#758: Maksud ‘Amin’ Selepas Baca Surah al-Fatihah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa maksud ‘Amin’ yang disebut selepas kita membaca surah al-Fatihah? Dan adakah ia termasuk daripada surah al-Fatihah? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Umumnya, mengucapkan “Amin” selepas selesai bacaan surah al-Fatihah bagi setiap orang yang mendirikan solat, hukumnya adalah sunat, yakni selepas firman Allah SWT, “وَلَا الضَّالِّينَ” hendaklah diikuti dengan perkataan “Amin”. Begitu juga, disunatkan mengucapkan “Amin” dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. [1]

Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi sesiapa yang membaca surah al-Fatihah untuk mengucapkan “Amin” selepas selesai membacanya. [2] Ibn Kathir menjelaskan lagi, disunatkan perkara tersebut bagi sesiapa yang membacanya di luar solat dan pada hak orang yang mendirikan solat itu adalah lebih-lebih lagi — yakni disunatkan. Tidak kira dia mendirikan solat secara bersendirian atau dia ialah imam (yang memimpin solat berjemaah) atau dia ialah makmum. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah pada semua keadaan. [3]

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الـمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. وَقَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: آمِينَ.

Maksudnya: “Apabila imam mengucapkan ‘amin’, maka ucapkanlah ‘amin’ kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapan ‘amin’nya serentak (bertepatan) dengan (ucapan) ‘amin’ para malaikat, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” Kemudian Imam al-Bukhari menukilkan di penghujung hadith ini, perkataan Ibn Syihab yang menyebutkan: “Rasulullah SAW juga selalu mengucapkan ‘amin’.” [4]

Begitu juga terdapat riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mengucapkan ‘amin’, dan para malaikat di langit pun mengucapkan ‘amin’, lalu (berlaku) serentak (ucapan) antara satu sama lain, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” [5]

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi imam untuk diam seketika (dalam tempoh yang sangat sekejap), antara bacaan al-Fatihah dan bacaan “Amin”, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah. [6]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff pula menjelaskan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam antara bacaan al-Fatihah dan lafaz “Amin” dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”. [7]

Maksud Bacaan Amin

Majoriti ulama berpendapat bahawa lafaz “Amin” itu bermaksud “اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا” yakni “Ya Allah, perkenankanlah buat kami.” [8]

‘Aamin’ bermaksud: Perkenankanlah. Ia adalah kalimah doa yang bukan daripada al-Quran al-Karim dengan ijma’. Ini berdasarkan kepada dalil bahawa ia tidak ditulis dalam mushaf. Ibn al-Anbari bersetuju dengan pendapat di atas, katanya: Aamin adalah termasuk kumpulan ‘isim fi’il’ iaitu kata nama yang membawa maksud perbuatan. Ia bermaksud: “Ya Allah, perkenankanlah doa kami.” Cara menyebutnya ada dua cara yang masyhur, sama ada dibaca dengan pendekأمين  atas wazan فعيل atau dibaca secara panjang iaitu آمين atas wazan فاعل .

Menurut pendapat al-Hasan dan al-Zajjaj, aamin membawa erti ‘Ya Allah, terimalah doa kami.’ Ianya boleh dibaca sama ada panjang atau pendek mengikut bahasa Arab. [9]

Al-Hafiz al-Munziri berkata: Dikatakan bahawa Aamin merupakan satu nama daripada nama-nama Allah SWT. Inilah juga pendapat Mujahid, Hilal bin Yasaf dan Ja’far bin Muhammad. Ada pendapat menyatakan maksud aamin ialah begitulah yang diharap, seperti yang dihikayatkan daripada Ibn al-Anbari daripada Ibn Abbas dan al-Hasan. Ulama-ulama Nahwu menyatakan aamin sebagai isim fi’il (kata nama perbuatan).

Dalam hadis Abi Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ فَقُولُوا آمِينَ. يُجِبْكُمُ اللَّهُ

Maksudnya: “Apabila imam selesai membacakan ‘غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ’ , maka ucapkanlah aamin. Nescaya Allah SWT mengabulkannya.” [10]

Imam al-Baghawi berkata: “Maknanya ialah, ‘Ya Allah, dengarkanlah dan perkenankanlah’.” [11]

Syeikh Sulaiman Jamal berkata: “Amin itu ialah isim fi’il dengan makna perkenankanlah, dan kata setengah ulama’, maknanya adalah jangan hampakan harapan kami. [12]

Sunat Amin pada Setiap Doa

Mengikut riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan daripada Abi Zuhair al-Numairi (seorang sahabat Rasulullah SAW), beliau telah mengucapkan satu ucapan yang baik. Apabila salah seorang mereka berdoa, lalu dia berkata: “Khatamlah doamu dengan aamin kerana aamin seperti cop di atas surat.” Kemudian beliau menceritakan bahawa Nabi SAW berkata kepada seseorang yang berdoa:

اخْتِمْ يَا فُلاَنُ بِآمِينَ ، وَأَبْشِرْ

Maksudnya: “Khatamlah (doamu) dengan Aamin, dan terimalah berita gembira!”[13]

Di dalam hadith Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آمِيْنَ خَاتَمُ رَبِّ العالَمِينَ ، عَلَى لِسَانِ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Aamin adalah cop Tuhan sekalian alam di atas lisan hamba-hamba-Nya yang beriman.” [14]

Al-Munawi dalam syarah hadis ini berkata: Aamin mencegah doa daripada rosak dan ditolak, seperti cop metri di atas satu surat menegah daripada dizahirkan ke tangan orang yang tidak layak. [15]

Orang-orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan doa, kesemua mereka mendapat bahagian daripada doa. Inilah yang diriwayatkan daripada Ikrimah dalam tafsiran ayat 89 surah Yunus, katanya: “Musa berdoa dan Harun mengaminkannya. Maka itulah yang disebut dalam ayat, dan telah diperkenankan doa kamu berdua.” Riwayat al-Tabari dalam tafsirnya. [16]

Meskipun yang berdoa ialah Nabi Musa, tetapi dinisbahkan doa kepada kedua-duanya kerana orang yang mengaminkan doa juga dikira orang yang berdoa.

Kami menutup kenyataan ini dengan nukilan Saidina Ali RA, yang berkata:

آمِيْنَ خَاتَمُ رَبِّ العالَمِينَ، ختم بِهِ دُعَاء عبده

Maksudnya: “Amin adalah cop mohor Tuhan yang mentadbir sekalian alam, sebagai penutup doa hamba-Nya.” [17]

Iaitu penerangan mengenai ucapan ‘amin’ seumpama suatu cop surat rasmi yang telah ditutup dan cop tersebut dapat menghalang seseorang daripada membuka atau membuat sesuatu perlakuan pada surat itu. Manakala bagi orang yang berdoa pula dengan ucapan itu, akan dapat menghalang sebarang kegagalan. [18]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/152

[2] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/144-145

[4] Riwayat al-Bukhari (780)

[5] Riwayat al-Bukhari (781) dan Muslim (410)

[6] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93

[7] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238

[8] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240

[9] Lihat Zad al-Masir, 1/14

[10] Riwayat Muslim (404), Abu Daud (982), al-Nasa’ie (1064) dan Ahmad (19595)

[11] Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/55

[12] Lihat Hasyiyah al-Jamal, 2/43

[13] Riwayat Abu Daud (939)

[14] Riwayat al-Tabarani dalam al-Du’aa (202). Hadith ini dinilai sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami‘ (16)

[15] Lihat Faidh al-Qadir, 1/59

[16] Lihat Jami’ al-Bayan, 15/185

[17] Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/84; Ruh al-Bayan, 1/10

[18] Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/38

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *