#682 Memakan Berudu

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya suka melancong dan sesetengah negara yang saya pergi ada menyediakan menu berasaskan berudu seperti berudu goreng dan sebagainya. Saya dengar semua haiwan air adalah halal dimakan. Jadi, berudu ini termasuk dalam haiwan air kerana ia bernafas menggunakan insang dan tidak dapat hidup luar dari air sebelum berubah menjadi katak. Jadi soalannya, apakah hukum makan berudu dan adakah ia dikategorikan sebagai haiwan air yang harus dimakan? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Definisi berudu

Berudu ialah anak katak atau anak kodok. Berudu adalah larva, iaitu peringkat permulaannya. Berudu tinggal di dalam air. Apabila berudu menetas daripada telur, ia kelihatan seperti ikan yang kecil. Apabila berudu membesar, sifat fizikalnya akan bertukar menjadi katak dewasa secara beransur-ansur. Proses penukaran dari larva kepada katak dewasa ini mengambil masa sekurang-kurang dari 10 hari hingga melebihi dua tahun, bergantung kepada jenis spesiesnya.

Berudu tinggal di dalam air cetek, tempat yang biasanya terdapat katak dan kodok. Berudu banyak terdapat di dalam kolam, tasik atau sungai yang mengalir perlahan. Di kawasan tropika terdapat pelbagai jenis berudu. Berudu menetas dari telur yang bercantum dengan banyak, yang kelihatan seperti jeli, yang terdapat di dalam air. Berudu mempunyai kepala yang besar dan bulat dan ekornya panjang dan leper. Ekornya digunakan untuk bergerak di dalam air. Berudu bernafas melalui insang dan makanannya ialah tumbuh-tumbuhan.

Kebanyakan berudu berwarna gelap, dari warna hitam hingga kehijauan buah zaitun. Kebanyakan spesies berudu adalah kurang daripada 25 sentimeter panjang. Berudu katak kuak berukuran lebih daripada 10 sentimeter panjang. Berudu katak paradoksikal dari Amerika Selatan boleh membesar sehingga lebih 25 sentimeter panjang. Berudu tidak mempunyai kaki apabila ia menetas, tetapi kaki belakangnya mulai tumbuh semasa peringkat pertama metamorfosis. Kemudian, kepalanya akan menjadi leper dan ekornya menjadi pendek. Sistem penghadamannya juga berubah untuk membolehkannya memakan serangga dan binatang lain. Semasa peringkat terakhir metamorfosis, kaki hadapannya akan tumbuh. Insangnya akan hilang apabila paru-paru terbentuk dan memaksa berudu mengambil nafas di permukaan air. Lebihan bahagian ekornya akan menyerap masuk ke dalam badan apabila ia telah menjadi katak dewasa dan tinggal di atas tanah.[4]

Melalui carian di internet, kita akan menjumpai sememangnya terdapat sebahagian orang yang memakannya, malah menjadikannya sebagai menu dan makanan yang dijual di pasaran seperti di Thailand. Mark Wiens, ada berkongsi pengalamannya mencuba beberapa resipi berudu dan berkongsi gambar mengenainya.[5]

Gambar di atas: Masakan berasaskan berudu yang dipanggil mok huak

Hukum memakan berudu

Umumnya, semua hidupan air adalah halal dimakan sama ada yang menyerupai bentuk kebiasaan ikan atau tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan, selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[6] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[7]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[8]

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat).[9]

Oleh itu, pada asasnya, berudu selagi mana belum berubah menjadi katak atau kodok, adalah harus untuk dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan air dengan syarat ia tidak memudaratkan. Lebih-lebih lagi, ia juga bernafas dengan menggunakan insang, yang merupakan organ pernafasan pada kebanyakan binatang yang hidup dalam air. Apabila ia sudah berubah menjadi katak atau kodok, atau tidak lagi bernafas menggunakan insang tetapi sebaliknya dengan paru-paru, maka ketika itu hukumnya sudah berubah — yakni tidak lagi sebagaimana hukum haiwan air.

Walau bagaimanapun, kita juga hendaklah melihat dari sudut hukum asalnya sebagai haiwan yang berasal daripada katak. Majoriti ulama berpendapat memakan katak adalah diharamkan dan ini merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i.[10] Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa katak diharamkan untuk dimakan kerana terdapat larangan membunuhnya. Kemudian beliau menukilkan daripada al-Baihaqi yang membawakan riwayat daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi bahawa Nabi SAW melarang untuk membunuh lima jenis haiwan iaitu semut, lebah, katak, al-Surad (sejenis burung) dan burung hudhud.[11]

Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Uthman bahawa:

أَنَّ طَبِيبًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ضِفْدَعٍ، يَجْعَلُهَا فِي دَوَاءٍ فَنَهَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا

Maksudnya:Seorang doktor bertanya kepada Nabi SAW berkenaan katak yang dijadikan sebagai ubat. Lalu Nabi SAW melarang daripada membunuhnya.[12]

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa katak haram untuk dimakan and tidak termasuk dalam jenis haiwan yang halal untuk dimakan.[13]

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ , وَلَا تَقْتُلُوا الْخُفَّاشَ فَإِنَّهُ لَمَّا خَرِبَ بَيْتُ الْمَقْدِسِ قَالَ: يَا رَبِّ سَلِّطْنِي عَلَى الْبَحْرِ حَتَّى أُغْرِقَهُمْ

Maksudnya: “‏Janganlah kamu membunuh katak kerana suaranya adalah tasbih, dan janganlah kamu membunuh kelawar kerana ketika Baitul Maqdis dirobohkan, ia telah berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuasaan untuk mengatur lautan, sehingga aku dapat menenggelamkan mereka — yakni orang yang merobohkan Baitul Maqdis.’[14]

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa riwayat ini adalah mauquf dan sanadnya adalah sahih. Kemudian, beliau menyebutkan, haiwan yang dilarang untuk dibunuh, haram untuk memakannya kerana sekiranya haiwan itu halal untuk dimakan, sudah tentu akan diperintah untuk menyembelihnya dan tidak dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang daripada membunuh haiwan yang halal untuk disembelih dan dimakan.[15] Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan ashabnya — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — yang menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk dimakan kerana jika ia adalah halal untuk dimakan, maka sudah tentu tidak akan dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh — yakni menyembelih — haiwan yang halal untuk dimakan.[16]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sekalipun berudu — sebelum menjadi katak — termasuk dalam haiwan air, namun ia tetap haram untuk dimakan. Hal ini kerana terdapat larangan daripada membunuh katak yang merupakan ibu atau asalnya berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).[17]

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Selain itu juga, ‘uruf atau adat masyarakat Islam di negara kita melihat berudu atau ibunya — yakni asalnya — katak, termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik untuk dimakan, maka ini menguatkan lagi hujah yang menunjukkan kepada pengharamannya. Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[18]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/587.

[5] Lihat https://migrationology.com/mok-huak-eating-tadpoles-thailand/, https://www.quora.com/Why-don-t-people-eat-tadpoles. Diakses pada 11 Mac 2022.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.

[7] Surah al-Ma’idah: 96

[8] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

[9] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128.

[10] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33; Muntaha al-Iradat li Ibn al-Najjar, 5/181; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800.

[11] Lihat al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, 9/317.

[12] Riwayat Abu Daud (5269); Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya adalah sahih.

[13] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/730-731.

[14] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19382)

[15] Lihat al-Sunan al-Kubra, 9/534.

[16] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22.

[17] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117.

[18] Surah al-A‘raf: 157

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *