#809: Kenajisan Anjing

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Adakah anjing keseluruhannya dianggap sebagai najis atau hanya air liurnya sahaja dikira sebagai najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi anjing

Anjing ialah haiwan kesayangan yang popular di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 10,000 tahun dahulu, anjing menjadi haiwan yang pertama dijinakkan. Sepanjang masa tersebut, pembiak baka telah membiakkan beratus-ratus baka anjing untuk melakukan pelbagai tugas, dijadikan teman dan untuk menyenangkan mata manusia. Kebanyakan ahli sains percaya bahawa manusia prasejarah mulanya menghargai anjing sebagai anjing pengawal. Kemudian, manusia sedar bahawa anjing juga boleh digunakan untuk menggembala dan memburu haiwan-haiwan lain. Dalam masa ribuan tahun, baka seperti collie, comondor dan puli dibiakkan untuk menggembala biri-biri, kambing dan lembu. Hound, pointer retrievar, setter spaniel, dan terrier dibiakkan untuk pelbagai jenis pemburuan. Kecerdikan, kesetiaan dan kebolehan mengesan menjadikan anjing berguna kepada penggembala dan pemburu, dan juga untuk peranan-peranan lain. Misalnya, polis menggunakan anjing untuk mengesan penjenayah dan untuk menghidu dadah dan bahan letupan yang disembunyikan.

Kesemua baka anjing menjadi teman baik kepada manusia, dan banyak baka, termasuk anjing kecil, dibiakkan khususnya untuk tujuan ini. Anjing sebagai teman menyumbang kepada kesejahteraan seseorang. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa menepuk-nepuk anjing memperlahankan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah orang yang melakukannya. Anjing membantu orang cacat, memandu orang buta dan berfungsi sebagai “telinga” bagi orang pekak. Di samping itu, anjing juga menaikkan semangat pesakit di hospital dan di rumah penjagaan. Penyelidik perubatan juga menggunakan anjing dalam eksperimen untuk membantu menghasilkan ubat baru dan teknik pembedahan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang menganggap bahawa menggunakan anjing atau haiwan-haiwan lain dalam eksperimen makmal adalah kejam. Anjing juga menghiburkan manusia berabad-abad lamanya. Pada zaman dahulu, penonton suka membuat pertaruhan dalam perlawanan sesama anjing dan anjing dengan haiwan-haiwan lain seperti beruang, lembu jantan atau singa. Kini banyak negara mengharamkan perlawanan demikian. Hari ini, pertandingan seperti lumba anjing, pertandingan lapangan dan uji kesetiaan menarik ramai penonton. Anjing juga membuat persembahan di sarkas, di atas pentas, dalam filem dan televisyen.

Sesetengah baka anjing mempunyai rupa yang luar biasa. Misalnya, anjing tanpa bulu Mexico tidak mempunyai bulu di badannya melainkan beberapa jambak bulu di atas kepalanya. Kulit shar pei China adalah kendur dan berkedut. Kedutan ini begitu tebal hinggakan ia kadangkala menutupi mata anjing ini. Chow-chow mempunyai lidah berwarna biru hitam. Basenji adalah satu-satunya anjing yang tidak boleh menyalak, walaupun ia boleh mengeluarkan bunyi yodel. Anjing tergolong dalam famili Canidae, haiwan pemakan daging yang juga termasuk serigala, koyote, rubah, dan jackal. Anjing menyerupai haiwan-haiwan ini dari segi struktur badan dan kelakuan. Dingo di Australia dan haiwan tertentu yang tinggal di bahagian-bahagian lain di dunia, biasanya dirujuk sebagai anjing liar.[1]

Kenajisan anjing

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ain.[2]

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai hal ini dalam kitabnya al-Majmu‘ bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”[3]

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”[4]

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.[5]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[6]

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian daripada hadas tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i juga ada menjawab semula hujah yang dikemukakan oleh mereka yang berpendapat dengan kesucian anjing berdasarkan ayat ke-4 daripada Surah al-Ma’idah, bahawa ia merupakan khilaf yang makruf dalam kalangan ulama, sama ada wajib membasuh bahagian haiwan yang disentuh oleh anjing terlatih ketika menangkapnya ataupun tidak wajib. Sekalipun terdapat ulama yang tidak mewajibkan untuk membasuhnya, maka hal itu adalah termasuk dalam perkara yang dimaafkan disebabkan keperluan dan kesukaran (masyaqqah) untuk membasuhnya. Adapun berkenaan jawapan terhadap hadith Ibn Umar pula, dinukilkan daripada al-Baihaqi bahawa beliau ada menjawab berkenaan perkara itu dengan menyebutkan, kaum Muslimin telah bersepakat mengenai kenajisan air kencing anjing dan kewajipan untuk merenjis (membasuh) air kencing budak, bahkan membasuh air kencing anjing adalah lebih utama. Beliau menambah lagi, (boleh jadi) hadith Ibn Umar ini adalah sebelum daripada adanya perintah untuk membasuh kesan jilatan anjing, atau kencing anjing itu tersembunyi tempatnya — yakni tidak diketahui. Justeru, sesiapa yang tahu yakni secara yakin mengenai tempatnya, wajib ke atasnya untuk membasuhnya.[7]

Oleh itu, jelaslah bahawa anjing serta semua anggota dan bahagiannya dikira sebagai najis dan jenis kenajisan anjing adalah dalam ketegori mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang lalu, iaitu hadith tentang anjing menjilat bekas minuman.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa anjing itu keseluruhannya adalah najis, termasuklah air liurnya, bulunya, air kencingnya dan lain-lain daripada anggota dan bahagiannya.  Begitu juga, kenajisan anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Akan tetapi, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/622

[2] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129.

[3] Surah al-Ma’idah: 4

[4] Riwayat al-Bukhari (174)

[5] Riwayat al-Nasa’i (66)

[6] Riwayat Muslim (279)

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568.

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *