[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah merokok membatalkan wuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya merokok merupakan perbuatan yang haram sebagaimana yang telah dinyatakan oleh majoriti ulama khususnya ulama kontemporari pada masa kini. Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, yang telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Di antara sebab pengharaman tersebut adalah kerana merokok itu membahayakan kesihatan bukan sahaja kepada pelakunya tetapi juga kepada orang yang berada di sekelilingnya. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[1]
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[2]
Untuk menjawab soalan yang diajukan, kami nyatakan terlebih dahulu perkara-perkara yang membatalkan wuduk sebagaimana yang telah disebutkan dalam al-Fiqh al-Manhaji[3] iaitu:
Kesimpulannya
Justeru, kami berpendapat bahawa perbuatan merokok tidak membatalkan wuduk pelakunya kerana ia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Sekalipun perbuatan merokok itu adalah haram, tetapi ia tidak memestikan rokok itu dihukumkan sebagai najis. Meskipun begitu, disunatkan kepada mereka yang menghisap rokok untuk berkumur-kumur terlebih dahulu sebelum mendirikan solat supaya bau asap rokok daripada mulut mereka hilang, agar tidak mengganggu jemaah yang lain.
Kami juga mengambil kesempatan di sini, untuk menasihatkan kepada semua perokok agar berusahalah sehabis mungkin untuk meninggalkan amalan yang tidak sihat ini. Isu merokok bukanlah isu yang remeh tetapi sebenarnya ia adalah suatu yang besar. Lebih-lebih lagi, bahaya dan mudarat itu bukan sahaj kembali kepada pelakunya, tetapi turut tertimpa kepada orang yang berada di sekelilingnya seperti anak-anak, isteri, kaum keluarga dan lain-lain, di samping pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[1] Surah al-Baqarah: 195
[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/62-63.