#751: Zakat Barang Kemas Wanita

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah barang kemas wanita diwajibkan zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[1]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. [2]

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”[3]

Takrif Zakat

Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”[4]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. [5]

Asas Wajib Bagi Zakat Harta

Harta yang diwajibkan zakat berdasarkan harta yang subur. Setiap harta yang boleh berkembang dan bertambah mempunyai kaitan dengan zakat. Oleh itu, zakat tidak berkaitan dengan harta yang beku.

Hikmah zakat berasaskan kesuburan harta adalah jelas. Harta yang beku jika wajib zakat akan habis dalam jangka masa 40 tahun. Ini sudah tentu akan menyusahkan pemiliknya.

Sementara itu, harta yang subur dan boleh bertambah mempunyai kaitan dengan zakat mengikut kesuburan harta tersebut dan ia tidak akan habis oleh zakat. [6]

Adakah Barang Kemas Diwajibkan Zakat?

Dalam menjawab persoalan di atas, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Barang kemas yang harus, dikecualikan daripada zakat, seperti barang-barang perhiasan wanita yang diperbuat daripada emas dan perak, yang tidak sampai ke tahap berlebih-lebihan pada pandangan umum.[7] Begitu jugalah halnya cincin perak bagi lelaki. Ini kerana kedua-dua barang kemas tersebut yang dijadikan perhiasan telah hilang sifat suburnya, yang diizinkan oleh syara’ menjadi harta yang beku.

Ini berdasarkan hadith, Jabir RA meriwayatkannya daripada Rasulullah SAW sabdanya:

لاَ زَكَاةَ فِي الْحُلِىِّ

Maksudnya:Tidak wajib zakat barang kemas.”[8]

Hadith tersebut dikuatkan lagi dengan contoh perbuatan (آثار) sahabat R.Anhum:

أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا كَانَتْ تَلِي بَنَاتِ أَخِيهَا يَتَامَى فِي حَجْرِهَا لَهُنَّ الْحُلِيُّ، فَلاَ تُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاةَ. وَأَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا كَانَ يُحَلِّي بَنَاتِهِ وَجَوَارِيَهُ الذَّهَبَ، ثُمَّ لاَ يُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاةَ

Maksudnya:Aisyah R.Anha memelihara beberapa orang anak perempuan saudara lelakinya yang yatim. Mereka mempunyai barang kemas emas dan perak, dan dia tidak mengeluarkan zakatnya. Manakala Abdullah bin Umar R.Anhuma pula telah memakaikan anak perempuan dan khadam perempuannya barang kemas. Dia juga tidak mengeluarkan zakat barang kemas tersebut.”[9]

Imam al-Syafie Rahimahullah meriwayatkan:

أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ الْحُلِيِّ: أَفِيهِ زَكَاةٌ؟ فَقَالَ: لاَ

Maksudnya:Seorang lelaki bertanya kepada Jabir bin Abdullah R.Anhuma tentang barang kemas: Adakah wajib zakat? Kata Jabir: Tidak. [10]

Walau bagaimanapun, zakat tetap dikeluarkan bagi barang kemas, peralatan dan perhiasan daripada emas dan perak yang haram digunakan, seperti perkakas atau perhiasan rumah dan barang kemas bagi lelaki, kecuali cincin perak. Barang-barang tersebut walaupun telah hilang suburnya sebab digunakan, tetapi sebab tersebut tidak diambil kira kerana menggunakannya adalah haram. [11]

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Fatawa al-Mu’asirah, perkara yang telah sedia maklum, bahawa para fuqaha berselisih pendapat tentang kewajipan zakat terhadap perhiasan wanita jika ia terdiri daripada emas dan perak.

Mazhab Abu Hanifah mengatakan wajib zakat ke atasnya apabila telah cukup nisab, sama ada cukup nisab itu tanpa dicampurkan dengan harta lain ataupun dicampurkan dengan harta lain.

Adapun bagi mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, perhiasan yang harus dan digunakan untuk kegunaan biasa, mereka mengatakan bahawa tidak diwajibkan zakat ke atasnya. Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, pendapat inilah yang beliau tarjih (benarkan) dan fatwakan, berdasarkan dalil-dalil yang telah beliau huraikan dengan panjang lebar di dalam buku Fiqh al-Zakah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Surah al-Taubah (103)

[2] Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/913

[3] Riwayat al-Bukhari (1496)

[4] Surah al-Syams: 9

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/647

[7] Hukum zakat perhiasan ada dua pendapat:

Pertama: Tidak wajib. Inilah pendapat Imam al-Syafie, Maliki dan Hanbali. Begitu juga pendapat sebahagian sahabat (Ibn Umar, Jabir, Anas bin Malik, Aisyah, Asma’ binti Abu Bakar), tabi’in (al-Qasim, al-Sya’bi, Qatadah, Muhammad bin Ali, Amra binti Abdul Rahman, Ishaq, Abu Thaur) dan jumhur fuqaha’ (al-Mughni al-Muhtaj 3/601).

Kedua: Mazhab Hanafi seperti yang dinyatakan dalam Fath al-Qadir, zakat perhiasan adalah wajib. Ini merupakan pendapat jumhur sahabat antaranya (Umar bin al-Khattab, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Abdullah bin `Amru). Golongan tabi’in (Sufyan al-Thauri, Said bin Musayyib, Sa’ad bin Jubair, `Ata’, Mujahid, Jabir bin Zaid, Ibn Sirin, Maimun, al-Zuhri, Abdullah al-Mubarak). Begitulah juga menurut mazhab Zahiriyyah dan Zaidiyah.

[8] Riwayat al-Baihaqi (4/138) dan al-Daraqutni (2/107)

[9] Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1/250)

[10] Lihat kitab al-Umm, 2/34-35

[11] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/650

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *