#793: Selawat Sebelum Azan dan Iqamah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya biasa mendengar sebahagian muazzin akan berselawat terlebih dahulu sebelum melaungkan azan di masjid atau surau. Adakah hal ini ada petunjuk daripada Nabi SAW? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[1]

Selain itu, para ulama’ juga ada membahaskan tentang berapa kali kah kita diwajibkan untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: Para ulama’ berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan, iaitu:

  • Pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir.
  • Sekali seumur hidup.
  • Setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah.
  • Di dalam setiap majlis.
  • Pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.[2]

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”[3]

Di dalam hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.[4]

 

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi.[5]

Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat).[6]

Justeru, dapat difahami bahawa selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW, antaranya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [7]

Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

 

Takrif Selawat dan Salam kepada Rasulullah SAW

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[8]

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.[9]

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa[]10menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.

Al-Mubarrid berkata: Makna asal selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Namun jika selawat itu berasal daripada Allah SWT, maka maknanya adalah rahmat. Manakala jika berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT.

Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, bentuk bacaan selawat para malaikat untuk orang-orang yang duduk menantikan solat adalah “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ” (Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, berikanlah rahmat kepadanya). Tentu sahaja bentuk selawat seperti ini pada hakikatnya adalah bacaan doa.

Abu Bakar al-Qusyairi berkata: Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk pemuliaan dan tambahan pangkat kepada Baginda.

Abu al-‘Aliyah berkata: Selawat Allah kepada Nabi adalah dalam bentuk pujian kepada Baginda di hadapan para malaikat. Manakala selawat para malaikat kepada Baginda merupakan dalam bentuk doa.

Al-Qadhi Abu al-Fadhl berkata: Dalam hadis yang menyebut berkenaan berkenaan cara membaca selawat, Rasulullah SAW telah membezakan antara lafaz selawat dan lafaz barakah. Kedua-duanya mempunyai makna masing-masing.

Adapun mengenai bacaan Salam yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka menurut al-Qadhi Abu Bakar bin Bukair, ia telah dijelaskan dalam ayat yang telah disebutkan di atas. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan para Sahabat untuk membaca salam kepada Rasulullah SAW. Hal ini juga berlaku bagi orang-orang yang hidup setelah mereka. Dengan kata lain, orang-orang yang hidup setelah generasi Sahabat juga diperintahkan untuk membaca salam ketika mereka menziarahi maqam Rasulullah SAW atau ketika mengingati Baginda.

Mengenai makna lafaz salam kepada Rasulullah SAW, terdapat tiga bentuk:

Pertama: “السَّلَامَةُ لَكَ ، وَمَعَكَ” yang bermaksud, semoga keselamatan menjadi milikmu dan selalu bersamamu. Perkataan al-salam dalam susunan kalimat seperti ini, dalam tatabahasa Arab berbentuk masdar.

Kedua: “السَّلَامُ عَلَى حِفْظِكَ ، وَرِعَايَتِكَ” yang bermaksud, semoga Zat Yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untukmu. Dengan kata lain, kata al-salam dalam kalimat itu bererti salah satu daripada nama Allah.

Ketiga: Al-Salam yang maknanya pasrah dan tunduk. Hal ini sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”[11]

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (hlm. 138-139).

 

Hukum Selawat ke atas Nabi SAW Sebelum Azan dan Iqamah

Dalam kalangan muta’akhirin al-Syafi’iyyah ada yang mengatakan selawat sebelum azan dan iqamah adalah sunat. Antara yang menyebutkannya adalah al-Imam Zain al-Din al-Malibari Rahimahullah di dalam kitabnya Fath al-Mu’in dan ianya dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi di dalam syarah al-Wasit.[12]Al-Dimyati juga menukilkan perkara yang sama di dalam kitabnyaI’anah al-Talibin[13]

Namun terdapat juga sanggahan yang mengatakan pendapat di atas dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi Rahimahullah dari kalangan mutaakhirin al-Syafi’eyyah, iaitu al-Imam al-Syabramallisi Rahimahullah. Beliau menyebutkan di dalam Hasyiahnya bahawa telah berlaku kesilapan dalam menulis (sabqu qalam) di dalam syarah al-Wasit dan sebenarnya yang ma’ruf dan warid adalah selepas iqamah dan bukan sebelumnya sepertimana yang terdapat di dalam hadith dan diamalkan kelebihannya.[14]

Berdasarkan sesetengah pendapat yang mengatakan disunatkan untuk berselawat sebelum iqamah adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA:

كَانَ بِلَالٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُقِيمَ الصَّلَاةَ قَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، الصَّلَاةَ رَحِمَكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Adalah Bilal ketika beliau hendak mendirikan solat, maka beliau berkata: al-Salam ‘alaika ayyuha al-Nabiy wa Rahmatullahi wa Barakatuh, al-Solah rahimaka Allah.[15]

Imam al-Tabarani di akhir hadith tersebut seakan-akan mengisyaratkan akan lemahnya hadith di atas dengan mengatakan: “Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Kamil kecuali Abdullah bin Muhammad al-Mughirah”.

Apabila merujuk kepada terjemah Abdullah bin Muhammad al-Mughirah di dalam kitab-kitab al-Tabaqat[16], kami senaraikan pendapat-pendapat para ulama’ hadith terhadap beliau:

  • Abu Hatim mengatakannya: “Laisa bi Qawiyy”(tidak kuat; lemah).
  • Ibn Yunus mengatakannya: “Munkar al-Hadith”(hadithnya munkar).
  • Al-Daraqutni mengatakannya: “Dha’if”(lemah).
  • Al-‘Uqaili di dalam al-Dhu’afa’mengatakannya meriwayatkan sesuatu yang tiada asalnya.

Disebabkan oleh itu, terdapat muhaddith yang mengatakan bahawa hadith di atas terlalu lemah dan ada juga yang mengatakannya palsu dan tidak boleh dijadikan dalil untuk berhujah bagi isu ini.

Imam Ibn Hajar al-Haitami apabila ditanyakan mengenai, “Adakah disunatkan untuk mengucapkan selawat di awal (sebelum) iqamah?” Jawab Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra:

لَمْ أَرَ مَنْ قَالَ بِنَدْبِ الصَّلَاةِ وَالسَّلَامِ أَوَّلَ الْإِقَامَةِ، وَإِنَّمَا الَّذِي ذَكَرَهُ أَئِمَّتُنَا أَنَّهُمَا سُنَّتَانِ عَقِبَ الْإِقَامَةِ كَالْأَذَانِ، ثُمَّ بَعْدَهُمَا: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ. .. إلَخ

Maksudnya: Tidaklah aku berpendapat  bagi siapa yang mengatakan dengan sunatnya selawat dan salam pada awal iqamah, dan apa yang disebutkan oleh imam-imam kami bahawa keduanya (azan dan iqamah) sunat dibacakan selawat selepas iqamah sepertimana azan, kemudian selepas itu dibaca: ‘اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ’.. sehingga akhir.”[17]

Selawat ke atas Nabi SAW Selepas Azan

Adapun selawat ke atas Nabi SAW selepas azan, telah sepakat para ulama’ mengatakan ianya adalah sesuatu yang disunatkan berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Sekiranya kalian mendengar muazzin melaungkan azan, maka sebutkanlah sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Kemudian berselawatlah ke atasku dan barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat keatasnya dengan 10 kali. Kemudian mohonlah wasilah bagiku dan wasilah itu adalah satu kedudukan di syurga yang hanya disediakan untuk seorang sahaja dari kalangan hamba Allah dan aku mengharapkan agar aku dikurniakan kedudukan tersebut. Barang siapa yang memohon bagiku wasilah, maka halallah baginya syafaatku.”[18]

Dalam kitab al-Mu’tamad di sebutkan bahawa disunatkan bagi setiap muazzin dan juga mereka yang mendengarnya dan bagi mereka yang hendak mendirikan solat untuk berselawat ke atas Nabi SAW dengan suara yang rendah dan kemudian mohon kepada Allah al-Wasilah buat Nabi Muhammad SAW selepas selesainya azan iaitu selepas beberapa ketika sehingga tidaklah menjadi selawat itu sebahagian daripada azan.[19]

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, yang thabit melalui hadith Nabi SAW adalah berselawat ke atas Baginda SAW selepas azan. Adapun pendapat yang mengatakan adanya selawat sebelum azan dan iqamah dengan disandarkan pendapat tersebut kepada al-Imam al-Nawawi, maka ianya telah dijawab oleh ulama’ yang lain seperti yang telah kami nyatakan di atas dan tambahan pula hadith yang dikatakan menjadi dalil bagi isu ini juga dalam keadaan yang tersangatlah lemahnya.

Begitu juga apabila melihat kepada fatwa Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau turut berpendapat bahawa tiadanya selawat sebelum azan dan juga iqamah bahkan yang thabitnya adalah selepas azan dan iqamah.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan tersebut, kami cenderung untuk mengatakan bahawa selawat yang sahih dan waridnya adalah setelah azan dilaungkan, iaitu selepas beberapa ketika untuk membezakan di antara azan dan juga selawat. Ianya juga diqiyaskan buat iqamah kerana di dalam hadith disebutkan juga iqamah itu dengan azan iaitu:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ

Maksudnya: “Antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) itu terdapatnya solat (solat sunat).”[20]

Oleh itu, sunat untuk membaca selawat selepas azan dilaungkan berdasarkan hadith yang sahih, dan sunat juga selepas daripada iqamah berdasarkan qiyas kepada azan kerana kebiasaannya (taghliban), iqamah juga disebutkan sebagai azan  berdasarkan hadith yang sahih seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Meskipun perbuatan selawat itu adalah sesuatu yang baik, namun mengikuti nas hadith (selawat di baca selepas azan) adalah lebih utama dan ianya juga adalah sebagai langkah berhati-hati dalam beramal kerana terdapatnya hadith yang sahih dalam permasalahan ini.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] (Surah al-Ahzab: 56)

[2] Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)

[3] Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)

[4] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885)

[5] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373

[6] Lihat al-Qaul al-Badi’, hlm. 321

[7] Riwayat Muslim (384)

[8] (Surah al-Ahzab: 56)

[9] Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511

[10] hlm. 138-139

[11] (Surah al-Nisa’: 65)

[12] Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 157)

[13] 1/280

[14] Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 1/423

[15] Riwayat al-Tabarani di dalam al-Awsat (8910)

[16] Lihat Lisan al-Mizan, 4/554

[17] Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/129

[18] Riwayat Muslim (384)

[19] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/191

[20] Riwayat al-Bukhari (627) dan Muslim (838)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *