#730: Sapu Dahi dan Muka Selepas Beri Salam

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum jika seseorang menyapu dahi dan mukanya, sejurus selepas memberi salam ketika solat? Adakah terdapat sebarang panduan dan hadis berhubung perkara ini. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Amalan ini disebut dalam kitab-kitab ulama mazhab al-Syafie, bahawa apabila seseorang itu selesai solat, disunatkan baginya untuk menyapu dahi dan wajahnya sambil membaca doa:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (هُوَ) الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Maksudnya: “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah! Aku mohon agar Engkau buangkan dari diriku kegelisahan dan kesedihan.”

Antara para ulama’ yang menyebutnya:

  • Imam al-Nawawi dalam al-Azkar(no. 193), daripada Ibn Sunni, daripada Anas bin Malik RA.
  • Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam I`anah al-Talibin (1/215)daripada Ibn Sunni.
  • Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husin bin ‘Umar Ba ‘Alawi yang merupakan Mufti negara-negara Hadramaut menyebutnya dalam Bughyatu al-Mustarsyidin (hlm. 49), daripada Ibn Mansur.

Beliau berkata: “Ibn Mansur telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW, apabila telah menyelesaikan solatnya, dia menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya, kemudian dilalukan di atas wajahnya, sehingga sampai ke atas janggut Baginda yang mulia.” [1]

Riwayat yang dimaksudkan adalah berdasarkan jalur daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَضَى صَلاتَهُ يَعْنِي وَسَلَّمَ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ يَقُولُ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW, apabila selesai daripada solatnya – yakni memberi salam – Baginda akan menyapu dahinya dengan tangan kanannya, kemudian menyebut: ‘بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ’ (Dengan nama Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala keluh-kesah dan dukacita).”[2]

Hadis ini disepakati kedha’ifan oleh para ulama, antaranya seperti yang dinukilkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nataij al-Afkar (2/285). Sebahagian ulama lain pula menilainya sebagai daif jiddan (lemah yang bersangatan) dan maudhu’ (palsu).[3] [4]

Penutup

Kami cenderung kepada pendapat bahawa amalan ini tidak bermasalah untuk diamalkan seperti mana yang difatwakan oleh para ulama mazhab al-Syafie. Walaupun begitu, barangsiapa yang meninggalkan kerana berhati-hati, maka hukumnya tidak makruh dan tidak wajar dijadikan polemik.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat Bughyatu al-Mustarsyidin, hlm. 49

[2] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn al-Sunni dalam `Amal al-Yaum wa al-Lailah (no.122) dan Imam al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Awsat (no.3178) dan al-Du’a (658), Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu’afa’ (6/64) dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (12/470).

[3] Lihat al-`Ajalah al-Raghib (no.113) oleh Syeikh Salim Eid al-Hilali

[4] Lihat juga al-Futuhat al-Rabbaniyyah (3/57) dan al-Silsilah al-Dha’ifah (no. 660).

Latest articles

Related articles