#574 Kurma Barni

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Boleh ceritakan sedikit tentang kurma Barni. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ طَعَامٍ وَاحِدٍ ثَلَاثًا حَتَّى قُبِضَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الْأَسْوَدَيْنِ: التَّمْرَ وَالْمَاءَ

Maksudnya: “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang selama tiga malam berturut-turut dengan memakan hanya satu hidangan melainkan dengan aswadain; iaitu kurma dan air, sehinggalah Baginda wafat.”[1]

Al-Qadhi ‘Iyad menyebutkan bahawa hadith di atas merupakan dalil yang menunjukkan mengenai kelebihan bersifat zuhud dengan dunia dan bersikit-sikit dengannya — yakni mengambil sekadar yang perlu sahaja.[2]

Selain itu, ia juga merupakan antara makanan asasi bagi penduduk Madinah ketika itu. Tambahan lagi, kurma merupakan makanan yang kaya dengan pelbagai nutrient dan khasiat.[3]

Kurma Barni

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah[4] dan kurma Barni adalah salah satu jenis kurma yang boleh didapati di Madinah sebagaimana Ajwah, Sukari dan lain-lain. Tambahan pula, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyebutkan bahawa kurma Barni merupakan salah satu jenis kurma yang diketahui dan dikenali — oleh penduduk Madinah.[5] Selain itu, Ibn Manzur juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa kurma Barni ialah salah satu jenis daripada kurma, warnanya kekuningan dan buahnya berbentuk bulat. Ia juga adalah sebaik-baik kurma. Kemudian, beliau menukilkan daripada pengarang al-Tahzib yang menyatakan bahawa kurma Barni warnanya merah kekuningan-kuningan, kulitnya agak tebal dan rasanya manis.[6]

[give_form id=”14962″]

Kelebihan kurma Barni

Terdapat riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAW yang menyatakan berkenaan kelebihan kurma Barni. Kami sebutkan sebahagian daripada riwayat tersebut, antaranya seperti yang dinukilkan oleh Abu Nu‘aim al-Asfahani dalam kitabnya daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa:

جَاءَ جِبْرِيلُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ خَيْرُ تَمَرَاتِكُمُ الْبَرْنِيُّ

Maksudnya:Jibril datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sebaik-baik kurma bagi kamu ialah kurma Barni.’[7]

Begitu juga, al-Hakim ada menyebutkan dalam kitabnya daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri dengan sedikit lafaz tambahan bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ تَمَرَاتِكُمُ الْبَرْنِيُّ يُخْرِجُ الدَّاءَ وَلَا دَاءَ فِيهِ

Maksudnya: “Sebaik-baik kurma bagi kamu ialah kurma Barni. Ia menghilangkan penyakit dan tiada penyakit padanya.”[8]

Selain itu, Imam Ahmad juga ada meriwayatkan dalam musnadnya daripada riwayat Syihab bin ‘Abbad dengan lafaz:

أَمَا إِنَّهُ خَيْرُ تَمْرِكُمْ، وَأَنْفَعُهُ لَكُمْ

Maksudnya:Adapun sesungguhnya ia (kurma Barni) adalah sebaik-baik kurma bagi kamu, dan yang paling bermanfaat untuk kamu.”[9]

Hadith-hadith ini telah diriwayatkan daripada jalur yang pelbagai. Antaranya, daripada Ali bin Abu Talib, Anas bin Malik, Buraidah bin Husaib al-Aslami, Abu Sa‘id al-Khudri dan lain-lain. Para ulama hadith berbeza pendapat mengenai darjat riwayat-riwayat hadith berkenaan. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat ia adalah dhaif atau tidak sahih dan ada juga yang berpendapat ia adalah sahih. Di sini kami nukilkan sebahagian pendapat ulama berkenaan hadith-hadith tersebut:

  • Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa tidak ada satu pun daripada hadith-hadith ini yang sahih.[10]
  • Al-Haithami berpendapat bahawa hadith yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Ausat, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Sa‘id bin Suwaid dan dia adalah lemah (dhaif). Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pula perawi-perawinya adalah thiqah.[11]
  • Al-Hakim menyebutkan bahawa hadith daripada Anas bin Malik sanadnya adalah sahih tetapi tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Padanya terdapat syahid daripada hadith Abu Sa‘id al-Khudri.[12]
  • Manakala al-Albani menyimpulkan bahawa hadith ini adalah sahih disisinya berdasarkan kepada keseluruhan syawahidnya dan kebanyakkan hadith-hadith tersebut tidak terlalu berat dhaifnya (tidak terlalu lemah).[13]

Tambahan lagi, sebahagian ulama sedikit tasahul — yakni tidak meletakkan syarat yang terlalu ketat — dalam menerima riwayat-riwayat pada perkara yang tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan hukum-hakam syariah yang melibatkan halal dan haram. Mengenai hal ini, Ibn Solah pernah menyebutkan bahawa harus di sisi ahli hadith dan ulama selain mereka sedikit tasahul dalam menerima sanad-sanad dan riwayat daripada jenis-jenis hadith dhaif — tetapi bukannya palsu — tanpa perlu dijelaskan kedhaifannya iaitu pada perkara-perkara selain daripada yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan hukum-hakam syariah yang melibatkan soal halal dan haram atau selain daripada kedua-duanya. Perkara (yang diberi kelonggaran) itu adalah seperti peringatan-peringatan, kisah-kisah, fadha’il al-A‘mal (kelebihan-kelebihan beramal) dan seluruh perkara yang berkaitan al-Targhib (galakkan) dan al-Tarhib (ancaman), serta seluruh perkara yang tidak berkaitan dengan hukum-hakam dan akidah.[14]

Kurma Barni termasuk dalam jenis kurma yang bermutu

Sekalipun terdapat ulama yang berpendapat bahawa hadith yang menceritakan mengenai kelebihan kurma Barni itu adalah dhaif atau tidak sabit daripada Nabi SAW, akan tetapi maknanya adalah sahih. Hal ini kerana kurma Barni termasuk dalam jenis kurma-kurma yang baik dan bermutu. Perkara ini jelas dapat dilihat melalui riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنْ أَيْنَ هَذَا؟ قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيءٌ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ! عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ ذَلِكَ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِ بِهِ

Maksudnya: “Bilal datang menemui Nabi SAW dengan membawa bersama kurma Barni. Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya: ‘Dari manakah (kurma) ini?’ Bilal menjawab: ‘Pada asalnya aku mempunyai kurma yang tidak elok, lalu aku jual dua gantang (kurma itu) dengan segantang (kurma Barni) untuk kami berikan kepada Nabi SAW makan.’ Lantas Nabi SAW bersabda: ‘Jangan! Jangan! Itulah riba! Itulah riba! Jangan engkau lakukan begitu. Sebaliknya, jika engkau mahu membeli, juallah kurma itu dengan barang yang lain.[15] Kemudian, barulah membeli dengannya (menggunakan hasil jualan itu).’”[16]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa kurma Barni termasuk dalam jenis kurma yang baik dan bermutu sehinggakan Bilal membelinya untuk diberikan kepada Nabi SAW.

Selain itu, Pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga menyebutkan bahawa kurma Barni ialah sebahagian kurma yang bermutu tinggi.[17] Bukan itu sahaja, al-Munawi turut menyatakan bahawa kurma Barni adalah lebih baik daripada jenis-jenis kurma yang lain (dari segi kualiti), sekalipun kurma memang secara keseluruhannya adalah baik.[18]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kurma Barni termasuk dalam jenis kurma Madinah yang baik dan berkualiti (bermutu) sebagaimana dinyatakan dalam hadith sahih bahawa Bilal pernah membelinya untuk diberikan kepada Nabi SAW makan.

Adapun mengenai riwayat-riwayat yang menceritakan mengenai kelebihannya pula, sebahagian ulama mendhaifkannya dan sebahagian lagi mensahihkannya. Sekalipun begitu, kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihati semua agar jangan sesekali membiarkan diri kosong daripada mendapat manfaat dan kebaikan dalam mengamalkannya sekalipun hadith tersebut — yakni berkaitan kelebihan kurma Barni — telah didhaifkan oleh sebahagian ulama. Hal ini kerana jika perkara tersebut menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadhilat tersebut. Jika ia tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Baginda SAW, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya.

Apatah lagi, kajian telah menunjukkan bahawa kurma sangat kaya dengan kandungan nutrien yang pelbagai. Kajian telah mendapati bahawa selenium yang terdapat di dalam buah kurma penting dalam sistem imunisasi badan. Selain itu, kurma juga mengandungi agen antioksida. Satu kajian telah dijalankan ke atas hati tikus yang telah diaruh menjadi toksik, kemudian dirawat dengan ekstrak buah kurma. Hasil menunjukkan bahawa buah kurma berpotensi sebagai agen antioksida. Selain daripada itu, ia juga mengandungi flavonoid sulfat yang jarang dijumpai dalam tumbuhan. Flavonoid mempunyai potensi yang baik sebagai antioksida dan baik untuk pencegahan penyakit terutamanya seperti penyakit kanser dan penyakit kardiovaskular.[19]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Riwayat Ibn Hibban (6345); Syeikh Syuaib al-Arna’ut mengatakan sanadnya sahih mengikut syarat syaikhain.

[2] Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawaid Muslim, 8/527.

[3] Lihat disertasi bertajuk: Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hlm. 142.

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/50.

[5] Lihat Fath al-Bari, 4/490.

[6] Lihat Lisan al-‘Arab, 13/49-50.

[7] Lihat al-Tibb al-Nabawi, 2/726.

[8] Riwayat al-Hakim (7451)

[9] Riwayat Ahmad (15559)

[10] Lihat al-Maudu‘at, 3/24.

[11] Lihat Majma‘ al-Zawaid, 5/40; 8/178.

[12] Lihat al-Mustadrak, 4/226.

[13] Lihat Silsilah al-Ahadis al-Sahihah, 4/461.

[14] Lihat Muqadimah ibn al-Solah, hlm. 210.

[15] Contohnya menjualnya dengan dirham dan bukannya dengan kurma yang lain sekalipun bermutu.

[16] Riwayat al-Bukhari (2312); Muslim (1594)

[17] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/68.

[18] Lihat Fayd al-Qadir, 3/484.

[19] Lihat disertasi bertajuk: Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hlm. 142.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *