#750: Menggantikan Puasa Orang yang Telah Mati

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum menggantikan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia? Ini kerana, arwah ibu saya dahulu mempunyai baki-baki puasa yang perlu diqadha’. Tetapi belum sempat dia mengqadha’nya, dia telah meninggal dunia. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kewajipan Mengqadha’ Puasa

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.[1]

Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia.

Daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”[2]

Daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan:

جاء رجلٌ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسولَ اللهِ إن أمي ماتتْ وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضِيه عنها ؟ قال: نعم ، قال: فديْنُ اللهِ أحقُّ أن يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Berkata Baginda SAW: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.[3]

Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.

Puasa yang Ditinggalkan oleh Si Mati

Pada asasnya, puasa yang ditinggalkan oleh si mati mempunyai dua keadaan sepertimana disebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj (1/438) dan Bidayah al-Mujtahid (1/290):

  • Keadaan yang pertama sekiranya si mati tidak sempat menggantikan puasa, sama ada kerana kesempitan waktu, uzur disebabkan sakit atau bermusafir atau hal lain yang menghalang dari berpuasa, maka disisi ulama’ tidak ada sebarang tanggungjawab kepadanya atau warisnya untuk menggantikan puasa.
  • Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan:
  1. i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati hal ini berdasarkan hadis yang diriwatkan oleh Aishah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ ‏

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.”[4]

Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati. [5]

  1. ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati. Hal ini wajib dilakukan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ:‏ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ‏.‏ قَالَ: نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

MaksudnyaBahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “Sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”[6]

Selain itu, para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribiTahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.

Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:

Ditanya: “Adakah telah tinggalkan 50 hari?” Dia menjawab: “Terlalu sedikit.” Ditanya lagi: “90 hari?” Dia menjawab: “Terlalu banyak”

Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari. Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qada’.

Selain daripada itu, boleh juga ditanya kepada mufti negeri masing-masing untuk kepastian lanjut.

Menggantikan Puasa Orang yang Telah Mati

Berbalik kepada persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib ke atasnya sesuatu pun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.[7]

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.”[8]

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[9]

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya? Jawab Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.”[10]

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut[11]

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.  

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Surah al-Baqarah: 185

[2] Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

[3] Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

[4] Riwayat Bukhari (1952) Muslim (1147)

[5] Lihat al-Majmu’ (6/ 418).

[6] Riwayat Muslim (1148)

[7] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e, 2/201)

[8] Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

[9] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/23

[10] Riwayat Abu Daud (3310)

[11] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e, 2/202

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *