Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkaitan dengan umrah. Adakah seseorang itu dikenakan dam kerana terlupa niat umrah di miqat sekalipun telah berpatah balik untuk melakukan niat tersebut? Saya keliru sebab ada penceramah kata kena bayar dan ada juga yang kata tidak perlu bayar. Mohon percerahan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.[1]

Ayat di atas ditafsirkan bahawa sesiapa yang berniat ihram dengan salah satu daripada ibadah ini (haji atau umrah), maka wajib ke atas dirinya untuk menyelesaikan dan menyempurnakan ibadah berkenaan. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya adalah menyempurnakan ibadah haji dan umrah secara berasingan — yakni satu persatu — bukannya dengan cara tamattu‘ dan qiran.[2]

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya.[3]
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan.[4]

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah.[5] Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah.[6] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya:Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.[7]

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain.[8]

Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi bahawa seseorang yang pergi ke Mekah dan ingin mengerjakan umrah atau haji, sekiranya dia melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram (sebelum atau di miqat itu), maka dia dianggap telah melakukan dosa, tidak kira sama ada dia berasal dari tempat tersebut ataupun tidak. Kemudian, wajib ke atas dirinya untuk kembali semula ke mana-mana miqat untuk berniat ihram sekiranya waktu yang ada masih luas dan jalan untuk ke sana aman. Jika dia kembali semula ke miqat, maka dia tidak dikenakan dam. Namun, sekiranya terdapat keuzuran bagi dirinya untuk kembali ke miqat seperti waktu yang ada sempit atau jalan untuk ke sana tidak selamat atau kerana sakit yang menyusahkan atau takut terpisah dengan rombongan, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk kembali dan dia berniat ihram di mana tempatnya berada. Bagi situasi ini, dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perbuatan berihram dari miqat (yang merupakan salah satu daripada perkara-perkara wajib haji dan umrah).[9]

Demikianlah juga, sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat ihram di miqat, maka wajib ke atasnya untuk segera kembali ke miqat bagi melakukannya dan sekiranya dia tidak kembali semula ke miqat, maka dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perkara wajib haji dan umrah.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, seseorang yang menuju ke Mekah dan ingin melakukan ibadah umrah atau haji, wajib berniat ihram di miqat yang telah ditentukan atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana perbuatan berniat ihram termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah.

Namun, sekiranya dia telah melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja seperti terlupa, tertidur dan sebagainya, maka dia hendaklah kembali semula ke miqat, lalu berniat ihram, dan jika dia telah melakukannya (yakni kembali semula ke miqat dan berniat ihram), dia tidak dikenakan dam. Begitulah juga, sekiranya dia tidak mampu untuk kembali semula ke miqat kerana suatu keuzuran yang tertentu, maka dia hendaklah berniat ihram di mana dia berada dan dalam situasi ini, dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan salah satu daripada perkara-perkara wajib haji dan umrah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Baqarah: 196

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310.

[4] Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105.

[5] Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.

[6] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488.

[7] Riwayat al-Bukhari (1526)

[8] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491.

[9] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/313.

[10] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491; 506-507.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *