#462 Memakan Temilok — Cacing Paya Bakau

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah temilok yang dikenali juga sebagai cacing kayu bakau dimakan oleh orang Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]

Definisi Temilok atau kejumah

Temilok merupakan sejenis ulat atau cacing yang dijumpai dalam kayu bakau. Di Sarawak, ulat ini bukanlah sesuatu yang asing untuk penduduk di kawasan Lundu. Masyarakat di sana memanggil ulat ini dengan gelaran ulat kejumah. Bagi mereka yang pertama kali melihat temilok ini, pasti akan rasa sedikit tidak senang atau geli kerana bentuknya yang panjang dan licin. Temilok juga mempunyai bahagian mata yang berbentuk bulat dan bahagian ekor yang berbentuk seperti dua tulang kecil. Diameternya pula agak-agak sebesar sebatang pen atau besar sedikit daripada itu.

Temilok ini kebiasaannya dijumpai di dalam akar kayu bakau yang telah lama ditenggelami air atau di dalam kayu bakau telah tumbang. Habitatnya adalah di kawasan hutan paya bakau. Ia bukan sahaja boleh dijumpai di Sarawak, tetapi juga di mana-mana kawasan paya bakau di Asia. Contohnya seperti di Papua New Guinea, Filipina malah di Australia. Namanya juga berbeza-beza mengikut tempat. Jika di Papua, ia digelar tambelo. Jika di Filipina pula, ia digelar tamiloc atau tamilok manakala masyarakat di Australia menggelarnya sebagai Mangrove Worms atau Shipworms. Para pencari kejumah akan mengetahui kayu bakau yang didiami oleh temilok ini berdasarkan lubang-lubang yang ada semasa kayu-kayu tersebut dibelah.

Berdasarkan jurnal saintifik yang diterbitkan di laman Semantic Scholar, ulat kejumah atau nama saintifiknya Bactronophorus thoracites, merupakan sejenis kerang penebuk kayu (wood-borer shellfish) yang memiliki khasiat pemberi tenaga yang tinggi. Bahkan, ia juga dapat membekalkan tenaga secara luaran mahupun dalaman kepada manusia dalam bentuk glukosa, glikogen dan lemak sekaligus sebagai makanan pemberi stamina. Masyarakat di Papua percaya bahawa temilok ini sebagai ‘kamoro pil’, iaitu makanan yang sesuai dimakan oleh para ibu kerana ia berupaya untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu. Selain itu, temilok juga dikatakan mempunyai khasiat untuk mencegah dan memberi kesan terapeutik kepada penyakit malaria, batuk, selesema, reumatik dan sakit belakang.

Ulat ini boleh dimakan secara mentah mahupun dimasak dengan cara rebusan bersama serai dan lauk berempah. Isinya berwarna putih, dan kadang kala dihirup begitu sahaja, Rasanya pula seakan-akan telur ayam separuh masak tanpa isi kuning. Bukan sahaja ia digemari oleh penduduk Melayu dan Iban, malah ia juga turut menjadi buruan masyarakat Cina di kawasan tersebut.[3]

Hukum makan temilok

Jika dilihat kepada habitatnya, temilok ini dijumpai di dalam kayu paya bakau yang ditenggelami air. Justeru ia dinisbahkan kepada haiwan air. Mengenai hal ini, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[4]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[5]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini dan pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[6] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[7]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[8]

Oleh itu, temilok atau kejumah ini termasuk dalam jenis haiwan air yang halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan sebagaimana yang disebutkan oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Bahkan Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak sebulat suara menerima hukum seperti berikut:

  1. Menurut pendapat jumhur (ulama mazhab Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan Hanbali) bahawa haiwan yang tinggal di dalam air semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 12 dan Surah al-Ma’idah ayat 96.
  2. Berdasarkan hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi juga menjelaskan bahawa Allah SWT tidak membezakan antara haiwan hidupan laut yang dinamakan oleh manusia sebagai ikan semata-mata tetapi termasuk juga babi laut yang tidak membawa maksud kepada babi yang ada.
  3. Ini menunjukkan bahawa dalil-dalil di atas menyokong semua jenis hidupan laut sama ada ditangkap atau diambil semasa hidup mahu pun mati adalah halal dimakan.
  4. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan jumhur ulama yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan termasuklah Temilok.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa temilok yang dikenali juga sebagai kejumah adalah harus dimakan kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air. Justeru, ia adalah halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan, juga bangkainya dikira suci sebagaimana ikan. Pendapat ini juga adalah selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) bertarikh: 20 November 2014.

Tambahan lagi, ia dikatakan memiliki khasiat pemberi tenaga yang tinggi, dapat membekalkan tenaga secara luaran mahupun dalaman kepada manusia dalam bentuk glukosa, glikogen dan lemak sekaligus sebagai makanan pemberi stamina.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat https://www.iloveborneo.my/cerita-menarik-dari-borneo/temilok-kejumah-cacing-kayu-bakau-yang-enak-sebagai-alternatif-ulat-mulong/. Diakses pada 10 Februari 2022.

[4] Surah al-Ma’idah: 96.

[5] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[6] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548; Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34.

[7] Surah al-Ma’idah: 96

[8] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

[9] Lihat https://muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=news&sub=news_view&nid=156. Diakses pada 10 Februari 2022.

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles