Ramadhan merupakan madrasah yang sepatutnya kita memperolehi tarbiyah serta kebaikan yang amat banyak. Antara yang mungkin kita boleh usahakan dengan cita-cita yang teguh serta tekad dan azam menjadikan Ramadhan ini sebagai mukhayyam tarbawi.
Dengan kesibukan masa pada bulan-bulan yang lain, ramai ketua keluarga atau ibu bapa yang biasanya sibuk bekerja, tidak sempat untuk melayan kerenah anak, bermesra dengan anak-anak apatah lagi duduk bersama mendengar rintihan dan isu yang terkait dengan anak-anak. Bukan sekadar itu, tetapi makan dan minum pun tidak sempat bersama.
Kita boleh gambarkan suami yang bekerja di Kuala Lumpur sedangkan isteri yang bekerja di Jempol, mereka menetap di Nilai. Kemungkinan besar mereka keluar rumah selepas Subuuh atau selewat-lewatnya 6.45 pagi. Ketika itu, mereka sudah tidak sempat lagi bersama termasuk anak-anak. Pada tengahari sudah tentu, mereka berada di tempat kerja. Sedangkan pada waktu petang, dengan sebuah keletihan di samping mungkin terdapatnya meeting yang urgent dan mengejut, membawa kepada pulang pada malam hari.
Maknanya, mereka juga kurang berkesempatan untuk makan di waktu malam bersama-sama. Alhamdulillah, dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, mereka dapat makan bersama ketika berbuka puasa. Begitu juga, sahur bersama pada awal pagi. Peluang ini, apabila tidak dirancang dengan sebaiknya oleh ketua keluarga atau ibu bapa, maka, anak-anak berbuka puasa dalam keadaan biasa sahaja dan kemungkinan besar solat Maghrib tidak mungkin dilakukan secara berjemaah oleh semua ahli keluarga.
Ini kerana, selepas berbuka, masing-masing sibuk berebut dengan tandas dan akhirnya, hanya ibu dan bapa sahaja yang daapt solat berjemaah. Boleh jadi dan berkemungkinan besar jika ini tidak diurus, anak-anak akan terlewat solat Maghrib sehingga melewati pukul 8.00 malam. Lebih malang lagi, mereka tidak lagi dapat untuk pegi ke masjid. Inilah yang berlaku di kalangan banyak keluarga. Makanya, jadilah Ramadhan kali ini dengan penuh lesu tanpa perancangan dan agenda untuk menghadap kepada Allah SWT dengan sebaik mungkin dalam sebuah keluarga.
Saya sarankan setiap kali menyampaikan ceramah agar kita mewakafkan satu jam waktu setiap hari iaitu setengah jam sebelum berbuka dan setengah jam selepas Maghrib untuk diatur acara ibadat dengan lebih baik.
Pertamanya, pastikan persediaan berbuka puasa sudah siap setengah jam sebelum berbuka. Sebagai contoh, sebelum pukul 7.00 petang, makanan sudah siap tersedia di atas meja.
Kedua, peruntukkan setengah jam sebelum berbuka dengan tiga aktiviti utama iaitu:
- Zikrullah, selawat atas Nabi SAW, istighfar, bacaan al-Quran dengan mengambil masa 10 minit sahaja.
- Mempelajari ilmu dengan memilih bahan-bahan ilmiah untuk diajar kepada kita semua sebagai tazkirah. Saya cadangkan seperti buku Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Ini bermakna, berkahirnya Ramadhan maka kita dapat khatamkan buku tersebut dengan jayanya, yang akhirnya, keluarga kita mengenali serta makrifah sirah Rasulullah SAW.
- Kita gunakan 10 minit terakhir sebelum berbuka dengan menadah tangan berdoa kepada Allah SWT. Saya cadangkan agar kita boleh memiliki buku Inilah Doaku untuk kita beramal sepanjang bulan Ramadhan ketika hampir berbuka puasa untuk berdoa dan munajat serta malam-malam Ramadhan.
Akhirnya, sekitar 7.45 malam atau lebih kurang 15 minit, kita semua sudah selesai menjamah selera atau berbuka puasa dengan selesanya. Seterusnya, sekitar 7.45 malam, kita dapat menunaikan solat Maghrib berjemaah. Ini bermakna, kita boleh lakukan solat Maghrib masih lagi dalam awal waktu. Sementelahan pula, dapat dilaksanakan secara berjemaah dalam sebuah keluarga.
Mungkin selepas itu, kita dan anak-anak kita boleh la repeat atau menyambung makan lagi. Apabila hampir jam 8.20 malam, kita semua sudah bersedia untuk menuju ke masjid secara berkeluarga. Sampai di masjid, masing-masing bolehlah memasukkan sedikit wang ke dalam tabung masjid, solat tahiyyatul masjid, menjawab azan, solat sunat qabliyyah Isyak, iktikaf dan seterusnya solat Isyak serta tarawih secara berjemaah. Begitu juga dengan solat witir. Diakhiri dengan jamuan moreh dan bersalam-salaman.
Alhamdulillah, apabila pulang ketua keluarga boleh juga mengajak anak-anaknya pekena roti canai, char kuey teaw, mee goreng dan lain-lain sebagai bekalan tenaga untuk esok hari.
Latihan selama sebulan seperti ini, sudah tentu membawa kepada keakraban keluarga dan lebih mengenali antara satu sama lain dan rasa kebersamaan begitu wujud antara keseluruhan ahli keluarga. Ini sudah tentu memberi satu makna yang besar dalam membentuk keluarga yang bahagia.
Saya nukilkan di sini empat erti kebahagiaan mengikut cerdik pandai:
- Ibnu Khaldun berkata, “Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikuti garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan.”
- Thomas Fuller berkata, “Berbahagialah orang yang berasa bahagia kerana anak-anaknya.”
- Goethe berkata, “Bahagia dan kesedaran akan kekal apabila disertai dengan perasaan keagamaan.”
- Eddie Contor berkata, “Seluruh kebahagiaan adalah bekerja, keluarga, dan kepercayaan.”
Oleh kerana wujudnya kebersamaan dan berjemaah sama ada dalam bentuk fizikal tubuh badan seperti makan minum bersama, apatah lagi dalam bentuk kerohanian seperti solat berjemaah, pergi ke masjid bersama, tazkirah, membaca doa, dan meng’amin’kannya secara bersama, sudah tentu menatijahkan rasa kebahagiaan.
Tambahan pula, bermula daripada mengejutkan anak atau keluarga untuk bersahur dan solat Subuh berjemaah. Ini sudah pasti dapat menambahkan lagi silaturrahim sesama keluarga dalam mencari mardhatillah. Alangkah baiknya, kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan keluarga yang menjadi penawar dan penyejuk hati kita.
Semoga keluarga Ramadhan kita dapat mencapai Baiti Jannati.
Benarlah firman Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
3 Ramadhan al-Mubarak 1444 H