#774: Solat Dalam Kapal Terbang

Soalan

Apakah cara untuk solat di atas kapal terbang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib. Namun, agama memberikan ruang-ruang keringanan sekiranya berlaku kesukaran.

Sebagaimana firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.[1]

Imam Jalaluddin al-Suyuti ketika menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa kalimah kesenangan itu merujuk kepada keringanan berbuka puasa, manakala yang dimaksudkan kesukaran itu adalah perbuatan musafir tersebut. Lalu beliau mendatangkan hadith daripada Mihjan bin Adra’:[2]

Keringanan Untuk Solat berdasarkan Kemampuan

Daripada `Imran bin Husain, Sabda Rasulullah SAW:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring.”[3]

Berdasarkan hadith ini, hendaklah dilaksanakan solat dalam apa jua keadaan seseorang sekali pun sakit atau uzur. Justeru hanya diberi rukhsah duduk atau berbaring. Kewajipan solat itu tidak luput pada waktu itu dan tidak boleh digantikan pada waktu lain.

Dr Ahmad al-Syarbashi iaitu tokoh feqah yang masyhur dari Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa seseorang itu wajib berusaha untuk solat sesempurna mungkin iaitu dalam keadaan berdiri, ruku’ dan sujud dilakukan secara sempurna.

Adapun solat di atas kenderaan dibenarkan samada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar  RA di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu? Nabi SAW: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri  kecuali jika engkau takut tenggelam.[4]

Hadith di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu kerana pelajaran hadith (illah) bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan perlaksanaan solat di atas kenderaan.

Cara Solat di Atas Kapal Terbang

  1. Solat secara berdiri kecuali rasa takut sama ada rebah, bergoyang, bergoncang, pening dan lain-lain maka dibolehkan duduk. Hal ini kerana Rasulullah pernah solat atas binatang tunggangan. Berkenaan dengan kesahihannya terbahagi kepada beberapa pendapat:

  • Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai ke tahap darurat tetapi adalah memadai dengan sesuatu yang memberatkan dan ia tidak perlu diulangi. Hadith berikut menerangkan Nabi SAW dan sahabatnya pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat.

“Ya’la bin Murrah R.A menerangkan bahawa para sahabat pernah beserta Rasulullah SAW dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah. Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang muadzzinnya lalu ia azan dan iqamah lantas Rasulullah SAW terus maju dengan kenderaannya dan solat berjamaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari rukuknya.”[5]

  • Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat. Demikian menurut ijma’ para fuqaha Mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.[6]
  • Imam al-Nawawi mensyarahkan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Syafie), apabila seseorang bersolat fardhu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

  • Menurut pendapat ulama Mazhab Syafie jika orang yang sedang solat itu sedang kepeningan (mabuk laut) umpamanya maka bolehlah dia mengerjakan solat fardhunya sambil duduk kerana dia dipandang sebagai tidak upaya berdiri. Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu dan terus mengerjakan solat.

  1. Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang  atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi SAW yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.
  2. Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.[7]
  3. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda ‘Pasang tali pinggang keselamatan’ atau ‘Fasten seat belt’ maka sebaiknya ialah duduk dahulu   dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang. Memaksa diri beribadat  sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama  malah akan dipertanggungkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.

  1. Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa solat fardhu mesti ditunaikan di mana-mana sahaja walaupun di atas kapal terbang mengikut kemampuan dan keadaan yang fleksibel. Namun begitu, sekiranya kapal terbang itu menyediakan ruang solat untuk solat berdiri sepertimana pesawat Saudi Airlines ataupun krew penerbangan membenarkan untuk solat berdiri pada mana-mana ruang yang bersesuaian, maka cubalah sedaya upaya untuk solat secara berdiri dan sempurna.

Hal ini sebagaimana  pendapat Syeikh Siddiq Hasan: “Adapun kapal terbang sah solat padanya dengan mendatangkan apa yang iktibar padanya. Jika tidak, hukumnya tidak sah kecuali dibimbangi keluar waktu. Sedangkan dia masih dalam kapal terbang, pada ketika itu bolehlah dia solat mengikut apa jua keadaannya.

Berkenaan isu-isu lain tentang solat di atas kapal terbang, kami telah menjelaskannya di dalam artikel jama’ dan qasar ketika penerbangan, menghadap kiblat di dalam kapal terbang dan juga cara menentukan waktu di dalam kapal terbang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Surah al-Baqarah:185

[2] Lihat al-Dur al-Mansur 1/385

[3] Riwayat al-Bukhari (1117)

[4] Lihat Nail al-Authar, 2/265-266

[5] Maksud hadith riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 4/174 ; dan oleh Imam Tirmizi

[6] Lihat Koleksi Hadith-Hadith Hukum oleh Prof. Dr. Hasbi ash-Shiddieqie, 4/424

[7] Lihat Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/241-243

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *