Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah belalang perlu disembelih terlebih dahulu sebelum halal memakannya? Jika benar begitu, bagaimanakah caranya? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”[1]
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”[2]
Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]
Definisi belalang dan habitatnya
Ringkasnya, belalang ialah serangga yang boleh melompat kira-kira sejauh 20 kali panjang badannya. Belalang sama ada bertanduk pendek, dengan sesungut pendek atau bertanduk panjang, dengan sesungut panjang. Badan belalang mempunyai tiga bahagian utama iaitu; (1) kepala, (2) toraks dan (3) abdomen. Kulit keras yang dikenali sebagai eksoskeleton menutupi badannya. Ia mempunyai lima mata. Mata majmuk yang besar, terdiri daripada beribu-ribu kanta tunggal, terletak di kedua-dua belah kepala. Dengan mata ini, ia boleh melihat ke depan, ke sisi dan ke belakang. Ia mempunyai enam kaki dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Sesetengah spesies mempunyai sayap yang pendek dan tidak berguna, dan yang lain tidak bersayap langsung. Belalang hidup di kebanyakan bahagian di dunia kecuali dekat Kutub Utara dan Selatan. Banyak belalang hidup di padang dan padang rumput yang terdapat banyak daun untuk dimakan. Antara spesies belalang yang ada ialah belalang kunyit, belalang lubber, Katydid, belalang juta dan lain-lain.[4]
Hukum memakan belalang
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa belalang bangkainya adalah halal dimakan, tidak kira sama ada matinya itu bersebab atau ia mati dengan sendirinya. Ini adalah pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan majoriti daripada kalangan mereka.[5] Pada asasnya, belalang adalah haiwan yang halal dimakan kerana terdapat nas yang menyebutkan mengenai kehalalannya. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[6]
Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #524 Memakan Belalang.[7]
Menyembelih belalang
Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenai keperluan menyembelih belalang bagi menghalalkannya kepada dua pendapat.
Pendapat pertama menyebutkan bahawa belalang halal dimakan tidak kira ia disembelih (yakni dimatikan atau matinya dengan sebab) atau mati dengan sendirinya (yakni tanpa sebab). Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya. Bahkan turut disebutkan juga bahawa tidak disyaratkan untuk memotong kepalanya. Ini merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan majoriti daripada kalangan mereka.[8]
Begitu juga Ibn Battal menukilkan bahawa ulama-ulama dari Kufah berpendapat bahawa belalang halal untuk dimakan walau bagaimana cara pun ia mati, dan ini juga merupakan pendapat Imam al-Syafi‘i.[9] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحَالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[10]
Hadith di atas menunjukkan bahawa belalang termasuk dalam haiwan yang mana bangkainya adalah suci lagi halal meskipun tidak melalui proses penyembelihan. Hal ini kerana ia adalah haiwan yang mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur.[11]
Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:
كَانَ عُمَرُ يَأْكُلُ الجَرَادَ وَيَقُولُ: لَا بَأْسَ بِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا يُذْبَحُ
Maksudnya: “Umar R.A pernah memakan belalang dan menyebutkan bahawa tidak mengapa (yakni memakannya) kerana ia tidak disembelih.”[12]
Pendapat kedua pula menyebutkan bahawa belalang tidak halal untuk dimakan melainkan setelah ia mati dengan sebab (yakni ia dimatikan) sama ada dengan dipotong sebahagiannya, direbus, dipanggang, digoreng ketika masih lagi hidup sekalipun tidak dicabut kepalanya. Akan tetapi sekiranya ia mati dengan sendirinya, ia tidak lagi halal untuk dimakan. Ini merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Maliki.[13]
Hal ini kerana menurut mereka belalang termasuk dalam haiwan buruan darat. Oleh itu, tidak halal memakannya melainkan setelah disembelih. Al-Abhari menyebutkan bahawa belalang termasuk dalam haiwan buruan darat kerana orang yang berihram dilarang memburunya. Justeru, ia berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Namun, cara menyembelihnya adalah dengan apa sahaja cara yang mudah (bagi mematikannya) kerana ia tidak ada leher, mahupun lubbah (sekitar pangkal leher).[14]
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa belalang adalah halal untuk dimakan tanpa perlu disembelih bagi menghalalkannya sebagaimana pendapat jumhur ulama kerana bangkainya dikira suci sebagaimana bangkai hidupan air. Begitu juga ia adalah halal untuk dimakan tidak kira matinya itu bersebab ataupun tidak — yakni mati dengan sendirinya, selagi mana ia tidak memudaratkan orang yang memakannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H
[1] Surah al-An‘am: 145
[2] Surah Ma’idah: 4
[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.
[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/392-396.
[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74.
[6] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
[7] Lihat https://maktabahalbakri.com/524-memakan-belalang/. Diakses pada 19 Februari 2022.
[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74.
[9] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 5/402.
[10] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
[11] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/72; Mughni al-Muhtaj, 6/98-99.
[12] Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (8758)
[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74; Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/402.
[14] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/402-403.