#661 Cecair Warna Kekuningan yang Keluar dari Perempuan Dua Hari sebelum Haid

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum cecair warna kuning yang keluar dari perempuan dua hari sebelum tempoh haidnya? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sekiranya cecair warna kuning ini turun sebelum datangnya haid, maka ia tidak ada apa-apa — yakni tidak dikira sebagai haid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah bahawa beliau berkata:

كُنَّا لاَ نَعُدُّ الكُدْرَةَ وَالصُّفْرَةَ شَيْئًا

Maksudnya:Kami tidak mengira sebagai darah haid cecair berwarna coklat kekeruhan dan kekuningan yang keluar bukan ketika tempoh haid.”[1]

Manakala dalam riwayat lain pula datang dengan lafaz:

كُنَّا لا نَعُدُّ الكُدْرةَ والصُّفْرةَ بعدَ الطُّهرِ شَيئًا

Maksudnya:Kami tidak mengira sebagai darah haid cecair berwarna coklat kekeruhan dan kekuningan yang keluar selepas sucinya daripada haid.[2]

Lafaz “الكُدْرةَ والصُّفْرةَ” bermaksud cecair yang dilihat oleh seorang wanita seperti nanah dengan warna kekuningan di atasnya. Manakala lafaz “شَيئًا” pula bermaksud ‘termasuk dalam darah haid’.[3] Selain itu, majoriti fuqaha menyebutkan bahawa makna hadith tersebut ialah warna kuning dan keruh dianggap haid hanya khusus pada tempoh haid.[4]

Oleh itu, sekiranya cecair kekuningan ini datang sebelum daripada tempoh haid, kemudian ia dipisahkan dengan haid, maka ia tidak ada apa-apa. Adapun jika perempuan tersebut mengetahui bahawa cecair kekuningan itu adalah mukadimah haid, maka dia hendaklah menunggu sehingga suci — kerana ia dikira sebagai darah haid.[5]

Tambahan lagi, menurut mazhab Syafi‘i tempoh minimum haid ialah sehari semalam (24 jam) dan tempoh maksimumnya pula ialah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimum suci pula ialah 15 hari 15 malam dan tiada had maksimum bagi tempoh suci.[6] Pendapat yang paling sahih dalam kalangan mazhab Syafi‘i ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid.[7] Justeru, apa-apa cecair kekuningan dan keruh yang keluar kurang daripada tempoh sehari semalam (24 jam) atau selepas tempoh maksimum haid — yakni dalam tempoh minimum suci — maka ia tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya ia ialah darah penyakit.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa cecair kekuningan dan keruh yang keluar dari perempuan hendaklah dilihat kepada dua situasi. Jika cecair kekuningan dan keruh itu keluar dalam tempoh haid, maka ia dianggap sebagai darah haid. Manakala jika cecair kekuningan dan keruh itu keluar kurang daripada tempoh 24 jam atau bukan dalam tempoh haid tetapi pada tempoh suci, maka ia tidak dianggap sebagai darah haid. Ini juga sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (326)

[2] Riwayat Abu Daud (307)

[3] Lihat Fath al-Bari, 1/426.

[4] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/456.

[5] Lihat Fatawa al-Taharah wa al-Solah li al-‘Uthaimin, hlm. 519

[6] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161-162.

[7] Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 88.

Latest articles

Related articles