#572 Antara Doktor Lelaki Muslim dan Doktor Perempuan Bukan Muslim

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Siapakah yang lebih patut diutamakan, antara doktor lelaki Muslim dengan doktor perempuan bukan Muslim bagi menyambut kelahiran bayi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”[1]

Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka.[2]

Aurat dari segi syarak bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat.[3] Oleh itu, syarak tidak membenarkan orang lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi — atau sebaliknya — melainkan terdapat suatu keperluan dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan haraj — yakni kesukaran — sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh syarak. Justeru, boleh bagi seorang lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki.[4] Selain itu, perkara ini juga bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Mudarat mengharuskan yang haram.[5]

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan seorang doktor melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (dipercayai), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, kaedah ini juga mestilah diikat dengan kaedah lain yang menyatakan bahawa:

الضَّرُورَات تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.”[6]

Dapat difahami daripada kaedah di atas, seorang doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya, memegang atau lain-lain perkara, hanyalah ketika adanya keperluan mendesak, bagi tujuan merawatnya dan menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah. Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan Muslim, kemudian barulah doktor perempuan bukan Muslim, kemudian doktor lelaki Muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan Muslim. Jika tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan Muslim — yakni yang bukan pakar — maka tidak boleh sama sekali menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar — yakni bagi sakit berkenaan.

Peringkat keutamaan

Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i telah meletakan syarat bahawa seorang doktor lelaki boleh merawat pesakit wanita sekiranya ketiadaan doktor perempuan yang berkepakaran bagi merawatnya, termasuklah doktor perempuan kafir. Begitu juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Dalam isu ini, al-Bulqini berpendapat diutamakan doktor perempuan Muslim bagi merawat pesakit perempuan, kemudian doktor perempuan kafir, kemudian mahramnya yang Muslim, kemudian mahramnya yang kafir, kemudian barulah doktor lelaki Muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki kafir.[7]

Selain itu, al-Lajnah al-Daimah juga pernah ditanya berkenaan bolehkah seorang perempuan pergi mendapatkan rawatan daripada seorang doktor lelaki pakar sakit puan yang beragama kristian? Mereka menjawab, bagi seorang pesakit perempuan sepatutnya ialah mendapatkan rawatan daripada doktor wanita pakar sakit puan yang beragama Islam. Sekiranya tiada, barulah boleh beralih kepada doktor wanita kristian. Sekiranya tiada juga dan keadaan mendesak bagi mendapatkan rawatan boleh pergi mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki Muslim dengan syarat bersamanya mahram. Sekiranya tiada juga barulah boleh mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki kristian.[8]

Selain daripada itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Ibn Baz juga pernah ditanya berkenaan yang manakah patut didahulukan antara doktor wanita kafir dengan doktor lelaki Muslim sekiranya pesakit seorang wanita? Beliau menjawab dengan berpendapat bahawa doktor wanita kafir lebih didahulukan berbanding doktor lelaki Muslim kerana ia melibatkan aurat wanita dan ini lebih selamat. Secara peringkatnya (jika pesakit seorang wanita), dahulukan doktor wanita Muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian doktor lelaki Muslim dan barulah doktor lelaki kafir sekiranya perlu — yakni adanya keperluan mendesak. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mendapatkan khidmat doktor-doktor kafir, sebaliknya dahulukan khidmat daripada doktor-doktor Muslim. Akan tetapi tidak mengapa menggunakan khidmat doktor-doktor kafir jika ada keperluan mendesak serta kekurangan doktor-doktor Muslim dan Muslimah dengan syarat mereka tidak memudaratkan orang Islam dan mengajak kepada agama mereka.[9]

Tambahan pula, perkara ini turut disokong oleh waqi‘ dan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Antara sebab yang membawa kepada larangan mendedahkan aurat seorang Muslimah di hadapan seorang wanita kafir kerana mereka yakni wanita kafir itu menceritakan rupa paras wanita Muslimah — termasuk yang terlindung — kepada lelaki yang kafir. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya tidak dibenarkan bagi wanita ahli kitab (kafir) masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) bersama wanita Muslimah di dalamnya kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Oleh yang demikian, apa yang boleh dilihat oleh wanita kafir kepada wanita Muslimah adalah seperti seorang lelaki ajnabi kepada seorang wanita. Akan tetapi boleh untuk wanita kafir itu melihat bahagian yang (biasanya) terdedah pada wanita Muslimah ketika bekerja.”[10]

Oleh yang demikian, kita mesti meraikan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Kini, para doktor diwajibkan untuk mengikut kod etika dan tatakelakuan bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya, beretika dan profesional. Sebarang pelanggaran terhadap panduan dan kod etika ini, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan tatatertib.[11] Selain itu, para doctor juga terikat dengan Akta Perubatan 1971 yang mana salah satu fungsinya menentukan dan mengawal perilaku dan tata etika pengamal perubatan yang berdaftar.

Tambahan lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)[12] juga telah mengeluarkan satu garis panduan berkenaan etika bagi menjaga aurat mayat ketika bedah siasat yang mana merujuk kepada keputusan Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut:

  1. Doktor perempuan Muslim pakar.
  2. Doktor perempuan bukan Muslim pakar.
  3. Doktor lelaki Muslim pakar.
  4. Doktor lelaki bukan Muslim pakar. Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti berikut:
  • Tidak bersendirian
  • Menahan pandangan mata
  • Menyentuh di tempat yang berkaitan
  • Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, dengan mengambil kira waqi‘ dan realiti semasa hari ini, kami berpendapat bahawa jika pesakit seorang perempuan beragama Islam, maka turutan keutamaan hendaklah diberikan kepada doktor perempuan Muslimah, kemudian doktor perempuan bukan Muslim, kemudian doktor lelaki Muslim dan — jika keperluan mendesak — barulah doktor lelaki bukan Muslim.

Kami berpendapat sedemikian kerana dalam keadaan terpaksa melihat aurat daripada jantina yang sama adalah lebih ringan — berbanding sebaliknya.[13] Lebih-lebih lagi, dari segi psikologi, seorang pesakit wanita akan lebih senang dan berasa selamat sekiranya doktor yang merawatnya adalah daripada jantina yang sama. Begitulah juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Hal ini kerana kita tidak dapat menafikan bahawa wanita akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kewanitaan daripada lelaki, dan begitulah juga lelaki akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kelakian berbanding seorang wanita. Bak kata para ulama:

أَنَّ الـمُبَاشِرَ لِلأَمْرِ أَعْلَمُ بِهِ مِنَ الـمُخْبَرِ عَنْهُ

Maksudnya: “Seseorang yang terlibat secara langsung dalam sesuatu perkara itu lebih mengetahui akannya berbanding orang yang disampaikan berkenaannya.”[14]

Walau bagaimanapun, perkara tersebut tetap terikat dengan syarat bahawa pendedahan aurat tersebut adalah sekadar yang perlu bagi rawatan tersebut dan tidak lebih daripada itu, serta tidak menimbulkan fitnah dan menjatuhkan maruah orang Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Surah al-Nur: 30

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 353.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124.

[4] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/50.

[5] Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287.

[6] Lihat Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 6/264.

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/137.

[8] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/260.

[9] Lihat : https://binbaz.org.sa/fatwas/13645/ ايهما-يقدم-الطبيبة-الكافرة-ام-الطبيب-المسلم-بالنسبة-للمراة .

[10] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/50.

[11] Lihat Kod Etika dan Tatakelakuan, KKM, hlm. 15.

[12] Lihat :  http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/53-garis-panduan-bedah-siasat-mayat-menurut-perspektif-islam.

[13] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/136.

[14] Lihat Fath al-Mun‘im, 4/553.

Latest articles

Related articles