#787: Berkenaan Kain Kafan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah sunnah Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang kain kafan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tanggungjawab Terhadap Si Mati

Kami mulakan perbincangan ini dengan mengemukakan tanggungjawab kita terhadap seseorang yang telah mati.

Pada asasnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” [1]

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. [2]

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. [3]

Pakaian Berwarna Putih

Pakaian yang berwarna putih adalah pakaian yang indah dan ia adalah sebaik-baik pakaian bagi seorang mukmin. Pakaian yang berwarna putih ini banyak disebut dalam beberapa hadis Rasulullah SAW, antaranya yang terdapat dalam doa iftitah:

وَنَقِّنِي مِنَ الذُّنُوبِ وَالْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ

Maksudnya: “Dan bersihkanlah diriku dari dosa-dosa dan pelbagai kesalahan sebagaimana kain putih bersih dari noda kekotoran.” [4]

Sayyidina Umar RA sebagaimana disebutkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwatta’ pada bab terakhir berkata: “Aku sangat kagum apabila pembaca al-Quran mengenakan pakaian yang berwarna putih.[5]

Adalah merupakan dalil bahawa kain kafan yang sunat dikafankan kepada si mayat adalah kain kafan yang berwarna putih. Hal ini boleh menjadi doa agar Allah SWT memutihkan (membersihkan) mayat tersebut dari dosa-dosa dan kesalahannya sebagaimana kain putih bersih dari kotoran dan noda.

Seorang penyair pernah bermadah:

“Qana’ahlah dan redhalah engkau terhadap duniamu,

Nescaya tenang dalam hidup dan tenteram hatimu.

Perhatikanlah orang yang mencari dunia dan mengumpulkannya,

Sayangnya, saat ketika mati dia hanya menikmati wangian dan kain kafan.”

 

Berkenaan Kain Kafan Jenazah

Sesungguhnya tiada satu pun yang akan dibawa ke liang kubur melainkan kain kafan dan wangi-wangian pada kain kafan, sama ada mereka yang mati pada zaman dahulu mahu pun pada zaman sekarang. Ini tentunya menjadi iktibar dan nasihat berharga bagi setiap orang yang mahu mengambil pelajaran. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ ‎

Maksudnya:Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).” [6]

Kafan bermaksud suatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.”  [7]

Kata perintah dalam hadis tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah SAW ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. [8]

Selain itu, jika tiada kain kafan dalam pemahaman masyarakat iaitu kain yang berwarna putih, maka boleh untuk jenazah dikafankan dengan apa sahaja kain yang dibolehkan untuk si mati memakainya semasa hayatnya.

Sekiranya tidak mencukupi tiga helai kain, memadailah dengan sekadar satu helai kain sahaja untuk menjadi kain kafan kepada si mati.

Kata Imam al-Nawawi: Sekurang-kurang kain kafan adalah sehelai pakaian. Yang paling lengkap adalah tiga helai pakaian. Kadar pakaian yang wajib (sebagai kain kafan) ada dua pandangan (di sisi ulama mazhab).

Pertama: (Pakaian) yang menutup aurat, dan ia berbeza dengan perbezaan aurat individu yang dikafankan antara jenazah lelaki dan jenazah wanita.

Kedua: Pakaian yang menutup kesemua tubuh badan jenazah melainkan kepada jenazah yang dalam keadaan berihram dan wajah jenazah perempuan yang dalam keadaan berihram. [9]

Justeru, sekiranya tidak terdapat kain kafan yang berwarna putih keseluruhannya itu untuk digunakan dalam proses mengkafankan jenazah, adalah dibolehkan untuk dikafankan jenazah dengan pakaian yang menutup seluruh aurat jenazah dengan jenis kain yang dibolehkan kepada dirinya untuk dipakai semasa hayatnya di dunia.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

[2] Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155

[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104

[4] Riwayat al-Bukhari (744) dan Muslim (598)

[5] Lihat Muwattha’ al-Imam Malik, 5/1337

[6] Surah al-An’am: 94

[7] Riwayat Abu Daud (4061)

[8] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/110

[9] Lihat Raudhah al-Thalibin, 2/110

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *