#741 Mati kerana Wabak Dikira Mati Syahid

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah seseorang yang mati kerana wabak dikategorikan sebagai mati syahid? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”[1]

Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur.[2]

Secara umumnya, terdapat banyak riwayat yang menyebutkan berkenaan orang Islam yang mati kerana wabak dikira mati syahid. Di antaranya riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: الـمَطْعُونُ، والـمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya:Syuhada ada lima iaitu orang yang terkena wabak (penyakit), orang yang sakit perut, orang yang tenggelam, orang yang tertimpa sesuatu runtuhan, dan orang yang syahid (kerana berperang) di jalan Allah.[3]

Manakala dalam riwayat Abu Hurairah R.A yang lain, Rasulullah SAW bersabda (dengan bertanya kepada para sahabat):

مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، قَالَ: إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، قَالُوا: فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya:Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu? Mereka menjawab: ‘Wahai Rasulullah, sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah, maka dia syahid.’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, para syuhada dalam kalangan umatku sedikit.’ Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan taun maka dia syahid dan sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid.’[4]

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الطّاعُونُ شَهادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Mati kerana penyakit taun itu adalah syahid bagi setiap Muslim.”[5]

Justeru, hadith-hadith di atas jelas menunjukkan bahawa orang Islam yang mati kerana wabak (taun) dianggap sebagai mati syahid. Kurniaan gelaran syahid ini adalah dianugerahkan sendiri oleh Baginda SAW sebagaimana yang dapat kita lihat menerusi hadith-hadith tersebut.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.[6]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith ini kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:

  • Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur — yakni terbunuh — di jalan Allah melawan orang-orang kafir — bagi menegakkan agama-Nya — ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri — daripada musuh.
  • Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia — yakni tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya.[7]

Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat.[8] Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan, mereka ialah sesiapa yang gugur di dalam perang melawan orang-orang kafir — yakni bagi menegakkan agama-Nya — tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang.[9]

Oleh itu, kita ketahui bahawa mati kerana wabak taun adalah termasuk dalam syahid di akhirat tetapi tidak di dunia. Ini bermakna bagi mereka di akhirat pahala mati syahid tetapi di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa syahid yang dimaksudkan ialah mereka kesemuanya kecuali yang gugur di jalan Allah, kelak di akhirat akan mendapat pahala mati syahid. Adapun di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan.[10]

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, pahala syahid yang diperoleh mereka yang mati kerana taun adalah seperti mana pahala syahid mereka yang gugur di jalan Allah SWT.[11] Hal ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يختصِمُ الشُّهداءُ والمتوفَّونَ على فُرُشِهِم إلى ربِّنا في الَّذينَ يتوفَّونَ منَ الطَّاعونِ، فيقولُ الشُّهداءُ: إخوانُنا قُتِلوا كما قُتِلنا ، ويقولُ المتوفَّونَ في فرشِهِم: إخوانُنا ماتوا على فرشِهِم كما مُتنا، فيقولُ ربُّنا: انظُروا إلى جراحِهِم، فإن أشبَهَ جراحُهُم جراحَ المقتولينَ، فإنَّهم منهم ومعَهُم، فإذا جراحُهُم قد أشبَهَت جراحَهُم

Maksudnya: “Orang-orang yang syahid dan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka saling berselisih kepada Allah SWT mengenai orang-orang yang meninggal dunia kerana wabak taun. Orang-orang yang syahid berkata: ‘Mereka ialah saudara-saudara kami, iaitu mereka dibunuh sebagaimana kami dibunuh.’ Sedangkan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka pula berkata: ‘Mereka ialah saudara-saudara kami, mereka meninggal di atas katil mereka sebagaimana kami meninggal.’ Kemudian Allah SWT berfirman: ‘Lihatlah kepada luka mereka, sekiranya luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh, maka mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang terbunuh, dan bersama mereka,’ dan ternyata luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh itu.[12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa orang Islam yang meninggal dunia kerana wabak taun dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang dinayatakan dalam nas yang sahih. Walau bagaimanapun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Kami akhiri dengan riwayat daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).[13]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 154

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24.

[3] Riwayat al-Bukhari (2829); Muslim (1914)

[4] Riwayat Muslim (1915)

[5] Riwayat al-Bukhari (2830); Muslim (1916)

[6] Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550.

[7] Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55.

[8] Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550.

[9] Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 189.

[10] Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550.

[11] Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 196.

[12] Riwayat al-Nasa’i (3164) dan Ahmad (17195)

[13] Riwayat Muslim (1909)

Latest articles

Related articles