Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang wanita mengerjakan solat tanpa memakai telekung, sebaliknya hanya memakai tudung biasa sahaja? Adakah sah solat tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menutup aurat bagi wanita muslimah adalah satu kewajipan di dalam agama. Kewajipan tersebut bertujuan untuk memelihara kehormatan wanita seterusnya mengangkat taraf dan kedudukan wanita kepada yang lebih tinggi. Bersesuaian dengan salah satu tujuan perutusan Nabi SAW iaitu untuk mengangkat martabat kaum wanita itu sendiri yang ditindas pada zaman arab Jahiliyyah.
Definisi Telekung
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, telekung ditakrifkan sebagai selubung untuk menutup tubuh perempuan ketika menunaikan solat.[1] Telekung difahami umum sebagai sejenis kain berbidang besar, yang digunakan oleh golongan perempuan untuk melakukan solat. Ia sinonim dengan warna putih dan biasanya datang dalam dua bahagian. Pertama, telekung di mana ia disarung pada muka dan panjangnya melitupi separuh atas badan. Kedua, kain telekung di mana ia dipakai untuk melitupi kaki sepenuhnya.
Menutup Aurat Sebagai Syarat Sah Solat
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. [2]
Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut, manakala bagi wanita yang merdeka ialah keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Rambut wanita juga adalah aurat yang wajib ditutup ketika solat. Dalilnya ialah hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).”[3]
Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki.[4] Maksudnya, Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan kedua-duanya menutup aurat.
Imam al-Syirazi berkata selepas menyebut hadis ini: “Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.”
Imam al-Nawawi kemudian menjelaskan dengan katanya: “Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu… dan jika seseorang itu solat dengan suatu penutup (auratnya) kemudian selepas senggang (daripada solat) dia mengetahui bahawa terdapat kesan koyak yang jelas menampakkan aurat, maka wajib ke atasnya untuk mengulangi solat itu mengikut mazhab (al-Syafie) sama ada dia tahu atau terlupa atau dia belum tahu. Dalam hal ini terdapat khilaf yang terdahulu bagi orang yang solat dengan najis dalam keadaan tidak tahu atau terlupa. Jika terdapat kemungkinan (ihtimal) bahawa berlakunya koyak itu selepas senggang daripada solat maka tidak perlu i`adah (mengulang solat) tanpa khilaf, sama kes dengan hukum najis.“ [5]
Imam al-Nawawi turut menyebut bahawa wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. [6]
Al-Khatib al-Syarbini telah menjelaskan dalam kitabnya bahawa tidak batal solat sekiranya berpakaian yang menampakkan tubuh badan tetapi makruh bagi seorang wanita berpakaian ketat manakala bagi lelaki tidak diutamakan (khilaf al-Aula). [7]
Secara ringkasnya, aurat seorang wanita berbeza mengikut keadaan seperti berikut:
- Aurat wanita ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya lelaki yang bukan mahram atau wanita kafir ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.
- Aurat wanita antara sesama wanita muslimah atau lelaki mahrammya (seperti ayah atau abang kandung) ialah antara pusat hingga ke lutut. [8]
Kadar Menutup Aurat
Imam al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit.[9] Syeikh Zainuddin al-Malibari pula menjelaskan, ia hendaklah tidak menampakkan warna kulit dalam situasi perbualan [jarak kedudukan kebiasaan bagi dua orang atau beberapa orang berbual][10] Dalam fiqh, istilahnya dipanggil sebagai majlis al-takhatub (majlis percakapan/perbualan).
Syeikh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menjelaskan, jarak majlis al-takhatub [dalam bab basuhan janggut yang tebal] itu adalah kira-kira 1.5 meter.[11] Syeikh al-Nawawi al-Bantani menyebut: “[menutup aurat] dengan suatu jirim yang suci yang boleh menghalang penglihatan kepada warna kulit, dengan tidak dapat diketahui warna putih (kulitnya) daripada hitamnya dalam majlis al-takhatub.”[12]
Adakah ada para ulama’ mengqiyaskan bab wudhu’ kepada bab aurat? Ya, Imam Ahmad bin Musa bin `Ajil, seperti mana kata Syeikh Zainuddin al-Malibari [13] dan Syeikh al-Syirwani.[14] Namun mengikut Syeikh Abu Makhramah bahawa pendapat yang muktamad tidak ada beza antara majlis al-takhatub atau tidak. Jika seseorang itu mendekatkan matanya kepada pakaian, maka tidak dikira jika nampak auratnya juga.[15]
Aurat Wanita di dalam Solat
Adapun aurat wanita di dalam solat, para ulama’ mazhab Syafi’e menyebutkan ianya adalah keseluruhan jasad wanita itu sendiri kecuali muka dan kedua tapak tangan zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.[16]
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
Maksudnya: dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya[17]
Menurut Ibn Abbas R.Anhuma dan ‘Aisyah R.Anha bahawa yang dimaksudkan dengan إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ adalah muka dan juga kedua tapak tangan.[18]
Ianya juga adalah aurat bagi wanita di luar solat ketika berhadapan dengan lelaki-lelaki ajanib baik yang muslim ataupun non-muslim iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
‘Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”[19]
Imam al-San`ani menjelaskan: “Khimar adalah apa yang ditutup dengannya kepala dan leher.”[20]
Hadith di atas menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.
Dalam sebuah hadith juga ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat seperti mana yang terdapat di dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.”[21]
Hadith secara tidak langsung menunjukkan kepada kita akan keadaan berpakaian para wanita di zaman Rasulullah SAW ketika ingin menunaikan solat dan begitulah juga keadaannya ketika selesai solat, pulang ke rumah tanpa dikenali oleh sesiapa pun.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan, hukum bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat.
Tanpa menafikan bahawa penggunaan telekung juga menepati kaedah penutupan aurat secara syar’ie, namun sekiranya terdapat wanita yang pakaian sedia adanya telah cukup syarat penutupan aurat, maka pakaiannya yang sedia ada itu boleh di bawa solat meskipun tanpa mengenakan telekung.
Permasalahan mula timbul bilamana mengganggap bahawa telekung merupakan syarat sah solat sedangkan yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat.
Perlu diingatkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=telekung
[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 206
[3] Riwayat Abu Daud (641), al-Tirmizi (377), Ibn Majah (655) dan Ahmad (25167). Al-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan dan al-Hakim mengatakan hadis ini sahih atas syarat Muslim.
[4] Lihat Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 3/166-167
[5] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 3/166
[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/171
[7] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/398
[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124
[9] Lihat Al-Muhadhdhab, 125/1.
[10] Lihat Fatḥ al-Muʿīn, 1/86.
[11] Lihat Al-Taqrīrāt al-Sadīdah, m. 84.
[12] Lihat Kāshifat al-Sajā, m. 120.
[13] Lihat Fatḥ al-Muʿīn, 86
[14] Lihat Ḥāshiyah Tuḥfat al-Muḥtāj, 2/112.
[15] Bughyat al-Mustarshidīn, 104.
[16] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/166
[17] Surah al-Nur: 31
[18] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/45)
[19] Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.
[20] Lihat Subul al-Salam, 1/197
[21] Riwayat al-Bukhari (365)