#803: Pelihara Hamster

[ux_products]

Soalan

Hamster merupakan satu jenis haiwan yang biasa dipelihara oleh kebanyakan manusia di dalam sangkar mereka di rumah. Jadi persoalan saya, apakah memelihara hamster ini dibenarkan syara’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Hamster

Hamster ialah tikus kecil yang berbadan gempal. Kaki mereka kaki gemuk dan telinga mereka kecil. Hamster mempunyai ekor pendek yang lebih pendek daripada panjang badan mereka. Telinga mereka berbulu, dan kaki mereka lebar. Walaupun kebanyakan spesies hamster mempunyai badan yang agak serupa, setiap satu mempunyai tanda dan saiz yang menentukan mereka daripada spesies mana. Hamster adalah sejenis tikus yang sangat kecil. Panjangnya kira-kira 2 hingga 4 inci.

Secara amnya, hamster mempunyai bulu yang tebal dan sutera, dan ia boleh panjang atau pendek bergantung kepada jenis hamster. Bulu ini terdapat dalam pelbagai warna, termasuk hitam, kelabu, kuning, merah, coklat dan putih. Sesetengah hamster juga mempunyai bulu yang merupakan gabungan beberapa warna yang berbeza, tetapi gabungan itu akan ditentukan oleh baka. Haiwan ini mempunyai kelenjar bau yang terletak di tengah-tengah badan mereka. Dalam kes hamster kerdil, kelenjar bau terletak di perut hamster, membolehkan mereka menandakan wilayah mereka. Bagaimanapun, hamster Syria  mempunyai kelenjar bau pada pinggulnya.

Menariknya, hamster mempunyai cara semula jadi untuk keluar daripada masalah apabila mereka perlu melarikan diri. Fleksibiliti sangkar rusuk mereka membolehkan mereka meratakan badan mereka di bawah celah-celah kecil. Sesiapa sahaja yang memiliki haiwan peliharaan sedemikian perlu mempunyai sangkar yang selamat untuk mengelakkan mereka melarikan diri.[1]

Hamster ialah tikus (ordo Rodentia) yang tergolong dalam subfamili Cricetinae , yang mengandungi 19 spesies yang dikelaskan dalam tujuh genera . Mereka telah dikenali sebagai haiwan peliharaan kecil yang popular. Spesies hamster yang paling terkenal ialah hamster emas atau Syria (Mesocricetus auratus), iaitu jenis yang paling biasa dipelihara sebagai haiwan peliharaan. Spesies hamster lain yang biasa dipelihara sebagai haiwan peliharaan ialah tiga spesies hamster kerdil, hamster kerdil Campbell ( Phodopus campbelli), hamster kerdil putih musim sejuk (Phodopus sungorus) dan hamster Roborovski (Phodopus roborovskii).

Hamster lebih crepuscular daripada nokturnal dan, di alam liar, mereka kekal di bawah tanah pada siang hari untuk mengelak daripada ditangkap oleh pemangsa. Mereka makan terutamanya pada benih, buah-buahan, dan tumbuh-tumbuhan, dan kadang-kadang akan memakan serangga yang menggali. [4] Dari segi fizikal, mereka berbadan tegap dengan ciri-ciri yang membezakan termasuk kantung pipi memanjang hingga ke bahu mereka, yang mereka gunakan untuk membawa makanan kembali ke liang mereka, serta ekor pendek dan kaki berbulu.[2]

Memelihara Haiwan di dalam sangkar

Membela sesuatu binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan adalah dibolehkan di dalam Islam selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti khinzir dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadis Nabi SAW yang berikut. Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ “‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏” نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: “Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?” iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.[3]

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari menyatakan: Berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. [4]

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya:Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.[5]

Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azraie. Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan.[6]

Arahan Membunuh Tikus

Tikus ialah haiwan perosak dan yang memudharatkan. Bahkan Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh mereka di mana sahaja mereka ditemui. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram), iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang.[7]

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Perkataan fawasiq yang di dalam hadith ini bermaksud binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berdasarkan hadith ini juga, kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram dan juga di luar tanah haram.[8]

Hukum Memelihara Hamster

Para Ulama masa kini berbeza pendapat mengenai Hamster, adakah mereka merupakan sejenis tikus ataupun bukan. Dalam kajian sains, hamster dimasukkan ke  dalam subfamili cricetinae, manakala tikus termasuk dalam subfamili murinae, namun kedua-duanya merupakan dalam jenis super famili muroidea. Hal ini bermaksud, secara ilmu taksonomi, terdapat perbezaan yang jelas pada keduanya pada famili dan sub famili.

Tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri daripada 720 spesies. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab Al-Qawaridh fi Al-Wathni Al-‘Arabi karya ‘Adil Muhammad Ali. [9]

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari menyatakan: ‘Tikus mempunyai pelbagai jenis, seperti al-Juradz (rat), al-khuld (tikus gurun), tikus unta, tikus ikan,dan banyak lagi. Semua jenis tikus ini hukumnya sama, iaitu haram dimakan dan boleh dibunuh.’[10]

Dalam kitab Al-Mausu‘ah Al-‘Arabiyah Al-‘Alamiyah disebutkan: ‘Hamster termasuk jenis pengerat kecil yang pendek, yang menjadi salah satu haiwan berbulu hiasan rumah. Biasanya, hamster memiliki ekor yang pendek, mulutnya basah, yang membantu dirinya untuk menampung banyak makanan. Terdapat sekitar 15 variasi hamster yang hidup.’[11]

Bahkan Hamster disebut di dalam al-Mausu’ah al-‘Arabiah dan al-Mausu’ah al-Hurrah sebagai al-Qadad (القداد) dan kata gandanya adalah Aqdad (أقداد). Dan ia tidak disebut sebagai tikus (الفأر). Sekiranya ia menyerupai tikus, situasi ini sama seperti ـJerboa dan Hiraks.

Berdasarkan perbezaan dalam menentukan status hamster inilah, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan status halal dan haram untuk membela atau membunuhnya. Sekiranya haiwan ini bukan sejenis tikus, maka tidak menjadi masalah untuk membelanya dan berjual beli dengannya. Namun begitu, sekiranya dia merupakan sejenis tikus yang membawa kerosakan, maka tidak boleh untuk membela hamster. Hal ini kerana tikus merupakan haiwan perosak yang dianjurkan oleh Nabi SAW untuk membunuhnya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami lebih cenderung mengatakan bahawa hamster bukanlah daripada tikus namun ia hanya menyerupai dengan tikus. Namun begitu, kami mencadangkan supaya menghindari perkara yang ragu-ragu dan syubah dalam isu memelihara hamster ini. Sebaiknya, pilihlah pandangan yang ihtiyati (berhati-hati) agar hati tenang dan tidak ragu-ragu lagi.

Kaedah ini hakikatnya menjelaskan bahawa menjadi satu tuntutan kepada setiap individu untuk meninggalkan segala keraguan dan syak dalam kehidupan kepada keyakinan yang menenangkan. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.[12]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://a-z-animals.com/animals/hamster/#

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Hamster

[3] Riwayat al-Bukhari (6203)

[4] Lihat Fath al-Bari, 10/583

[5] Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

[6] Lihat al-Iqna`, 2/482

[7] Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198),

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/113-114

[9] Lihat Al-Qawaridh fi Al-Watni Al-‘Arabi, hlm. 75

[10] Lihat Fath al-Bari, 4/39

[11] Lihat Al-Mausu‘ah Al-‘Arabiyah Al-‘Alamiyah, 26/122

[12] Riwayat Al-Tirmizi (2518)

Latest articles

Related articles