#786: Amalan Berzikir Dan Berdoa Selepas Solat

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya solat di surau kampung saya di mana selepas solat, jemaah akan berzikir dan berwirid secara beramai-ramai serta membaca doa. Akhir-akhir ini, ada yang mendakwa amalan itu tidak betul dan tidak dilakukan ketika zaman Rasulullah. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.[1]

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.[2]

Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya.[3]

Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”[4]

Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”[5]

Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq.[6]

Ayat al-Quran dan Hadith Nabawi Berkenaan Tuntutan Berzikir

Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”[7]

Firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”[8]

Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”[9]

 Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” [10]

Galakan Zikir dan Doa Selepas Solat Fardhu

Pada asasnya, berzikir dan berdoa selepas solat fardu adalah amalan yang digalakkan. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis dan athar berkaitan galakan dan kelebihan amalan zikir dan berdoa selepas solat fardhu. Antaranya, hadith daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang apakah doa yang paling didengari. Lalu Rasulullah SAW menjawab:

جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya“(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu.”[11]

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ

Maksudnya“Terangkatnya suara (kuat) ketika berzikir adalah apabila orang ramai selesai menunaikan solat fardu. Ianya berlaku pada zaman Rasulullah saw. Maka aku tahu jika mereka selesai menunaikan solat adalah ketika aku mendengar suara mereka berzikir.”[12]

Thauban R.A pula meriwayatkan dengan katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ  اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila selesai menunaikan solat Baginda beristighfar sebanyak 3 kali seraya menyebut  : اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام.”[13]

Daripada al-Mughirah bin Syu’bah R.A, beliau menulis surat kepada Mu’awiyah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW apabila Baginda selesai menunaikan solat Baginda mengucapkan : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدّ

Kata Ibn Zubair: “Rasulullah SAW mengucapkannya setiap kali selepas menunaikan solat.”[14]

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَتِلْكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya“Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan : الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”[15]

Riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas ini menunjukkan bahawa amalan berzikir setiap kali selepas solat fardhu adalah amalan yang sentiasa dilazimi oleh Rasulullah SAW. Malah, Nabi SAW pernah menegur seorang lelaki yang tergesa-gesa berdoa selepas solat tanpa ada pujian kepada Allah dan selawat. Baginda SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ ، فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ رَبِّهِ جَلَّ وَعَزَّ ، وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ

Maksudnya: “Jika salah seorang dari kalian selesai menunaikan solat maka mulakanlah (doa selepas solat ) dengan mengagungkan dan memuji Allah. Kemudian berselawat ke atas Nabi dan barulah berdoa selepas itu apa yang dia ingini.”[16]

Imam al-Nawawi menyebut: “Para ulama bersepakat terhadap keharusan zikir selepas menunaikan solat.”[17]

Justeru, berdasarkan beberapa riwayat di atas, dapat kita fahami bahawa amalan zikir dan berdoa selepas solat fardu adalah satu amalan yang amat digalakkan. Moga zikir-zikir yang kita ucapkan selepas menunaikan solat fardu menjadi penghapus dosa. Maka tidak perlu tergesa-gesa bangun selepas menunaikan solat fardu. Alangkah baiknya jika kita dapat duduk sejenak berzikir dan berdoa sebelum menunaikan solat sunat Ba’diah sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Bacaan Wirid dan Doa Selepas Solat

Berbalik kepada persoalan di atas, di sini terdapat dua perkara yang perlu difahami:

Pertama: Wirid dan zikir selepas solat mempunyai nas. Dan ia hendaklah dibaca sebagaimana diambil daripada Nabi SAW, melalui hadis-hadis yang sahih.

Begitu juga dengan berdoa selepas solat sama ada secara umum atau khusus. Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz R.A:

يَا مُعَاذُ إِنِّي اُحِبُّكَ لا تَدَعْ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ، اللَّهُمَّ أعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Hai Muaz, aku menyayangimu. Justeru jangan kamu tinggalkan untuk berdoa setiap kali selepas solat dengan membaca doa ini: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingatimu, bersyukur kepadamu dan membaikkan dalam beribadat kepadamu.[18]

Kedua: Berkenaan dengan cara berkumpulan dan dengan meninggikan suara memang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW. Justeru, masalah ini menjadi khilaf di kalangan ulama’ sama ada bidaah atau tidak. Pembahagian bid’ah itu sendiri terbahagi kepada dua iaitu bid’ah yang baik dan bid’ah yang tercela atau tidak.

Saya cenderung kepada pendapat yang meraikan suasana setempat. Untuk penjelasan lebih lanjut, bolehlah merujuk kepada beberapa kitab seperti al-Azkar karangan Imam al-Nawawi Rahimahullah dan lain-lain.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245

[2] Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20

[3] Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396

[4] (Surah Taha: 14)

[5] (Surah al-Ahzab: 41-42)

[6] Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478

[7] (Surah al-Ahzab: 41)

[8] (Surah al-Insan: 25)

[9] Riwayat al-Bukhari (6407)

[10] Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.

[11] Riwayat al-Tirmizi (3499). Beliau berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan.

[12] Riwayat al-Bukhari (841) dan Muslim (1346)

[13] Riwayat Muslim (1362)

[14] Riwayat al-Bukhari (844) dan Muslim (1366)

[15]  Riwayat Muslim (1380)

[16] Riwayat Abu Daud (1481)

[17] Lihat al-Azkar, hlm. 57

[18] Riwayat Ahmad (22119), Abu Daud (1524), dan al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (9937)

 

Latest articles

Related articles