#645 Makan Daging Zirafah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan daging zirafah? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya.[2]

Definisi zirafah dan habitatnya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zirafah ialah sejenis binatang yang tinggi dan panjang lehernya, dengan warna badan yang bertompok-tompok.[3] Zirafah ialah haiwan yang tertinggi daripada kesemua haiwan. Zirafah jantan mungkin membesar lebih daripada 5.5 meter tingginya — 1.5 meter lebih tinggi daripada gajah Afrika, haiwan yang kedua tertinggi. Kebanyakan zirafah jantan dewasa tingginya kira-kira 5.2 meter, dan kebanyakan zirafah betina membesar sehingga kira-kira 4.3 meter tingginya. Zirafah menjadi tinggi kerana kakinya, yang tingginya 1.8 meter, dan lehernya yang mungkin lebih panjang lagi. Walaupun zirafah menjulang lebih tinggi daripada haiwan lain, tetapi zirafah tidak begitu berat. Kebanyakan zirafah jantan dewasa beratnya hanya kira-kira 1200 kilogram. Seekor gajah jantan Afrika mungkin beratnya lima kali ganda berat itu.

Zirafah hidup di Afrika di selatan Sahara, di hutan jarang terdedah. Zirafah memakan daun, ranting, dan buah dari pokok dan pokok renek. Seperti lembu, zirafah mengunyah mamahan, iaitu makanan yang memasuki perut tetapi kembali ke mulut untuk dikunyah kali kedua. Zirafah boleh hidup tanpa meminum air selama berminggu-minggu. Bulu zirafah bertompok-tompok berwarna kuning keperangan hingga perang berangan. Garisan yang memisahkan tompok-tompok itu berwarna kuning keperangan yang lebih cerah atau putih. Pola warna ini membantu melindungi zirafah dengan menjadikannya sukar dilihat semasa ia berdiri di celah-celah pokok. Dua “tanduk” bertulang tumbuh daripada tengkorak zirafah. Tanduk ini, yang diliputi kulit dan bulu, menyerupai tanduk rusa sebelum tanduknya tumbuh bercabang. Ia bukan tanduk sebenar kerana ia tidak mempunyai selaput bertulang. Sesetengah zirafah juga mempunyai satu atau lebih bonggol bak tanduk pada dahi. Tanduk zirafah betina lebih kecil daripada tanduk zirafah jantan.

Singa adalah satu-satunya haiwan yang menyerang zirafah dewasa. Singa mungkin membunuh zirafah sekiranya ia menangkap mangsanya sedang baring, atau sekiranya ia menerkam belakang zirafah dengan serangan hendap.Zirafah mempertahankan dirinya dengan menendang dengan kakinya. Tendangannya kadangkala cukup kuat hingga boleh membunuh singa. Anak zirafah mungkin dibunuh oleh singa, harimau bintang, cheetah, dubuk dan buaya. Selain itu, manusia juga telah banyak mengurangkan bilangan zirafah dengan memburunya, dan dengan menukarkan kawasan yang pernah didiami oleh zirafah kepada ladang. Pada hari ini, kebanyakan zirafah hidup di taman negara atau kawasan simpanan haiwan. Manusia menggunakan zirafah untuk banyak tujuan. Misalnya, sesetengah puak asli Afrika menggunakan bulu ekornya untuk dibuat gelang dan tali. Mereka menggunakan kulitnya sebagai perisai dan memintal tendon (korda tisu yang menghubungkan otot ke tulang) untuk membuat tali panah.

Beberapa ladang di Afrika menternak zirafah untuk dagingnya. Sesetengah pakar telah menggesa agar menggunakan haiwan seperti zirafah, badak air, dan antelop Afrika untuk tujuan ini. Daging yang dibekalkan oleh haiwan ini boleh memperbaik diet berjuta-juta orang Afrika yang memakan sedikit daging. Haiwan ini cepat bertambah berat badan dengan memakan tumbuhan tropika, berbanding dengan lembu atau biri-biri. Zirafah memakan makanan yang tumbuh begitu tinggi pada pokok, yang tidak dapat dicapai oleh haiwan jenis lain yang dimakan oleh manusia. Dari segi pengelasan saintifik, zirafah tergolong dalam famili zirafah, Giraffidae. Ia adalah Giraffa camelopardalis.[4]

Dalam bahasa Arab, ia disebut zarafah atau zurafah. Menurut kitab Tarikh Ibn Khallikan, dalam tarjamah — yakni biodata — Muhammad bin ‘Ubaidullah al-‘Utbi al-Basri al-Akhbari, seorang penyair yang masyhur, beliau ada menyebutkan bahawa zirafah adalah haiwan yang diketahui. Ia dilahirkan daripada gabungan 3 jenis haiwan iaitu unta betina liar, lembu betina liar dan dubuk jantan. Menurutnya lagi, apabila dubuk melakukan hubungan dengan unta betina liar, kemudian anaknya yang dilahirkan jantan itu pula melalukan hubungan dengan lembu betina liar, maka lahirlah zirafah. Oleh sebab itu, dinamakan haiwan ini sebagai ‘zarafah’ yang asalnya bermaksud al-Jama‘ah yakni kelompok atau kumpulan kerana ia dilahirkan daripada kelompok haiwan-haiwan tersebut. Walau bagaimanapun, al-Jahiz tidak bersetuju dengan pendapat ini, malah beliau mengatakan bahawa pendapat seperti itu hanyalah keluar daripada kejahilan yang melampau. Hal ini kerana Allah SWT berhak untuk mencipta apa sahaja haiwan yang dikehendaki. Zirafah itu merupakan haiwan daripada jenisnya yang tersendiri seperti kuda dan keldai. Lebih-lebih lagi ia juga melahirkan anak seperti mana dirinya — dan bukannya terhasil daripada hubungan tiga jenis haiwan yang berlainan. Sesungguhnya perkara itu telah disaksikan dan dipastikan.[5]

Hukum memakan daging zirafah

Kamaluddin al-Damiri menyatakan dalam kitabnya bahawa para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum memakan zirafah kepada dua pendapat. Pendapat pertama, hukum memakannya adalah haram. Ini merupakan pendapat pengarang al-Tanbih — iaitu al-Syirazi. Malah, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa ia adalah haram dimakan tanpa sebarang khilaf kerana ia tergolong dalam haiwan yang lahir hasil daripada haiwan yang halal dimakan dengan haiwan yang haram dimakan.[6] Begitu juga al-Qadhi Abu al-Khattab dalam kalangan ulama mazhab Hanbali berpendapat ia adalah haram untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua pula menyatakan bahawa dihalalkan untuk memakan zirafah. Ini berdasarkan fatwa al-Syeikh Taqiyuddin Ibn Abi al-Dam al-Hamawi dan beliau menukilkan daripada fatwa al-Qadhi Husain. Malah, Abu al-Khattab ada menyebutkan apa yang menunjukkan kepada kehalalannya iaitu beliau telah menukilkan dalam kitabnya dua pendapat berkenaan bayaran ganti rugi atau tebusan bagi burung kurki (yakni burung jenjang),[7] itik dan zirafah. Adakah dibayar ganti rugi dengan seekor kambing atau dengan nilai harganya? Bayaran ganti rugi atau tebusan itu — yakni al-Fida’ — tidak akan dikenakan melainkan pada haiwan yang halal dimakan.

Tambahan lagi, dalam Hasyiah al-Ramli al-Kabir dinyatakan bahawa Ibn al-Qattan dan Ibn Kaj berpendapat zirafah adalah haiwan yang halal dimakan sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Qadhi Husain dan ulama selainnya. Al-Azra‘i menyatakan, apa yang disebutkan dalam Syarah al-Muhazzab merupakan pendapat yang syaz. Hal ini kerana zirafah lahir daripada dua haiwan yang halal dimakan. Justeru, tidak ada makna untuk mengharamkannya. Al-Azra‘i menambah lagi, beliau telah melihat pada hawasyi —yakni catatan — sebahagian penuntut dari Yaman ke atas kitab al-Tanbih bahawa gurunya Abu al-Abbas menyebutkan mengenai pengharaman zirafah perlu diteliti lagi. Di samping itu, sebahagian ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dari Yaman menyebutkan, zirafah ada dua jenis iaitu jenis yang tidak memburu dengan taringnya, maka ia adalah halal, dan jenis yang memburu dengan taringnya, maka ia adalah haram. Kemudian, al-Azra‘i menyimpulkan dengan menyatakan bahawa pendapat yang tepat ialah pendapat yang menyatakan kehalalannya.[8]

Selain daripada itu, Ibn Qudamah ada menukilkan bahawa Imam Ahmad pernah ditanya berkenaan adakah zirafah halal untuk dimakan? Imam Ahmad menjawab dengan menyebutkan bahawa ia adalah halal untuk dimakan kerana ia ialah haiwan yang menyerupai unta, kecuali lehernya lebih panjang daripada leher unta dan badannya lebih lembut daripada badan unta serta lebih tinggi daripadanya.[9]

Selain itu, Ibn al-Rif‘ah menyebutkan bahawa pendapat ini merupakan pendapat yang muktabar sebagaimana difatwakan juga oleh al-Baghawi. Al-Qadhi Husain berpendapat zirafah halal dimakan kerana ia mirip kepada haiwan yang halal dimakan iaitu unta dan lembu. Bahkan Kamaluddin al-Damiri sendiri bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa zirafah halal dimakan. Ini merupakan pendapat yang dipilih dalam al-Fatawa al-Halabiyyat, pendapat mazhab Imam Ahmad, Malik dan Abu Hanifah.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, setelah kami meneliti mengenainya, kami berpendapat bahawa daging zirafah adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana zirafah tergolong dalam haiwan herbivor yang hanya memakan daun, ranting, dan buah dari pokok dan pokok renek. Selain itu, zirafah juga sama sekali tidak memiliki taring, apatah lagi memburu haiwan lain dengan taringnya. Selain daripada itu juga, zirafah bukanlah daripada spesies kacukan haiwan-haiwan yang diharamkan, tetapi merupakan haiwan daripada jenisnya yang tersendiri.

Oleh yang demikian, hukumnya adalah kembali kepada hukum asal haiwan darat iaitu harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”[11]

Mengenai hal ini, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menjelaskan lagi, hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.[12]

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”[13]

Oleh itu, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya.[14]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Jathiyah: 13

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=zirafah. Diakses pada 25 Februari 2022.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 22/753-756.

[5] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/481-482.

[6] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/27-28.

[7] Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/180.

[8] Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1/564.

[9] Lihat al-Mughni, 9/411.

[10] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/482-484.

[11] Surah al-Ma’idah: 1

[12] Surah al-Baqarah: 29

[13] Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

[14] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *