vitamin larut air yang bagus untuk pertumbuhan rambut dan kuku. Manfaat ini tidak dapat dinikmati oleh mereka yang makan telur mentah kerana wujudnya sejenis protein yang bernama avidin. Avidin dalam telur mentah akan mengelakkan biotin daripada diserap sepenuhnya oleh badan. Telur yang dimasak tidak mempunyai avidin kerana protein ini telah terurai selepas dimasak.

Namun, jika tetap memilih untuk makan telur mentah, pastikan telur itu disimpan di dalam kawasan yang sejuk dan kering seperti di dalam peti ais. Selain itu, cuci dan lap tempat memasak dengan baik dan basuh tangan sebelum memegang telur. Selain itu juga, pastikan tidak makan telur yang sudah melepasi tarikh akhir dan telur yang pecah ataupun retak.[3]

Makan telur ayam secara mentah

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci.[4] Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana ia adalah suci dan tidak dianggap jijik.[5]

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular.[6]

Oleh itu, kita dapat rumuskan bahawa semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan tidak kira telur yang berasal daripada haiwan yang halal dimakan ataupun yang berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan, melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Maka ia menepati kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[7]

Walaupun begitu, perkara ini perlu juga dilihat berdasarkan kesihatan. Hal ini kerana permukaan kulit telur ayam yang kelihatan bersih, dan tidak retak bukan jaminan telur itu tidak tercemar. Hakikatnya, telur itu masih berisiko tercemar oleh kuman iaitu bakteria, virus dan fungus. Biasanya kuman yang dikaitkan dengan telur tercemar ialah Salmonella. Menurut Dr. Ida Zarina Zaini, Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Salmonella ialah satu kumpulan bakteria yang menyebabkan keracunan makanan. Permukaan kulit telur yang bersih dijangkiti Salmonella semasa proses bertelur atau melalui najis ayam di kawasan sekitar ayam bertelur. Walau bagaimanapun, telur ayam boleh bebas daripada bakteria Salmonella selepas dipasteurisasi iaitu proses pemanasan untuk membunuh kuman pada telur berkenaan.

Beliau menyebutkan lagi, pesakit yang dijangkiti Salmonella akan mula mengalami gejala keracunan makanan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam dalam tempoh 12 hingga 72 jam. Bagaimanapun, pesakit boleh menghidap gejala ini dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 30 minit selepas mengambil makanan yang dicemari Salmonella, namun ia jarang berlaku. Hal ini kerana Salmonella menghasilkan toksin yang menyerang sel di permukaan usus yang menyebabkan individu mendapat gejala cirit-birit dan muntah. Lazimnya, gejala yang dialami individu berlaku dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan akan sembuh tanpa memerlukan rawatan di hospital.

Selain itu, bakteria Salmonella ini juga sangat berbahaya kerana bukan sahaja boleh menyebabkan keracunan makanan malah membawa maut. Hal ini kerana keracunan makanan disebabkan Salmonella boleh mengakibatkan kematian melalui dua cara iaitu apabila pesakit kehilangan air (dehidrasi) yang teruk dan sepsis. Lalu beliau menyimpulkan dengan katanya, oleh sebab itu orang ramai tidak digalakkan makan telur mentah atau separuh masak.[8]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa harus memakan telur ayam secara mentah. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[9]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[10]

Sekalipun begitu, kami juga ingin menyarankan di sini, adalah lebih baik jika telur itu dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan sama ada direbus atau digoreng dan sebagainya kerana perkara itu lebih diyakini selamat dari segi kesihatan dan juga buat tubuh badan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/makan-telur-mentah-rebus/. Diakses pada 9 Februari 2022.

[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555.

[5] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158.

[6] Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82.

[7] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.

[8] Lihat https://www.hmetro.com.my/sihat/2020/06/589501/makanlah-telur-betul-betul-masak. Diakses pada 9 Februari 2022.

[9] Surah al-Baqarah: 195

[10] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *