#767: Melihat Kaabah Ibadah

[ux_products]

Soalan

Apakah melihat kaabah merupakan ibadah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Baitullah atau Ka’bah merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia dan Allah SWT menyandarkan nama-Nya pada Ka’bah menunjukkan akan keagungan, kemuliaan serta kebesarannya berbanding makhluk Allah SWT yang lain. Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.[1]

Antara hadith yang dikatakan bahawa melihat ka’bah ialah ibadah adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam al-Gharaib al-Multaqitah Min Musnad al-Firdaus. Beliau berkata:

قال أبو نعيم : حدثنا عبد الله بن محمد بن جعفر ، حدثنا عبد الله بن محمد بن زكريا ، حدثنا سعيد بن يحيى ، حدثنا زافر ، عن أبي عثمان ، عن يحيى بن سعيد ، عن محمد بن إبراهيم ، عن عائشة ، قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ” النَظَرُ فِي ثَلَاثَة أَشْيَاءَ عِبَادَةُ ، النَظَرُ فِي َوجْهِ الَأَبوَيْنِ  وِفِي المُصْحَفِ ، وَفِي البَحْرِ

Maksudnya :” Abu Nuaim berkata :” Abdullah Bin Muhammad Bin Jaafar menceritakan kepada kami : Abdullah Bin Muhammad bin Zakaria menceritakan kepada kami : Sa’id bin Yahya menceritakan kepada kami : Zafir menceritakan kepada kami daripada Abu Uthman daripada Yahya Bin Said daripada Muhammad bin Ibrahim daripada ‘Aisyah r.anha. Beliau berkata : Rasulullah saw bersabda : “Melihat pada tiga perkara (ini) adalah ibadah : melihat kepada wajah kedua ibu bapa, melihat mushaf (al-Quran) dan melihat laut.”[2]

Dengan sanad yang sama, hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Dailami daripada sahabat yang sama iaitu Ummul Mukminin ‘Aisyah r.anha :

النَّظَرُ إِلَى الْكَعْبةِ عِبَادَة، وَالنَّظَرُ إِلَى وَجْهِ الْوَالِدَينِ عِبَادَةٌ، وَالنَّظَرُ فِي كِتَابِ اللَهِ عِبَادَةٌ

Maksudnya :”Melihat kaabah adalah ibadah, melihat kepada wajah kedua ibu bapa adalah ibadah dan melihat kitab Allah (al-Quran) adalah ibadah.”[3]

Hadith ini tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith muktabar seperti al-Kutub al-Sittah dan lain-lain melainkan hanya terdapat di dalam Musnad al-Firdaus.

Berkenaan status hadith ini, ia merupakan hadith yang lemah. Ini kerana di dalam sanad hadith tersebut terdapat perawi yang dikritik kredibilitinya. Antaranya Zafir. Nama sebenar beliau ialah Zafir Abu Sulaiman al-Quhastani. Ibn ‘Adiy menyatakan bahawa beliau adalah perawi yang lemah. Kata beliau :

Secara umumnya apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak boleh dijadikan sandaran dan hadith yang dia riwayatkan tidak ditulis. Di samping itu, Zafir adalah perawi yang lemah.”[4]

Begitu juga sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah, dikatakan bahawa Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ العِبادَةِ: قِلَّةُ الطُّعْمِ والقَعُودِ فِي المَساجِدِ والنَّظَرُ إِلَى الكَعْبَةِ والنَّظَرُ فِي المُصْحَفِ والنَّظَرُ إِلَى وَجْهِ العالِمِ

Maksudnya: 5 perkara termasuk dalam ibadah, makan yang sedikit, duduk di masjid, melihat ka’bah, melihat mushaf al-Quran, dan melihat wajah ulama.” [5]

Ibn al-Jauzi menyatakan, hadith ini hanya diriwayatkan oleh Himam, daripada Ibn Juraij. Tidak ada yang menerima hadith ini daripada Himam kecuali Sulaiman Ibn al-Rabi’. Menurut Ibn Hibban, Himam termasuk dalam perawi yang dinilai dengan Yasruq al-Hadith (يسرق الحديث), iaitu yang meriwayatkan hadith daripada perawi-perawi yang thiqah yang bukan daripada hadith mereka yang sebenar. Maka, tidak sah untuk berhujjah dengan hadithnya. Manakala, al-Daruqutni menyatakan bahawa Sulaiman Ibn Rabi’ merupakan perawi yang dha’if, dan kebanyakan perawi yang munkar meriwayatkan hadith daripadanya.[6]

Kesimpulan

Kesimpulannya, hadith berkenaan melihat Kaabah adalah ibadah merupakan hadith yang berstatus lemah dan teramat lemah serta tidak sah untuk berhujah dengannya. Tambahan pula, Musnad Firdaus adalah antara kitab yang mana terkumpulnya hadith-hadith yang lemah dan palsu seperti mana yang telah dijelaskan para ulama hadith.

Namun begitu, sekiranya melihat Kaabah disertai dengan pandangan yang berfikir dan merenung akan penciptaan Allah SWT yang maha agung ini, maka renungan ini adalah ibadah yang mana seseorang itu akan mendapat pahala, insya-Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

 

[1] Surah Ali Imran: 96

[2] Lihat al-Gharaib al-Multaqitah Min Musnad al-Firdaus (2688)

[3] Riwayat al-Dailami (6863) di dalam al-Firdaus Bi Ma’thur al-Khitab

[4] Lihat al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ (3/232)

[5] Riwayat al-Dailami di dalam al-Firdaus Bi Ma’thur al-Khitab (2969)

[6] Lihat al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 2/828

Latest articles

Related articles