#791: Azan Tanpa Ada Wudhu’

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah azan tanpa berwudhuk, dengan erti dia dalam keadaan berhadas? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Azan

Pada asasnya, azan merupakan zikir yang khusus, di mana Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. [1]

Para ulama bersepakat bahawa mengumandangkan azan merupakan syiar Islam yang disyariatkan Allah SWT ketika masuknya waktu solat lima waktu, berdasarkan – antaranya – hadis Nabi SAW:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya“Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.” [2]

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya sabda Nabi SAW:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.” [3]

Rasulullah SAW juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.” [4]

Adakah Bersuci Merupakan Syarat Sah Azan?

Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikan azan yang dilaungkan itu sah. Antara syarat-syarat tersebut ialah :

  • Islam. Iaitu muazzin mesti seorang muslim.
  • Berakal
  • Seorang yang mumayyiz.
  • Lelaki
  • Menguatkan suara ketika azan.
  • Masuk waktu solat
  • Muazzin tahu tentang waktu solat
  • Berturutan (Muawalah) di antara kalimah azan.
  • Mengikut susunan kalimah azan (tertib).

Oleh itu mana-mana syarat yang tidak dipenuhi maka azan tersebut tidak sah.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa tidak berwudhu’ atau terbatal wuduknya ketika melaungkan azan maka azannya tetap sah. Ini kerana bersuci daripada hadas bukan syarat sah azan.

Seseorang yang melaungkan azan tanpa berwuduk, azannya tetap sah namun perbuatan tersebut adalah perbuatan yang makruh. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ

Maksudnya: “Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali aku berada dalam keadaan yang bersih (suci daripada hadas).” [5]

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan perkataan Imam al-Syafi’i di mana jika seseorang memulakan azan dalam keadaan dia telah berwuduk kemudian terbatal wuduknya, dia hanya perlu teruskan azannya dan jangan berhentikan azan yang sedang dilaungkannya itu. Namun jika dia berhenti dan pergi mengambil wuduk kemudian kembali untuk melaungkan azan dia boleh menyambung kembali azannya akan tetapi lebih baik dia mula dari awal kalimah azan.

Imam al-Nawawi kemudian menyambung lagi dengan menyebut bahawa pandangan ashab di dalam mazhab Syafi’i adalah perlu mula semula dari awal kalimah azan bukannya menyambung kembali kalimah yang di berhenti tadi supaya orang ramai tidak menganggap dia bermain-main dengan kalimah azan. [6]

Begitu juga apabila dia berhenti untuk pergi mengambil wuduk, tidak boleh untuk orang lain menyambung azannya. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut: “Disyaratkan di dalam azan agar ianya dilaungkan oleh seorang muazzin sahaja. Tidak boleh menyambung azan yang dilaungkan oleh orang lain kerana ianya dilaungkan oleh dua orang dan takut-takut akan menimbulkan kekeliruan.[7]

Selain itu, terdapat beberapa riwayat hadis yang melarang orang yang tidak berwudhuk daripada melakukan azan. Namun, statusnya adalah dha’if. Oleh kerana itu, ulama’ bersepakat bahawa tidaklah termasuk syarat sah azan bahawa orang yang mengumandangkan azan mesti suci daripada hadas kecil. Justeru, orang yang tidak memiliki wudhu’ kerana hadas kecil, maka status azannya adalah sah. Inilah sepertimana keterangan oleh al-Wazir Ibn Hubairah. [8]

Antara dalil lain yang menunjukkan bolehnya azan tanpa memiliki wudhu’ adalah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sentiasa berzikir mengingati Allah pada setiap keadaan Baginda.” [9]

Hadis ini adalah bagi menunjukkan prinsip asas iaitu zikir kepada Allah dalam segala keadaan, walaupun dalam keadaan berhadas atau berjunub.[10] Dan azan, kandungannya adalah zikir kepada Allah sebagai tanda panggilan solat.

Meskipun begitu, para ulama’ bersepakat bahawa dianjurkan supaya ketika mengumandangkan azan, seseorang itu dalam keadaan suci daripada hadas besar mahupun kecil, walaupun ia bukan syarat sah azan. Ini kerana, azan termasuk zikir, dan kita dianjurkan mengagungkan Allah dalam keadaan telah bersuci.

Daripada Muhajir bin Qunfuz, katanya:

أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوَضَّأَ، ثُمَّ اعْتَذَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ؛ إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ

Maksudnya: “Bahawa beliau pernah bertemu Nabi SAW ketika Nabi SAW sedang buang air kecil. Kemudian Muhajir menyampaikan salam kepada Baginda, namun Nabi SAW tidak menjawabnya, sehingga Baginda berwudhu’. Selesai berwudhu’, Baginda menjelaskan: “Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan bersih (suci daripada hadas).” [11]

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama menyatakan bahawa makruh azan dalam keadaan berhadas. Antaranya ulama’ tabi’in, ‘Atha’ bin Abi Rabah dan Imam al-Syafi’i. Kata Imam al-Syafi’i:

وَأَنَا لِلْأَذَانِ جُنُبًا أَكْرَهُ مِنِّي لِلْأَذَانِ مُحْدِثًا، وَأَنَا لِلإِقَامَةِ مُحْدِثًا أَكْرَهُ مِنِّي لِلْأَذَانِ مُحْدِثًا

Maksudnya: “Bagiku, orang yang azan dalam keadaan junub, lebih aku benci dibandingkan orang yang azan dalam keadaan berhadas kecil. Bagiku, orang yang iqamah dalam keadaan berhadas kecil, lebih aku benci dibandingkan orang yang azan dalam keadaan berhadas kecil. [12]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337

[2] Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim (1567)

[3] Riwayat al-Bukhari (615)

[4] Riwayat al-Bukhari (609)

[5] Riwayat Ibnu Hibban (806)

[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/98

[7] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/136

[8] Lihat al-Ifsah, 1/68)

[9] Riwayat al-Bukhari (19) dan Muslim (737)

[10] Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/250

[11] Riwayat Ahmad (19034) dan Abu Daud (17). Syeikh Syu’aib al-Arnaut mensahihkannya.

[12] Lihat Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, 2/266

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *