Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah sah sujud seseorang jika dia sujud pada dahi yang tertutup?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Sujud
Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. [1]
Pengertian sujud pada syara’ ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan dengan tempat sujudnya.
Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).” [2]
Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah dan Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta Nabi SAW untuk mengajarnya solat. Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadith tersebut:
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…” [3]
Begitu juga telah berlaku ijma’ (kesepakatan) dalam kalangan muslimin daripada kalangan salaf dan khalaf, dan tidak ada siapa pun yang mengingkarinya.
Syarat Sah Bagi Sujud
Sujud adalah merupakan salah satu dari rukun fi’li (Perbuatan) daripada rukun-rukun dalam solat. Bagi setiap rukun-rukun tersebut, terdapat syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Berkenaan rukun sujud, kami bawakan di sini beberapa hadis Nabi SAW yang menjadi istidlal mazhab Syafi’ie. Antaranya ialah:
إِذَا سجَدْتَ فمَكِّنْ جَبهَتَك، وَلَا تَنْقُرْ نَقْرًا
Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.” [4]
Sabda Rasulullah SAW:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ: عَلَى الْجَبْهَةِ – وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ – وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.” [5]
Dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, terdapat 7 syarat sah bagi sujud, iaitu:
1) Hendaklah ia sujud di atas tujuh anggota
2) Hendaklah dahinya terbuka
3) Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud
4) Tidak ada niat lain selain sujud
5) Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya
6) Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala
7) Thama’ninah [6]
Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.”
Beliau menyebut lagi, “Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadith menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” [7]
Dalam sebuah hadith riwayat Abu Humaid RA, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الأَرْضِ، وَنَحَّى يَدَيْهِ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ.
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bila bersujud, baginda akan sentuhkan hidungnya dan dahinya dengan tanah dan baginda menjauhkan kedua-dua belah tangan daripada dua rusuknya dan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan selari dengan dua bahunya.” [8]
Imam al-Tirmizi setelah meriwayatkan hadith ini menyebut,”Dalam bab ini diriwayatkan juga daripada Ibn Abbas R.anhuma, Wail bin Hujr RA, Abu Sa’id RA. Hadith Abu Humaid ini merupakan hadith Hasan Sahih. Ahli ilmu mengatakan, seseorang mesti sujud dahi bersama dengan hidung, tetapi sekiranya dia sujud tanpa mengenakan hidung, maka sujudnya sah.” sebahagian ahli ilmu pula mengatakan, tidak sah kecuali dia sujud bersama dahi dan hidung.” [9]
Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan,”Jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung.” [10]
Terdapat juga hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak menyebutkan anggota hidung di dalam sujud, antaranya riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma, beliau berkata:
أُمِرَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ، وَلاَ يَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا: الجَبْهَةِ، وَاليَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ
Maksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): Dahi, dua tangan, dua lutut, dan dua kaki.” [11]
Dalam hadith ini, tidak disebutkan anggota hidung, terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA, beliau berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ بِأَعْلَى جَبْهَتِهِ عَلَى قِصَاصِ الشَّعْرِ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW sujud ditempat paling tinggi di dahinya atas hujung rambutnya.” [12]
Syeikh ‘Ubaidillah bin Muhammad Abd al-Salam al-Mubarakfuri menukilkan riwayat daripada Tamam di dalam fawaidnya dan selainnya: “Apabila baginda sujud di bahagian atas pada dahi, maka hidung baginda tidak terkena pada tempat sujud.” [13]
Justeru, dapat difahami bahawa, kebanyakan para ‘ulama mengatakan bahawa yang wajib dalam anggota sujud adalah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat, tanpa kami nafikan pandangan sebahagian ulama’ yang mengatakan kedua-duanya merupakan anggota sujud yang wajib.
Adakah Sah Sujud Pada Dahi Yang Tertutup?
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Imam al-Syafie dan para ulama dalam kalangan mazhab Syafie berkata: Wajib dibuka (iaitu tidak ditutup) kawasan dahi supaya dahi itu bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud.
Kewajipan membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadis Khabab bin al-Arat RA, beliau berkata bahawa:
شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- شِدَّةَ الْحَرِّ فِى جِبَاهِنَا وَأَكُفِّنَا فَلَمْ يُشْكِنَا
Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.” [14]
Sekiranya dahi tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah SAW mengizinkan mereka menutupnya. Berdasarkan itu, beberapa keadaan seperti contoh-contoh berikut boleh merosakkan sujud dan membatalkan sembahyang:
- Sujud pada dahi yang tertutup oleh topi atau songkok, maka tidak sah sujud.
- Sujud pada rambut yang jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan dengan rambut yang tumbuh pada dahi, maka itu tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.
- Sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan serban juga tidak sah sembahyang tanpa percanggahan ulama.
Kami nukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/136), antara lain menyebut:
Untuk menjadikan sujud itu sah, ia perlu diberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:
Pertama: Menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah.
Kedua: Melakukan sujud dengan tujuh anggota badan. Hal ini berdasarkan hadis, sabda Nabi SAW:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.” [15]
Bagaimanapun tidak wajib mendedahkan semua anggota tersebut kecuali dahi.
Ketiga: Bahagian anggota punggung hendaklah terangkat lebih tinggi seberapa yang boleh daripada kepala. Hal ini sebagai mengikut perbuatan Rasulullah SAW.
Keempat: Tidak sujud di atas pakaian yang dipakai yang bergerak mengikut pergerakannya.
Kelima: Tidak bertujuan yang lain selain daripada sujud. Contohnya kerana takut dan sebagainya.
Keenam: Menekankan dahi di tempat sujud sehingga sekiranya kapas atau seumpamanya yang diletakkan di bawah dahi tertindih dan meningggalkan kesan sujud yang jelas di atasnya.
Ketujuh: Tetap seketika semasa sujud sekurang-kurangnya sekadar sekali tasbih. Cara sujud yang lebih sempurna ialah dengan bertakbir ketika turun sujud, meletakkan dua lutut diikuti dua tangan kemudian dahi dan hidung. Dua tangan terletak bertentangan dua bahu dengan jari-jari dilepaskan rapat ke arah kiblat. Jarakkan perut daripada dua peha, dan dua siku daripada lantai dan dua rusuk sambil bertasbih sebanyak tiga kali. [16]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/509
[2] Surah al-Haj: 77
[3] Riwayat al-Bukhari (6667)
[4] Riwayat Ibnu Hibban (1884)
[5] Riwayat Bukhari (779) dan Muslim (490)
[6] Lihat Nail al-Raja’, hlm. 179 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/136
[7] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208
[8] Riwayat al-Tirmizi (270)
[9] Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/59
[10] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/125
[11] Riwayat al-Bukhari (809)
[12] Riwayat al-Daraqutni (1320)
[13] Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/205
[14] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2764)
[15] Riwayat al-Bukhari (779) dan Muslim (490)
[16] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/136