Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum solat sunat al-Ragha’ib dan adakah ia thabit daripada Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith, daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عَمِلَ عَمَلًا ليسَ عليه أمْرُنا فَهو رَدٌّ

Maksudnya:Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak.[1]

Selain itu, terdapat dalam riwayat Aisyah yang lain dengan lafaz:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya:Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka ia tertolak.[2]

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut Ahli Bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ” di sini bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak.[3]

Selain itu, Syeikh al-Tahtawi juga ada menyatakan, hadith ini menjadi dalil bahawa ibadat seperti mandi, wuduk, puasa dan solat. Jika dilakukan bercanggah dengan syarak, maka ia ditolak.[4]

Menurut Syeikh al-Sa‘di, hadith ini menunjukkan makna mantuq (makna tersurat) dan mafhum (makna tersirat). Dari segi mantuqnya, hadith ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bidaah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Muktazilah dan lain-lain, ataupun berbentuk amalan seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Semua perkara tersebut adalah tertolak dan pelakunya dicela mengikut kadar bidaah yang telah mereka lakukan dan jauhnya mereka daripada agama Islam yang sebenar. Manakala dari segi makna mafhumnya pula, hadith ini menunjukkan sesiapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib ataupun sunat, maka amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya.[5]

Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari ketika mensyarahkan hadith ini pernah menyebutkan, maksud perkara baharu yang diadakan ada dua jenis:

  • Yang bukan daripada agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama, maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bidaah yang sesat.
  • Yang termasuk dalam agama ini disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil, maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.[6]

Pengenalan solat Ragha’ib

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Ragha’ib menurut fuqaha ialah solat dengan sifatnya yang khusus, yang dilakukan pada awal Rejab atau pertengahan Syaaban.[7] Dalam erti kata lain, solat al-Raghaib ialah solat sunat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat yang pertama dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga dilakukan pada malam nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat.[8] Di antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة

Maksudnya:Wahai Ali, sesiapa yang mendirikan solat sebanyak seratus rakaat pada malam nisfu Syaaban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya.

Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, berkenaan kelebihan solat al-Ragha’ib ini ada disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ dan al-Hafiz al-‘Iraqi menyebutkan bahawa ia adalah palsu. Bahkan al-Hajjawi turut mengingatkan dalam al-Iqna’ bahawa solat al-Ragha’ib tersebut adalah bidaah dan tiada asalnya.[9] Tambahan pula ulama dalam kalangan mazhab Hanafi dan Syafi‘i turut menyebutkan bahawa solat al-Ragha’ib yang dilakukan pada malam awal Jumaat dalam bulan Rejab atau pada malam pertengahan bulan Syaaban dengan kaifiyatnya yang khusus atau dengan bilangan rakaat yang khusus adalah bidaah yang mungkar.

Di samping itu, Ibn al-Jauzi menyebutkan, solat al-Ragha’ib adalah palsu — yakni direka — di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama telah menyebut akan bidaah dan larangan daripada melakukan solat ini dengan pelbagai hujah. Di antaranya adalah tidak dinukilkan daripada para sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka daripada kalangan para imam yang mujtahid mengenai solat ini. Jika solat ini disyariatkan, sudah tentu mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Justeru, solat ini sebenarnya adalah perkara baru yang hanya muncul selepas 400 tahun.

Selain itu, al-Turtusyi menyebutkan bahawa al-Maqdisi mengkhabarkan kepadanya bahawa solat al-Ragha’ib yang dilakukan pada bulan Rejab atau pertengahan bulan Syaaban tidak pernah dikenali atau wujud di Bait al-Maqdis sehinggalah pada tahun 448H, seorang lelaki dari Nablus yang dikenali sebagai Ibn al-Hayy datang. Bacaan al-Qurannya adalah sangat baik. Dia telah mendirikan solat di Masjid Aqsa pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu ada lelaki lain yang mengikutinya. Bilangan orang yang mengikutinya itu semakin bertambah sehinggalah kepada suatu jumlah yang sangat ramai. Pada tahun berikutnya, bilangan orang yang solat bersamanya juga ramai, dan perkara itu — yakni amalan solat tersebut — telah tersebar di Masjid Aqsa dan rumah-rumah orang ramai. Kemudian ia berterusan dilakukan seolah-olah ia suatu sunnah sehinggalah ke hari ini.[10]

Mengenai hal ini, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa solat sunat al-Ragha’ib adalah bidaah yang buruk lagi dikeji. Manakala hadith berkaitannya pula adalah palsu. Justeru, dihukumkan sebagai makruh — yakni makruh tahrim — untuk melakukannya sama ada secara bersendirian atau berjemaah.[11] Begitu juga Imam al-Nawawi, setelah menyebutkan mengenai definisi solat al-Ragha’ib, beliau menyatakan solat ini adalah bidaah yang mungkar lagi buruk. Janganlah tertipu dengan sebab ia disebutkan dalam kitab Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau dengan sebab terdapatnya hadith yang menyebutkannya kerana semua perkara tersebut adalah batil. Demikianlah juga jangan tertipu dengan sebahagian ulama dalam kalangan para imam yang terkeliru — yakni samar-samar — mengenai hukum solat ini, lalu menulis risalah berkenaan galakkan untuk melakukannya. Sedangkan mereka sebenarnya tersilap dan terkeliru dalam perkara tersebut. Oleh itu, al-Syeikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma‘il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat baik bagi menolak dan menjawab semula berkenaan perkara tersebut.[12]

Selain itu, Ibn al-Haj al-Maliki menyatakan, termasuk dalam perkara bidaah yang diada-adakan adalah solat al-Ragha’ib yang ditunaikan di masjid-masjid. Menurut beliau, orang ramai berhimpun di sebahagian masjid jamek dan masjid-masjid bagi melakukan perkara bidaah ini. Mereka menzahirkannya dengan menunaikannya secara berjemaah seolah-olah ia merupakan solat yang disyariatkan. Adapun menurut mazhab Imam Malik, solat al-Ragha’ib ini adalah makruh — yakni makruh tahrim — untuk dilakukan kerana ia tidak dilakukan oleh generasi sebelumnya dan kebaikan itu keseluruhannya adalah dengan mengikuti mereka, yakni para sahabat R.Anhum.[13] Tambahan lagi, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga menyebutkan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Syaaban.[14]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat al-Ragha’ib yang dilakukan pada awal malam Jumaat Rejab atau pertengahan Syaaban dengan kaifiyatnya yang khusus serta bilangan rakaat yang khusus adalah tidak mempunyai asal dalam agama dan tidak thabit daripada Nabi SAW. Bahkan ia merupakan bidaah yang mungkar lagi buruk sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Imam al-Nawawi dengan jelas mengingatkan agar jangan tertipu dengan kelebihan dan galakan melakukan solat ini kerana kesemuanya adalah batil.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat dalam kalangan ulama yang sangat memberi perhatian dan memuliakan malam nisfu Syaaban. Ibn Rajab menyebutkan, pada zaman dahulu, para tabiin daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain memuliakan malam nisfu Syaaban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu.[15] Malah Imam al-Syafi‘i memasukkan malam nisfu Syaaban sebagai salah satu daripada lima malam yang mustajab doa padanya.[16]

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam nisfu Syaaban tersebut dengan memperbanyakan amal ibadah sama ada dengan membaca al-Quran, mendirikan solat sunat seperti solat tahajud, witir dan lain-lain, berzikir, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan lain-lain lagi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat Muslim (1718)

[2] Riwayat al-Bukhari (2697)

[3] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/16.

[4] Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 46.

[5] Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 10.

[6] Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 55-56.

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/271.

[8] Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/80; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/56.

[9] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/238.

[10] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/272.

[11] Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/217.

[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/56.

[13] Lihat al-Madkhal, 1/294.

[14] Lihat al-Manar al-Munif, hlm. 98.

[15] Lihat Lataif al-Ma‘arif, hlm. 137.

[16] Lihat al-Umm, 1/264.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *