#686 Amalan Salaf Malam Nisfu Syaaban

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah ceritakan sedikit amalan para salaf pada malam nisfu Syaaban? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bulan Syaaban termasuk dalam bulan-bulan yang agung dalam syarak. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan puasa di dalamnya. Bahkan ada juga yang menceritakan bahawa Baginda SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban. Begitu juga terdapat hadith-hadith yang menceritakan mengenai kelebihan malam nisfu Syaaban daripada jalur-jalur yang pelbagai. Di antaranya daripada Mu‘az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban, kemudian Dia mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”[1]

Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban menyatakan bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Syaaban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam perkara ini — yakni kelebihan malam nisfu Syaaban — meskipun setiap jalur itu mempunyai perbincangan.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Ibn Rajab al-Hanbali ada menyebutkan mengenai malam nisfu Syaaban, para tabiin dalam kalangan penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, mereka memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah pada malam tersebut. Bahkan, melalui merekalah orang ramai mengetahui kelebihan dan kemuliaannya.

Ketika mana kemuliaan malam nisfu Syaaban tersebut telah tersebar luas dalam kalangan masyarakat, para ulama berbeza pendapat mengenai perkara itu. Ada golongan yang menerima dan sependapat dengan mereka seperti sekumpulan ahli ibadah daripada penduduk Basrah dan selainnya. Begitu juga terdapat golongan yang mengingkarinya iaitu kebanyakannya dalam kalangan ulama Hijaz seperti ‘Ata’ dan Ibn Abi Mulaikah. ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam ada menukilkan daripada fuqaha Madinah iaitu kata-kata pengikut Imam Malik dan selainnya, bahawa mereka berkata: “Perkara itu kesemuanya adalah bidaah.”

Kemudian, ulama Syam berbeza pendapat berkenaan cara untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban kepada dua pendapat. Pendapat pertama, disunatkan untuk menghidupkannya secara berjemaah — yakni berkumpulan — di masjid. Diceritakan bahawa Khalid bin Ma‘dan, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain memakai baju yang paling cantik, memakai minyak wangi dan bercelak. Mereka melakukan ibadah di masjid pada malam tersebut. Malah, Ishaq bin Rahawaih bersetuju dengan perbuatan itu dan menyatakan bahawa amalan ibadah yang dilakukan secara berjemaah di masjid ini bukanlah perkara bidaah. Pendapat ini dinukilkan oleh harb al-Karmani dalam kitab Masa’il.

Manakala pendapat kedua pula, makruh berhimpun pada malam nisfu Syaaban di masjid sama ada untuk mendirikan solat, ceramah atau berdoa. Walau bagaimanapun, tidak makruh apabila seseorang itu mendirikan solat seorang diri, dan ini merupakan pendapat al-Auza‘i, yang merupakan seorang imam yang alim dalam kalangan ulama Syam. Seterusnya Ibn Rajab menyebutkan, pendapat ini merupakan pendapat yang paling hampir — dengan kebenaran. Insya-Allah.

Selain itu, terdapat riwayat daripada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz bahawa beliau menulis surat kepada pekerjanya di Basrah agar berjaga-jaga — yakni memberi perhatian — dengan empat malam dalam setahun kerana Allah SWT memenuhkannya dengan rahmat-Nya, iaitu malam awal Rejab, malam nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan malam Aidiladha. Walau bagaimanapun, kesahihan riwayat ini perlu diteliti.[3] Namun, Imam al-Syafi‘i ada menyebutkan bahawa telah sampai kepada kami bahawa sesuatu do aitu termakbul pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya — yakni Aidilfitri dan Aidiladha, — malam awal Rejab dan malam nisfu Syaaban. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa beliau berpendapat digalakkan dan sunat setiap apa yang dinyatakan berkenaan malam-malam ini — yakni berdoa padanya — tetapi ia bukanlah bermakna kefardhuan.[4]

Seterusnya Ibn Rajab menyebutkan juga, tidak diketahui pendapat Imam Ahmad berkaitan malam nisfu Syaaban. Terdapat dua riwayat yang telah mengeluarkan hukum digalakkan (sunat) untuk qiyam — yakni menghidupkan dengan ibadah — pada malam tersebut. Salah satunya; berkaitan hukum menghidupkan malam Hari Raya. Dalam riwayat tersebut, tidak digalakkan untuk melakukan qiyam padanya secara berjemaah kerana perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabatnya. Namun dalam riwayat lain pula, beliau berpendapat digalakkan untuk qiyam — yakni menghidupkan dengan ibadah — pada malam itu kerana ia telah dilakukan oleh ‘Abd al-Rahman bin Yazid bin al-Aswad dan beliau salah seorang tabiin. Begitu juga halnya dalam soal menghidupkan malam nisfu Syaaban kerana perkara tersebut tidak sabit daripada Nabi SAW dan juga para sahabat. Perkara tersebut hanya disabitkan kepada sebahagian tabiin dalam kalangan fuqaha Syam.[5]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terdapat sebahagian tabiin, terutamanya dalam kalangan ulama Syam yang memuliakan malam nisfu Syaaban dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam tersebut. Diceritakan bahawa ada dalam kalangan mereka yang menghidupkannya secara berjemaah di masjid dan ada juga yang menghidupkannya secara bersendirian. Selain itu, pada malam tersebut, diceritakan juga bahawa mereka memakai baju yang paling cantik, memakai minyak wangi dan bercelak.

Oleh itu, kita digalakkan untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan ibadah seperti berzikir, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah SWT, mendirikan solat sunat, bersedekah dan seumpamanya. Malah, difahami daripada perkataan Imam Syafi‘i sendiri bahawa pada malam itu digalakkan untuk berdoa kerana ia termasuk dalam lima malam yang dimakbulkan doa. Tambahan pula hadith yang menceritakan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban — berdasarkan kesemua jalur-jalurnya — adalah sahih dan mempunyai asalnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut.

Oleh yang demikian, kami mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan, sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita sepatutnya merebut peluang dan ganjaran yang telah disediakan dengan mengisi masa pada malam itu dengan berzikir kepada Allah dan berdoa semoga diampunkan segala dosa, disamping memperbanyakkan taubat dan ibadah kepada-Nya. Selain daripada itu, kita juga seharusnya menjauhkan diri daripada dosa-dosa yang menjadi penghalang kepada peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT dan termakbulnya doa pada malam tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[1] Riwayat Ibn Hibban (5665)

[2] Lihat Sahih Ibn Hibban, 12/481.

[3] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 137.

[4] Lihat al-Umm, 1/264.

[5] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 137-138.

Latest articles

Related articles