Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang asnaf al-gharimin dalam golongan penerima zakat? Terima kasih

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Zakat dan Golongan Penerimanya

Pada asasnya, zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. [1]

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[2]

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” [3]

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. [4]

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. [5]

Pengertian Asnaf al-Gharimin

Al-Gharimin adalah kata majmuk bagi gharim yang mana bermaksud orang yang berhutang. Manakala al-gharim pula adalah pemiutang. Asal bagi perkataan al-Gharm dari segi bahasa adalah al-Luzum iaitu sesuatu yang melazimkannya. Ini sepertimana firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.[6]

Begitulah azab neraka yang mana pasti melazimkan kebinasaan yang kekal. Dengan itu juga dinamakan dengan al-Gharim bagi mereka yang berhutang kerana hutang itu menjadi kelaziman keatasnya manakala al-Gharim (pemiutang) pula akan selalu melazimi al-Madin (penghutang) untuk menuntut hutangnya.

Pembahagian Asnaf al-Gharimin

Terdapat tiga pembahagian al-Gharimin yang masyhur di sisi mazhab al-Syafi’e, iaitu:

Pertama: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.

Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan untuk diberikan zakat kepada mereka yang berhutang bagi dirinya sendiri antaranya:

  1. Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya. Sekiranya dia berkemampuan untuk melangsaikan hutangnya, maka tidak diberikan zakat kepadanya.

Sekiranya dia memiliki harta yang hanya dapat menampung sebahagian daripada hutangnya, maka dia layak menerima bantuan zakat untuk menyelesaikan hutang yang berbaki.

Jika individu tersebut mampu membayar hutang setelah dia bekerja dan mampu bekerja, maka dia tetap layak menerima zakat untuk melangsaikan hutangnya kerana dia perlu menyelesaikannya dalam tempoh masa yang mendesak. Ini kerana untuk dia bekerja bagi mendapatkan harta untuk membayar hutang memerlukan tempoh masa yang lebih lama sedangkan keperluan sedia ada buat diri dan juga keluarganya perlu juga diutamakan disamping hutang yang terbeban.

Sifat kaya yang menjadi penghalang bagi kelayakan seseorang yang berhutang daripada menerima zakat adalah apabila dia memiliki wang untuk membayar hutang. Jika dia memiliki tanah, rumah, pakaian, perabot atau pinggan mangkuk tetapi dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar hutang, dia masih layak menerima zakat. Ini disebabkan dia masih memerlukan asset tersebut untuk meneruskan kehidupan seharian.

  1. Perlulah apa yang dihutangkannya itu adalah dalam perkara yang taat atau perkara yang dibolehkan dan bukannya berhutang di dalam perkara maksiat seperti arak dan zina.
  2. Perlulah hutang itu dalam keadaan semasa iaitu sedang berlaku atau telah sampai tempoh untuk dilunaskan. Sekiranya hutang itu ditangguhkan (boleh di bayar dalam masa yang lama) di sini terdapat tiga (3) pendapat mengenainya:[7]
  • Diberikan juga zakat meskipun hutang itu ditangguhkan. Ini berdasarkan dalil umum yang mengatakan bahawa golongan ini juga pada hakikatnya adalah         penghutang.
  • Tidak diberikan zakat kepadanya kerana ianya tidak diperlukan pada waktu tersebut.
  • Diberikan sekiranya tangguhan hutang itu masih berada pada tahun tersebut. Sekiranya tangguhan hutang itu memasuki tahun yang baru, maka tidak diberikan zakat kepada golongan ini.

Kedua: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.

Mereka yang berhutang demi kemaslahatan yang lain adalah golongan yang dimuliakan kerana kesanggupannya untuk berhutang demi kemaslahatan yang lain. Ini sepertimana seseorang yang menjadi orang tengah dalam memperbaiki hubungan di antara dua kaum/kabilah yang bertelagah disebabkan harta ataupun darah (membayar diyat dsb.), maka dikeluarkan darinya harta sehinggakan dia terpaksa berhutang, maka golongan ini berhak juga mendapat zakat untuk menutup hutangnya.

Begitu juga bagi mereka yang yang berhutang demi kemaslahatan orang ramai seperti mengasaskan rumah anak yatim, hospital awam, membina masjid dan juga amal-amal kebajikan yang lain sehingga manfaatnya mengalir kepada orang awam. Maka diberikan zakat berdasarkan apa yang dihutangkan olehnya untuk menutup hutang tersebut meskipun dia seorang yang kaya seperti pendapat sebahagian al-Syafi’eyyah.[8] Berpendapat sebahagian al-Syafi’eyyah bahawa kepada mereka yang berhutang kerana membina sesuatu, menebus tawanan perang atau membekalkan kemudahan kepada tetamu, diberikan kepada mereka meskipun kaya jikalau kayanya itu dengan pemilikan hartanah dan bukannya dengan wang. [9]

 

Ketiga: Individu yang menjamin orang yang berhutang.

Penjamin tersebut layak menerima zakat daripada asnaf al-Gharimin dengan syarat:

  • Penjamin dan orang berhutang yang dijamin berada dalam keadaan tidak mampu melangsaikan hutang. Penjamin layak menerima zakat untuk menyelesaikan hutang tersebut.
  • Jika penjamin tidak mampu untuk membayar hutang, manakala orang berhutang yang dijamin mampu, maka penjamin layak menerima zakat jika dia menjamin tanpa kebenaran orang yang berhutang.
  • Jika penjamin mampu membayar hutang, manakala orang berhutang yang dijamin tidak mampu membayarnya, maka orang berhutang itu sahaja yang layak menerima zakat untuk membayar hutang tersebut.

Ini berdasarkan hadith daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang mana menyebutkan:

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ ‏”‏ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا ‏”

Maksudnya“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah: ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.” [10]

Syarat-Syarat Hutang Yang Dibenarkan Bantuan Zakat

Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan, pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menggariskan syarat khusus bagi jenis-jenis hutang yang dibenarkan untuk menerima bantuan zakat seperti berikut:

Pertama: Hutang bagi pembiayaan keperluan asasi:

  • Makanan
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Perlindungan
  • Pakaian
  • Pengangkutan

Kedua: Hutang perniagaan (mengikut jenis dan keutamaan)

Ketiga: Keutamaan bantuan menyelesaikan hutang adalah kepada golongan fakir, miskin dan muallaf.

Mereka yang Ditimpa Bencana

Al-Qurtubi ada menyebutkan dalam tafsirnya bahawa zakat diberikan kepada dua golongan. Pertama, golongan yang berharta tetapi dalam masa yang sama mempunyai hutang keliling pinggang, maka diberikan zakat untuk melangsaikan hutangnya. Keduanya, golongan yang tidak berharta dan mempunyai hutang, maka diberikan zakat kepadanya melalui dua tabung asnaf iaitu “al-gharimin” dan “fakir miskin”. [11]

Di samping itu, melihat kepada tafsiran ulama, antaranya Mujahid pernah menyatakan bahawa terdapat tiga golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu:

  • Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
  • Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya
  • Mereka yang mempunyai tanggungan tetapi tidak mempunyai harta sehingga terpaksa berhutang bagi menunaikan nafkah kepada tanggungannya itu. [12]

Al-Syaukani pula menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Ibn Abi Syaibah, Ibn al-Munzir, Ibn Abi Hatim dan Abu al-Syeikh meriwayatkan daripada Abu Ja‘far mengenai firman Allah SWT: “وَالْغَارِمِينَ” iaitu orang yang berhutang kerana perkara darah atau berhutang kerana bencana yang menimpanya. [13]

Selain itu, beberapa ulama lain turut memberikan fatwa dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan dalam kitabnya, bahawa mereka yang termasuk dalam kategori asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam sehingga habis binasa harta bendanya, lalu mereka terpaksa menanggung hutang bagi meneruskan kehidupan diri dan keluarga. [14]

Begitu juga dengan Syeikh Prof. Dr. Husamuddin bin Musa Muhammad bin ‘Afanah,[15] Profesor Fiqh dan Usul daripada Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al-Zakat (hlm. 132)

Syeikh Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi juga ada mengatakan bahawa termasuk dalam jenis asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana yang merosakkan lalu jatuhlah mereka ke dalam kebinasaan harta benda dengan sebab banjir, kebakaran dan seumpamanya. Beliau menukilkan pendapat Mujahid ketika mentafsirkan al-Gharimin di dalam al-Quran yang menyatakan, “Mereka yang terbakar rumahnya atau ditimpa musibah banjir sehingga musnah harta benda serta terpaksa menanggung hutang untuk menyara keluarganya.” [16]

Kesimpulan

Definisi al-Gharimin dibahaskan secara terperinci oleh para ulama’ silam dan juga kontemporari. Boleh kami simpulkan di sini bahawa golongan al-Gharimin yang berhak mendapatkan zakat beserta syarat-syarat yang ditetapkan itu terdapat beberapa kategori, iaitu:

  • Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.
  • Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.
  • Individu yang menjamin orang yang berhutang.
  • Individu yang ditimpa bencana yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan sebagainya.

Semoga dengan sedikit pencerahan mengenai asnaf al-Gharimin ini dapat memberikan maklumat buat masyarakat Islam khususnya, agar lebih peka terhadap golongan ini di samping memartabatkan juga institusi zakat di negeri masing-masing.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[2] Surah al-Taubah: 60

[3] Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62

[6] Surah al-Furqan: 65

[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/208.

[8] Berpendapat sebahagian al-Syafi’eyyah bahawa kepada mereka yang berhutang kerana membina sesuatu, menebus tawanan perang atau membekalkan kemudahan kepada tetamu, diberikan kepada mereka meskipun kaya jikalau kayanya itu dengan pemilikan hartanah dan bukannya dengan wang. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/319)

[9] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/319

[10] Riwayat Muslim (1044) dan Abu Daud (1640)

[11] Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/184

[12] Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 3/97)

[13] Lihat Fath al-Qadir, 4/715

[14] Lihat Fiqh al-Zakat, 2/623

[15] Beliau juga merupakan bekas Anggota Majlis Kajian Ilmiah Universiti al-Quds, merangkap Anggota Sidang Editorial Majalah Huda al-Islam, dan Ketua Jawatankuasa Pengawasan Syariah Bank Islam Palestin.

[16] Lihat Buhuth Fi Fiqh al-Zakat al-Mu’asirah, hlm. 332

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *