#528 Basuh Tangan Sebelum Makan

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum membasuh tangan sebelum makan? Adakah ia turut disunatkan sebagaimana membasuh tangan selepas makan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan membasuh tangan terutama sebelum makan atau selepas menggunakan tandas merupakan suatu kelaziman dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini kerana tangan adalah bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai permukaan dan tempat yang mempunyai kuman. Membasuh tangan dapat mencegah penyakit dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain kerana kelazimannya kita kerap menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa sedar. Tangan yang tercemar akan memindahkan kuman ke saluran pernafasan melalui mata, hidung dan mulut. Kuman daripada tangan yang tidak dibasuh boleh berpindah ke objek yang disentuh seperti tombol pintu, telefon bimbit, duit dan juga semasa bersalaman. Justeru, membasuh tangan dengan sabun dan air dapat menyingkirkan kuman dan mencegah pelbagai penyakit. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sering menasihatkan orang ramai kerap membasuh tangan mengguna air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat.[1]

Menurut Dr. Ragesh, antara bakteria yang hadir di tapak tangan dan jari ialah staphylococcus (yang boleh menyebabkan bisul dan nanah), streptococci (sakit tekak), bacillus, clostridim, Escherichia Coli atau E Coli (yang boleh menyebabkan cirit-birit) serta juga virus Influenza A (yang menyebabkan selesema babi). Menurut beliau lagi, Membasuh tangan ialah kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan dan seseorang itu mesti terus mengamalkan amalan membasuh tangan, sebab kuman biasanya menjangkiti beberapa hari sebelum seseorang itu berasa sakit.[2] Oleh itu, amalan membasuh tangan ini perlu dijadikan amalan dalam diri seseorang sepanjang masa.

Pada asasnya, para ulama telah bersepakat bahawa hukum membasuh kedua-dua tangan selepas makan adalah sunat.[3] Malah, ia termasuk dalam antara adab-adab makan.[4] Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من أحبَّ أن يُكَثِّرَ اللهُ خَيْرَ بَيْتِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ إِذَا حَضَرَ غَدَاؤُهُ وَإِذَا رُفِعَ

Maksudnya:Sesiapa yang ingin Allah SWT memperbanyakkan kebaikan di dalam rumahnya, hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan) dan selepas diangkat (selesai makan).”[5]

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #523 Basuh Tangan Selepas Makan.[6]

Membasuh tangan sebelum makan

Secara umumnya, para ulama telah berselisih pendapat berkenaan hukum membasuh tangan sebelum makan, sekurang-kurangnya kepada dua pendapat. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat perbuatan membasuh tangan sebelum makan adalah disunatkan dan ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat ia tidak disunatkan.

Menurut mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali, perbuatan membasuh tangan sebelum makan hukumnya adalah sunat.[7] Bahkan amalan membasuh kedua-dua tangan sebelum makan dan selepasnya juga termasuk di dalam adab-adab makan.[8] Al-Mawardi menjelaskan lagi mengenai perkara ini dengan menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu mahu makan, hendaklah dia mengamalkan adab-adab makan yang telah disunatkan hukumnya. Antaranya ialah membasuh kedua tangan sebelum makan dan selepas makan. Malah, jika dia dapat berwuduk bagi kedua-dua keadaan tersebut adalah lebih baik lagi — yakni lebih afdhal.[9]

Selain itu, Ibn Qudamah menyatakan turut menyebutkan bahawa antara adab-adab makan ialah disunatkan untuk membasuh kedua-dua tangan sebelum makan dan selepas makan, sekalipun dia sudah berada dalam keadaan berwuduk. Al-Marruzi berkata: “Aku melihat Abu ‘Abdillah membasuh kedua tangannya sebelum makan dan selepas makan, sekalipun dia sudah berwuduk.”[10]

Para ulama yang berpegang dan memilih pendapat pertama — yakni disunatkan membasuh tangan sebelum makan — berhujah berdasarkan hadith daripada riwayat Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَلْيَتَوَضَّأْ إِذَا حَضَرَ غَدَاؤُهُ

Maksudnya: “Hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan).”[11]

Begitu juga dalam riwayat daripada Salman al-Farisi R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

بَرَكةُ الطَّعامِ الوُضوءُ قَبلَه، والوُضوءُ بَعدَه

Maksudnya: “Keberkatan makan itu ialah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya.”[12]

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa lafaz ‘berwuduk’ yang terdapat dalam hadith di atas adalah merujuk kepada perbuatan membasuh tangan.[13]

Manakala pendapat kedua pula ialah ia tidak disunatkan sebagaimana pendapat yang dipilih oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Beliau jelas menyebutkannya dalam Syarh Sunan Abi Daud bahawa:

فِي هَذِهِ الـمَسْأَلَةِ قَوْلَان لِأَهْلِ العِلْمِ، أَحَدُهُمَا: يُسْتَحَبُ غَسْلُ الْيَدَيْنِ قَبْلَ الطَّعَامِ، وَالثَّانِي: لَا يُسْتَحَب، وَهُـمَا فِي مَذْهَبِ أَحْمَد وَغَيْرِهِ، وَالصَّحِيحُ أَنَّهُ لَا يُسْتَحَب وَقَالَ النَّسَائِي فِي كِتَابِهِ الكَبِيرُ: بَابُ تَرْكَ غَسْلِ اليَدَيْنِ قَبْلَ الطَّعَامِ، ثُمَّ ذَكَرَ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ جُرَيْج عَنْ سَعِيدِ بْنِ الحُوَيْرِث عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم تبرز ثم خرج, فطعم ولم يمس ماء. وإسناده صحيح

Maksudnya: “Mengenai permasalahan ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama. Pendapat pertama menyatakan, disunatkan membasuh kedua tangan sebelum makan. Manakala pendapat kedua pula menyatakan tidak disunatkan. Kedua-dua pendapat ini merupakan pendapat mazhab Ahmad dan selainnya. Pendapat yang sahih (tepat) adalah ia tidak disunatkan. Al-Nasa’i menyebutkan dalam kitabnya al-Kabir: Bab meninggalkan membasuh tangan sebelum makan. Kemudian, beliau menyebutkan hadith Ibn Juraij daripada Sa‘id bin al-Huwairith daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menunaikan hajat (yakni buang air), kemudian Baginda keluar (dari situ setelah selesai). Lalu Baginda telah makan tanpa menyentuh air (yakni tidak membasuh tangan terlebih dahulu sebelum makan). Sanad-sanad hadith ini adalah sahih.”[14]

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang membezakan antara dua keadaan. Ini adalah sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Maliki yang menyebutkan bahawa membasuh tangan sebelum makan hukumnya bukanlah sunat melainkan jika terdapat kotoran padanya. Sekiranya kotoran itu adalah najis, maka dia wajib membasuhnya. Akan tetapi sekiranya kotoran tersebut bukan najis, maka disunatkan untuk dia membasuhnya.[15]

Tidak mengapa jika tidak membasuh tangan sebelum makan

Sekalipun begitu, jika seseorang itu tidak membasuh tangan sebelum makan, maka tidak mengapa dan tidak makruh meninggalkannya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

أَنَّهُ خَرَجَ مِنَ الْغَائِطِ، فَأُتِيَ بِطَعَامٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا آتِيكَ بِوَضُوءٍ قَالَ: أَأُرِيدُ الصَّلَاةَ؟

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW baru sahaja selesai membuang air besar. Kemudian Baginda dihidangkan dengan makanan. Lalu ada seorang lelaki bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mahukah aku sediakan air untuk kamu berwuduk?’ Baginda menjawab: ‘Adakah aku hendak solat?’[16]

Begitu juga terdapat dalam riwayat Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW pernah datang dari jalan sebuah bukit, dan Baginda baru sahaja selesai menunaikan hajatnya (yakni buang air). Sedangkan di antara kami terdapatnya kurma (yang diletakkan) di atas perisai. Kemudian kami mengundang Baginda untuk makan bersama, lalu Baginda makan tanpa menyentuh air (yakni membasuh tangannya terlebih dahulu sebelum makan).[17]

Justeru, jelaslah bahawa sekalipun membasuh tangan sebelum makan merupakan suatu perkara yang digalakkan (yakni disunatkan), akan tetapi tidaklah sehingga menyebabkan seseorang itu berdosa jika meninggalkannya (yakni tidak membasuh tangan).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membasuh tangan sebelum makan adalah disunatkan dan termasuk dalam perkara sunnah serta adab-adab makan. Namun, tidak mengapa jika seseorang itu meninggalkannya yakni tidak membasuh tangan sebelum makan dan dia tidak berdosa.

Sekalipun begitu, bukanlah bermaksud seseorang itu boleh mengambil sambil lewa akan perkara ini. Hal ini kerana tangan adalah bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai permukaan dan tempat yang mempunyai kuman. Oleh itu, dengan membasuh tangan dapat mencegah penyakit dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain. Tangan yang tercemar akan memindahkan kuman ke saluran pernafasan melalui mata, hidung dan mulut, apabila tangan menyentuh tempat-tempat tersebut. Begitu juga kuman daripada tangan yang tidak dibasuh boleh berpindah ke objek yang disentuh seperti tombol pintu, telefon bimbit, duit dan juga semasa bersalaman. Justeru, membasuh tangan dengan sabun dan air dapat menyingkirkan kuman dan mencegah pelbagai penyakit.

Selain itu juga, amalan membasuh tangan ini adalah lebih dekat dengan agama Islam yang sentiasa menekankan penganutnya untuk sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih sepanjang masa. Sebagai penutup, kami akhiri dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[18]

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[19] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor.[20]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Lihat https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/mengapa-perlu-kerap-membasuh-tanganmembasuh-tangan-terutama-sebelum-makan-atau-s/10157140736861237/. Diakses pada 17 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2010/01/07/ibu-kenapa-kita-perlu-basuh-tangan. Diakses pada 17 Februari 2022.

[3] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270.

[4] Lihat al-Najm al-Wahhab fi Syarh al-Minhaj, 7/389; al-Mughni, 7/289; al-Hawi al-Kabir, 9/561.

[5] Riwayat Ibn Majah (3260)

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/523-basuh-tangan-selepas-makan/. Diakses pada 19 Februari 2022.

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270.

[8] Lihat al-Najm al-Wahhab fi Syarh al-Minhaj 7/389; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 16/405.

[9] Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/561.

[10] Lihat al-Mughni, 7/289.

[11] Riwayat Ibn Majah (3260)

[12] Riwayat Abu Daud (3761)

[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 16/405.

[14] Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 10/232-233.

[15] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270.

[16] Riwayat Ibn Majah (3261)

[17] Riwayat Abu Daud (3762)

[18] Surah al-Baqarah: 222

[19] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44.

[20] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35.

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles