#642 Makan Belangkas dan Telurnya

-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Sesetengah restoran di Malaysia ada menyediakan menu masakan belangkas. Justeru, apakah hukum makan belangkas dan telurnya? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.[1]

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT.[2]

Definisi belangkas

Belangkas ialah haiwan laut yang besar yang mempunyai cangkerang berbentuk seperti huf kuda. Dari segi pengelasan saintifik, belangkas tergolong dalam famili Limulidae dalam order Xiphosura. Ia termasuk dalam tiga genus: Limulus, Tachypleus dan Carcinoscorpius. Spesies yang paling besar dan paling biasa ialah L. polyphemus. Belangkas kadangkala dikenali sebagai ketam raja. Walau bagaimanapun, ia tidak berkaitan dengan ketam raja merah yang penting dari segi komersial, yang sebenarnya adalah ketam. Belangkas adalah satu-satunya haiwan yang wujud dalam kumpulan besar haiwan yang hidup di bumi sejak berjuta-juta tahun dahulu. Haiwan yang masih hidup yang paling rapat dengan belangkas adalah kala jengking dan labah-labah.

Terdapat empat spesies belangkas. Belangkas yang paling besar membesar sehingga 61 sentimeter panjangnya dan tinggal di sepanjang pantai Amerika Utara. Tiga spesies belangkas lagi tinggal di perairan pantai Asia Tenggara dan Filipina. Badan belangkas terdiri daripada dua bahagian “bersendi” iaitu prosoma dan abdomen. Prosoma ialah bahagian badan yang ditutupi oleh cangkerang dan termasuk kepala. Cangkerang mempunyai bukaan untuk mata belangkas. Mulut dan kaki belangkas terletak di bawah cangkerang di bahagian bawah prosoma. Belangkas mempunyai enam pasang kaki. Sepasang kaki depan belangkas ini mempunyai sepit, yang digunakan untuk menangkap mangsa. Lima pasang kaki lagi digunakan untuk berjalan.

Abdomen belangkas mempunyai enam pasang struktur leper bak plat. Organ pembiakan terdapat pada pasangan plat depan. Plat yang lain, setiap satunya mempunyai lebih kurang 150 insang lembut yang membolehkan haiwan ini bernafas. Duri yang bersambung menjulur keluar dari hujung abdomen. Belangkas menggunakan ‘ekor’ ini sebagai tuas untuk mengorek.

Belangkas hidup di kawasan perairan pantai laut. Ia memakan cacing dan moluska kecil seperti kima, yang digalinya daripada pasir dan lumpur pada waktu malam. Belangkas mengawan pada musim bunga. Belangkas betina membawa belangkas jantan di belakangnya ke pantai tempat belangkas betina mengorek beberapa lubang di pasir. Belangkas betina bertelur dari 200 hingga 1000 biji setiap lubang, dan kemudian belangkas jantan mempersenyawakan telur-telur ini.[3]

Hidupan air

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat).[4]

Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[5]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[6]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.[7] Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[8] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[9]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[10]

Haiwan dua alam

Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.

Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[11] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[12] maka haram bangkainya.[13]

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya.[14]

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain.[15]

Justeru, kami berpendapat bahawa belangkas halal dimakan kerana ia tergolong dalam kategori haiwan air yang kebanyakan hidupnya lebih banyak di laut dan hanya naik ke pantai untuk bertelur sahaja. Lebih-lebih lagi belangkas juga bernafas menggunakan insang, yang mana sekali gus menguatkan lagi hujah bahawa ia sememangnya tergolong dalam hidupan air.

Berkenaan dengan telurnya pula, jika binatang tersebut — yakni yang menjadi induk atau ibu — boleh dimakan, maka telurnya juga boleh dimakan. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).[16]

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Tambahan lagi, hal ini juga bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati‘i yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
  2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa belangkas dan telurnya adalah halal dimakan kerana ia tergolong dalam jenis hidupan air. Justeru, semua hidupan air adalah halal dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya dan hal itu telah sabit dengan nas yang sahih. Selain itu, melihat kepada amalan sebahagian masyarakat Malaysia yang memakan belangkas, maka didapati tiada kesan kemudaratan atau keracunan terhadap mereka. Ini menjadi bukti jelas yang menguatkan lagi hujah mengenai \keharusan memakan belangkas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-A‘raf: 32

[2] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[3] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/412.

[4] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128.

[5] Surah al-Ma’idah: 96.

[6] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[7] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34.

[9] Surah al-Ma’idah: 96

[10] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

[11] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[12] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

[13] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33.

[14] Lihat Asna al-Matalib, 1/566.

[15] Lihat al-Umm, 2/199; 2/230.

[16] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *