#761: Berkhatan dengan Doktor Bukan Islam

-43%
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
-25%

Inspirasi Kehidupan

Inilah Doaku

Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-25%
Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum kanak-kanak yang berkhatan dengan doktor bukan Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Berkhatan

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, berkhatan adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang. Ia juga dikenali dengan sunat atau dalam bahasa Inggeris dinamakan ‘circumcision’. [1]

Dalam erti kata lain, berkhatan bermaksud membuang foreskin atau kulup, iaitu kulit bahagian hadapan yang menutupi kepala zakar bagi lelaki. Manakala bagi perempuan bahagian kulit di atas saluran kencing (klitoris).

Secara lazimnya terdapat dua peringkat usia utama di mana khatan dilakukan, iaitu semasa bayi baru lahir ataupun dipanggil ‘neonatal circumcision’ dan juga semasa umur kanak-kanak mencecah sekitar umur 7 – 12 tahun.[2]

Berkhatan Menurut Perspektif Islam

Berkhatan adalah suatu ibadah yang disyariatkan di dalam Islam. Antara dalil yang menyebut tentang khatan ialah firman Allah SWT:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

MaksudnyaKemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik. [3]

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

اِخْتَتَنَ إِبْرَاهِيْمُ خَلِيْلُ الرَّحْمنِ بَعْدَ مَا أَتَتْ عَلَيْهِ ثَمَانُوْنَ سَنَةً.

Maksudnya: “Ibrahim, Khalil al-Rahman (kekasih Allah) berkhitan setelah berumur 80 tahun.” [4]

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, disebut:

‏ اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَ ثَمَانِينَ سَنَةً، وَاخْتَتَنَ بِالْقَدُومِ

Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan Qadum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun. [5]

Menurut Sayyid Sabiq, yang dimaksudkan dengan al-Qadum di sini adalah alat untuk memotong kayu (seperti kapak kecil) atau suatu nama daerah di Syam [6]

Daripada firman Allah dan hadis di atas, maka diperintahkan untuk mengikuti perbuatan yang diperintahkan terhadap Nabi Ibrahim A.S.

Dalam hadis lain, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ ، وَالاِسْتِحْدَادُ ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار ،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya“Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.” [7]

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Menurutku, kelima-lima perkara yang disebutkan dalam hadith ini semuanya wajib. Ini kerana, jika seseorang meninggalkan lima perkara tersebut, tidak tampak padanya gambaran bentuk anak Adam (manusia), lalu bagaimana dia digolongkan daripada kaum Muslimin. [8]

Selain itu, Nabi SAW pernah bersabda kepada seorang lelaki yang baru memeluk Islam:

أَلْقِ عَنْكَ شَعْرَ الْكُفْرِ وَاخْتَتِنْ.

Maksudnya: “Campakkanlah rambut kekufuran[9] darimu dan berkhitanlah.”

Riwayat Abu Daud (352) dan al-Baihaqi (1/172)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, katanya:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ وَخَتَنَهُمَا لِسَبْعَةِ أَياَّمٍ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW melakukan aqiqah serta mengkhitan Hasan dan Husain pada hari ketujuh.” [10]

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

سَبْعَةٌ مِنَ السُّنَّةِ فِي الصَّبِيِّ يَوْمَ السَّابِعِ: يُسَمَّى وَيُخْتَنُ.

Maksudnya: “Tujuh daripada perkara-perkara sunnah untuk bayi pada hari ketujuh adalah memberi nama dan mengkhitan.” [11]

Kedua-dua hadith di atas meskipun terdapat kelemahan pada keduanya, namun masing-masing saling menguatkan. Ini kerana sumber keduanya berbeza dan tidak ada (perawi) yang tertuduh pada keduanya. [12]

Berkhatan dengan Doktor Bukan Islam

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama, masalah adakah kemaluan kanak-kanak adalah aurat.

Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, kemaluan kanak-kanak lelaki seperti hukum kemaluan kanak-kanak perempuan, iaitu dikira sebagai aurat, dan melihatnya adalah diharamkan, melainkan ibunya sendiri ketika zaman menyusu sehingga selesai zaman tarbiyah menurut pendapat Ibn Qattan. [13]

Kedua, masalah membuka aurat untuk tujuan perubatan kepada doktor bukan muslim.

Dalam masalah ini kami melihat kaitan yang sangat rapat di antara persoalan ini dengan masalah wanita yang membuka aurat bagi tujuan rawatan dengan doktor yang bukan Islam.

Antara fatwa kontemporari dalam masalah wanita membuka aurat kepada doktor bukan Islam:

  • Fatwa al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ Bait al-Maqdis:[14]

Perlunya untuk wanita mendahulukan doktor wanita yang beragama Islam, kemudian diikuti doktor wanita bukan Islam yang dipercayai, kemudian diikuti doktor lelaki yang beragama Islam, kemudian barulah pergi kepada doktor lelaki bukan muslim.

Sepanjang tempoh rawatan dan tempoh sehingga sembuh itu, hendaklah dijaga bahagian aurat yang tidak terlibat. Hendaklah juga sentiasa menutup bahagian lain sekadar mampu. Sepanjang temoh rawatan hendaklah ditemani oleh mahram bagi pesakit.

  • Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah:[15]

Sekiranya di luar keadaan darurat, maka perlu didahulukan doktor yang sama jantina, kerana aurat sesama jantina lebih ringan berbanding yang berbeza.

Sebaliknya didalam keadaan yang darurat, diharuskan perkara yang menjadi larangan. darurat itu bukan sahaja ketika sudah berlaku kehancuran, atau sudah gagal dalam melakukan rawatan perubatan, malah ketika muncul perasaan takut akan berlaku kehancuran atau gagal dalam rawatan perubatan sudah dianggap darurat. Maka, bertepatan dengan Maqasid al-Shariah yang salah satunya menjaga nyawa, para fuqaha Syafi’eyah bersepakat bahawa diutamakan doktor yang lebih pakar berbanding melihat kepada jantina atau agama.

 

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami berpendapat masalah doktor bukan Muslim melihat kemaluan kanak-kanak ini boleh diqiyaskan dengan masalah wanita yang membuka aurat kepada doktor bukan muslim. Hal ini kerana, ‘illah pada kedua-dua masalah ini adalah aurat.

Berikut kesimpulan yang dapat dinyatakan daripada persoalan ini:

  • Berkhatan adalah suatu kewajipan menurut mazhab al-Syafie.
  • Kemaluan kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah aurat sejak dilahirkan adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab.
  • Hukum mendapatkan rawatan dari doktor pakar bukan Islam adalah harus sekiranya berhajat kepada kepakarannya dan sukar untuk mendapatkan doktor pakar muslim.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/berkhatan/

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/berkhatan/

[3] Surah al-Nahl: 123

[4] Riwayat al-Bukhari (6298) dan Muslim (370)

[5] Riwayat al-Tirmizi (2799)

[6] Lihat Fiqh Sunnah, 1/37

[7] Riwayat al-Bukhari (6227) dan Muslim (257)

[8] Lihat Fath al-Bari, 10/417

[9] Maksud rambut kekufuran di sini adalah model rambut yang menjadi ciri khas orang-orang kafir. Inilah seperttimana dijelaskan dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud dan Tuhfah al-Ahwazi.

[10] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (891)

[11] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (562)

[12] Lihat Tamam al-Minnah, hlm. 68

[13] Lihat Nihayah al- Muhtaj, 2/193 dan Tuhfah al-Muhtaj, 7/196)

[14] Lihat http://www.fatawah.net/Fatawah/321.aspx

[15] Lihat http://dar-alifta.org.eg/AR/ViewFatwa.aspx?ID=12903&LangID=1&MuftiType=0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *