#763: Sedekah Harta Sendiri Tanpa Kebenaran Suami

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ada persoalan. Bolehkah saya bersedekah menggunakan duit pendapatan saya sendiri tanpa meminta kebenaran suami?. Hal ini kerana ada kenalan saya yang menyatakan, perlu mendapat kebenaran suami untuk bersedekah walaupun dengan harta sendiri. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”[1]

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” [2]

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Terdapat begitu banyak kelebihan-kelebihan bersedekah di jalan Allah SWT yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ  وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ  وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.[3]

Ini merupakan suatu dalil yang jelas menunjukkan betapa besarnya pahala sedekah yang boleh menghasilkan 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya. Ayat ini umum meliputi sebarang bentuk sedekah sama ada ia datang dalam bentuk harta benda, makanan dan minuman, pakaian, dan seumpamanya.

Bersedekah Tanpa Kebenaran Suami

Para ulama’ bersepakat bahawa suami tidak berhak untuk melarang isterinya mengendalikan hartanya dalam jual beli seperti membeli, menyewa dan lain-lain sekiranya isterinya itu berakal, mampu menguruskannya dan dia bukanlah seorang daripada mereka yang mudah ditipu.[4]

Bahkan, wanita mempunyai hak untuk membelanjakan wangnya sendiri dalam semua keadaan melibatkan semua hartanya atau sebahagian daripadanya, sama ada dalam transaksi jual beli bersedekah atau seumpamanya. Ini adalah pendapat majoriti ulama’ daripada mazhab al-Syafi’e, Hanafi, Hanbali, dan Ibn al-Munzir.[5]

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.[6]

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengizinkan suami mengambil apa yang diberikan daripada isterinya yang rela memberikan kepadanya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ

Maksudnya: Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya)[7]

Abu Jaafar al-Tahawi menyatakan: Allah SWT mengizinkan wanita untuk meninggalkan mahar sebanyak yang mereka kehendaki jika suaminya menceraikan mereka, tanpa perlu meminta izin daripada sesiapa pun. Hal ini menunjukkan bahawa wanita mempunyai hak untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan wang mereka sendiri, dan bahawa seorang wanita mempunyai hak atas kekayaannya seperti lelaki mempunyai hak terhadap kekayaannya. [8]

Dr. Fayhan Ibn Atiq al-Mutairi juga menyatakan: Begitu juga, apabila para wanita bersedekah barang kemas mereka selepas Rasulullah SAW berucap kepada mereka semasa khutbah Aidilfitri, ini merupakan petunjuk bahawa mereka dibenarkan untuk membelanjakan harta mereka tanpa meminta izin daripada sesiapa pun.[9]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa seorang wanita tidak perlu meminta keizinan daripada suaminya untuk bersedekah dengan hartanya sendiri, dan suami juga tidak boleh menghalang isterinya untuk membelanjakan harta isterinya sendiri.

Namun begitu, bagi seorang wanita muslimah, digalakkan untuk dia meminta izin kepada suaminya sebagai penghormatan dan meraikan suaminya, tetapi ia bukanlah suatu kewajipan baginya untuk berbuat demikian, bahkan dia akan mendapat pahala kerana melakukannya. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya, “Wanita manakah yang paling baik?” Maka baginda bersabda:,

الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ وَلا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَه

Maksudnya: (Perempuan) yang menggembirakan (suaminya) apabila dia melihatnya, yang mematuhinya apabila dia menyuruhnya melakukan sesuatu, dan yang tidak menentangnya dengan cara yang dia tidak sukai tentang dirinya dan hartanya.[10]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

 

[1] Surah al-Baqarah: 271

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620

[3] Surah Al-Baqarah: 261

[4] Lihat Maratib al-Ijma’ oleh Ibn Hazm, hlm. 162

[5] Lihat al-Mughni, 4/513; al-Ansaf, 5/342; Syarh Ma’ani al-Athar, 4/354; Fath al-Bari, 5/318; Nail al-Autar, 6/22).

[6] Surah al-Nisa’: 4

[7] Surah al-Baqarah: 237

[8] Lihat Syarh al-Ma’ani al-Athar, 4/352

[9] Lihat Ittihaf al-Khilan bi Huquq al-Zaujain fi al-Islam, hlm. 92-96

[10] Riwayat al-Nasaie, (3179). Lihat juga al-Sahih al-Jami’, 3292).

Latest articles

Related articles