Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya suka makan kepala ikan besar dan bahagian yang paling saya suka adalah matanya. Soalan saya, apakah hukum makan mata ikan? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”[1]
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT.[2]
Pada asasnya, semua hidupan air adalah halal dimakan sama ada yang menyerupai bentuk kebiasaan ikan atau tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan, selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[3] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[4]
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”[5]
Justeru, jika binatang tersebut adalah halal bangkainya seperti ikan maka kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan seluruh bahagian-bahagian anggotanya seperti dagingnya, kulitnya, ekornya, matanya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan. Begitu juga mengenai hadith yang menceritakan mengenai kehalalan ikan paus dan tidak dinyatakan terdapatnya apa-apa bahagian yang dikecualikan untuk dimakan.[6] Perkara ini bertepatan dengan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).”[7]
Begitu juga dengan kaedah:
الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ
Maksudnya: “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”
Dalam erti kata lain, mata, ekor, kulit dan seumpamanya adalah cabang atau sebahagian daripada ikan — yang halal bangkainya. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni halal dimakan.
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa mata ikan adalah halal dimakan. Begitu juga bahagian-bahagian anggota ikan yang lain selagi mana tidak memudaratkan dan bukan najis. Hal ini kerana hukum bahagian-bahagian ikan itu adalah mengikut hukum asal ikan tersebut — yakni halal bangkainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-A‘raf: 32
[2] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.
[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.
[4] Surah al-Ma’idah: 96
[5] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
[6] Riwayat al-Bukhari (2483); (2983); (4361)
[7] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117.