Renungan Ramadhan #6: Nabi Palsu Dibunuh, al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid al-Thaqafi

Alhamdulillah, sudah enam hari kita melangsungkan ibadat puasa Ramadhan. Dalam catatan kemenangan untuk siri Tazkirah Harian Ramadhan. Pada kali ini kami akan fokuskan kisah Nabi Palsu Dibunuh, al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid al-Thaqafi. Kami mulakan dengan dua hadith Nabi SAW:

Ibn Abbas berkata: Disebutkan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ، رَأَيْتُ أَنَّهُ وُضِعَ فِي يَدَيَّ سِوَارَانِ مِنْ ذَهَبٍ، فَفُظِعْتُهُمَا وَكَرِهْتُهُمَا، فَأُذِنَ لِي فَنَفَخْتُهُمَا فَطَارَا، فَأَوَّلْتُهُمَا كَذَّابَيْنِ يَخْرُجَانِ. فَقَالَ عُبَيْدُ اللهِ: أَحَدُهُمَا العَنْسِيُّ الَّذِي قَتَلَهُ فَيْرُوزُ بِاليَمَنِ وَالآخَرُ مُسَيْلِمَةُ.

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi bahawa diletakkan pada kedua belah tanganku dua gelang emas, maka aku berasa gerun dan aku tidak menyukai kedua-duanya. Setelah itu aku diberi keizinan, maka aku meniup kedua-duanya sehingga ia pun terbang. Maka aku menakwilkan kedua-duanya bahawa itu adalah dua orang pendusta yang akan muncul.” Maka ‘Ubaidillah berkata: “Salah seorang daripada keduanya adalah al-‘Ansi yang dibunuh oleh Fairuz di Yaman, dan yang lainnya adalah Musailimah.”

Riwayat al-Bukhari (7034)

Rasulullah SAW bersabda: 

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ إِذْ أُوتِيتُ خَزَائِنَ الأَرْضِ، فَوُضِعَ فِي يَدَيَّ سِوَارَانِ مِنْ ذَهَبٍ، فَكَبُرَا عَلَيَّ وَأَهَمَّانِي، فَأُوحِيَ إِلَيَّ أَنِ انْفُخْهُمَا، فَنَفَخْتُهُمَا فَطَارَا، فَأَوَّلْتُهُمَا الكَذَّابَيْنِ اللَّذَيْنِ أَنَا بَيْنَهُمَا صَاحِبَ صَنْعَاءَ، وَصَاحِبَ اليَمَامَةِ.

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku diberikan dengan perbendaharaan bumi, lalu diletakkan pada kedua belah tanganku dua gelang emas yang kemudian terasa besar (berat) bagiku dan menjadikan aku gelisah, lalu diwahyukan kepadaku agar aku meniup kedua-duanya, maka aku pun meniup kedua-duanya sehingga ia terbang. Maka aku menakwilkannya bahawa itu adalah dua orang pendusta yang mana aku berada di antara kedua-duanya (iaitu) penguasa San‘a’ dan penguasa Yamamah.”

Riwayat al-Bukhari (7037)

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya menghampiri tiga puluh. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609) dan Muslim (157)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, orang pertama di antara mereka (para pendusta besar) yang menerima pengaruh yang luas ialah al-Mukhtar bin Abi Ubaid al-Thaqafi. Dia berjaya menguasai Kufah pada awal tempoh Khilafah Ibn al-Zubair.

Pada awalnya, al-Mukhtar telah menzahirkan kecintaan terhadap Ahlul Bait dan mengajak orang ramai menuntut balas terhadap para pembunuh al-Husain. Dia pun mengejar mereka dan membunuh sebahagian besar pelaku pembunuhan al-Husain atau mereka yang turut terlibat dalam pembunuhan. Disebabkan hal itulah, maka dia dikasihi oleh orang ramai. Pengikutnya semakin bertambah ramai sehingga dia berjaya menguasai Kufah.

Setelah itu, syaitan menyesatkannya sehingga dia berani mendakwa dirinya sebagai nabi dan mengaku didatangi oleh malaikat Jibril AS (untuk menyampaikan wahyu). Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan melalui sanad yang sahih, daripada Rifa’ah bin Syaddad, katanya, “Aku sangsi sesuatu tentang al-Mukhtar. Pada suatu hari, aku masuk menemuinya, maka dia pun berkata, “Engkau masuk ketika Jibril baru sahaja berdiri dari kerusi ini.” 

Ya’qub bin Sufyan menukilkan melalui sanad yang hasan daripada al-Sya’bi, bahawa al-Ahnaf bin Qais memperlihatkan surat al-Mukhtar kepadanya, yang menyatakan dirinya sebagai nabi. Abu Daud menukilkan dalam kitab al-Sunan daripada Ibrahim al-Nakha’i, katanya: “Aku berkata kepada Ubaidah bin Amr, “Apakah engkau melihat al-Mukhtar termasuk dari kalangan mereka (yakni pendusta-pendusta besar)?” Dia menjawab, “Ketahuilah, dia termasuk salah seorang tokohnya.”  Al-Mukhtar dibunuh antara tahun 63 – 69 H. (Lihat Fath al-Bari, 10/410)

Ramai keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat serta umat Islam telah menyaksikan pembohongan dakwaan kenabian dan pendustaan  yang nyata oleh al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid al-Thaqafi.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, daripada Asma’ binti Abi Bakar al-Siddiq R.Anhuma, pada kisahnya bersama Hajjaj [1] seraya berkata kepadanya, 

 أَنَّ فِي ثَقِيفٍ كَذَّابًا وَمُبِيرًا، فَأَمَّا الْكَذَّابُ فَرَأَيْنَاهُ، وَأَمَّا الْمُبِيرُ فَلَا إِخَالُكَ إِلَّا إِيَّاهُ

Maksudnya: “Adapun sesungguhnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami bahawa pada Bani Thaqif terdapat seorang kazzab (yang amat dusta) dan mubir. Adapun yang amat dusta kami telah melihatnya dan adapun mubir, tiadalah bagimu kecuali sifatnya terlalu banyak membunuh.

Riwayat Muslim (4072)

Lantas Hajjaj bangkit daripadanya dan terus tidak merujuk kepadanya lagi. Adapun perkataan mubir memberi makna raja yang amat zalim lagi membinasakan. Ia bermaksud kepada Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi. Sedangkan yang dikehendaki dengan al-kazzab ialah al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid al-Thaqafi. Yang demikian itu adalah ijma’ ulama sebagaimana xkata Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (2/100).

Semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT sentiasa hidayahkan kita dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

5 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

 

Nota hujung:

[1] Nama penuhnya adalah Hajjaj bin Yusuf bin Abu Uqail bin Mas’ud al-Thaqafi. Ibunya pula bernama Al-Fari’ah bin Yusuf binti Hammam bin Urwah bin Mas’ud Ath-Tsaqafi. Dia lahir di kota Tha’if pada tahun 660 M. Imam al-Dzahabi mengulas mengenai peribadi mengenai Hajjaj iaitu:

“Al Hajjaj, Allah memusnahkannya di bulan Ramadhan tahun 95 Hijrah dalam keadaan tua, dan beliau adalah seorang yang zalim, bengis, naashibi (pembenci Ahlul Bait), keji, suka menumpahkan darah, memiliki keberanian, kelancangan, tipu daya, dan kelicikan, kefasihan, ahli bahasa, dan kecintaan terhadap Al Quran.

Aku (Imam al-Dzahabi) telah menulis tentang sejarah hidupnya yang buruk dalam kitabku Al-Tarikh Al-Kabir, mengenai pengepungannya terhadap Ibnu al-Zubair dan Ka’bah, serta perbuatannya melempar Ka’bah dengan manjaniq, penghinaannya terhadap penduduk Al Haramain (dua tanah haram), penguasaannya terhadap ‘Iraq dan wilayah timur, semuanya selama 20 tahun.

Juga peperangannya dengan Ibnul Asy’ats, sikapnya melambat-lambat (melalaikan) solat sehinggalah Allah mematikannya, maka kami mencelanya, dan kami tidak mencintainya, sebaliknya kami membencinya kerana Allah.” (Siyar A’lam An Nubala’, 4/343)

Hajjaj wafat di Wasith pada 714 M pada zaman Khalifah Al-Walid. Imam Ibnu Katsir berkata :

“Lebih dari seorang yang meriwayatkan bahwa Al Hasan (Al Basri) ketika dikhabarkan dengan berita gembira mengenai kematian Al Hajjaj, beliau langsung melakukan sujud syukur kepada Allah Ta’ala yang mana sebelumnya beliau bersembunyi, maka setelah itu beliau menonjolkan diri. Lalu beliau berdoa: “Ya Allah, matikanlah dia dan hilangkanlah sunnahnya (kebiasaan-kebiasaannya) dari diri kami.”

Hammad bin Sulaiman berkata, “Apabila aku mengkhabarkan kepada Ibrahim An Nakha’i tentang kematian Al Hajjaj, beliau pun menangis kerana gembira.” (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah, 9/159).

Kata Al Waqidi, “Bahwa Al Hajjaj men!ggal dengan meninggalkan 300 dirham, sebuah mushaf, sebilah pedang, pelana, sekedup, dan seratus baju besi (armour) yang diwakafkan.” (Tarikh Dimasyq, 12/191 dan al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/159)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *