Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum terhadap orang yang enggan untuk mengeluarkan zakat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [1]
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia.[2]
Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.” [3]
Takrif Zakat
Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah. Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).” [4]
Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.
Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.
Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.[5]
Dalil Kewajipan Berzakat
Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya:
لَمَّا تُوُفِّيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَاتَلَ مَنْ كَفَرَ مِنَ الْعَرَبِ، فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ، وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَاللَّهِ لأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ، وَاللَّهِ لَوْ مَنَعُونِي عَنَاقًا كَانُوا يُؤَدُّونَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهَا. فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: فَوَاللَّهِ مَا هُوَ إِلاَّ أَنْ رَأَيْتُ أَنْ قَدْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ لِلْقِتَالِ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الْحَقُّ.
Maksudnya: “Setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar RA memerangi orang Arab yang murtad. Umar RA bertanya kepada Abu Bakar RA: Mengapa kamu memerangi mereka, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: Aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucap لا إله إلا الله? Abu Bakar menjawab: Demi Allah, aku tetap akan memerangi mereka yang membezakan solat dengan zakat. Sesungguhnya zakat itu adalah hak terhadap harta. Demi Allah, sekiranya mereka enggan menyerahkannya walaupun seekor anak kambing, sebagaimana yang telah mereka berikannya dahulu kepada Rasulullah SAW, aku akan perangi mereka kerana menentang kewajipan berzakat. Lalu, Umar RA berkata: Demi Allah, ini tidak lain melainkan Allah SWT telah membuka pintu hati Abu Bakar RA memerangi mereka dan aku mengetahui bahawa tindakannya adalah benar.” [6]
Selain itu, para fuqaha’ juga telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini bahawa terdapat lima syarat, iaitu:
- Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
- Merdeka, iaitu bukan hamba.
- Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatabkerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
- Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
- Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
- Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus.[7]
Hukum Orang yang Enggan Mengeluarkan Zakat
Dalam menjawab persoalan di atas, dinukilkan keterangan pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[8] seperti berikut:
Dijelaskan di sini jenis dan bahagian orang yang enggan membayar zakat berdasarkan niat hati masing-masing kepada dua bahagian:
Pertama: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya
Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Oleh itu, ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.
Imam al-Nawawi menukilkan di dalam kitab bahawa al-Khattabi menyatakan: “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas dalam kalangan umat Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapa pun membuat tafsiran (تأويل) sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain.” [9]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Adapun berkenaan dalil kefardhuan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.”[10]
Kedua: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut
Orang yang enggan mengeluarkan zakat, sedangkan dia mengi’tiqadkannya wajib dan mengakui kefardhuannya, akan menyebabkan dia menjadi fasiq, berdosa dan dikenakan azab seksa di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيراً مِنْ الأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿٣٤﴾ يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ
Maksudnya: “Wahai orang –orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambal dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”[11]
Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.A. Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ مَا أُدِّيَتْ زَكَاتُهُ فَلَيْسَ بِكَنْزِ، وَكُلُّ مَا لَا تُؤَدِّي زَكَاتَهُ فَهُوَ كَنْزٌ
Maksudnya: “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan.”[12]
Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ آتَاهُ اللهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”[13]
Hadith yang dinyatakan di atas menunjukkan perihal yang sama berkenaan betapa beratnya dosa bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat ke atas harta mereka. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa dosa tersebut terpakai ke atas orang yang mengingkari kewajipan zakat dan juga terhadap orang yang bakhil.[14]
Seterusnya, selepas bersabda dengan hadith di atas, Rasulullah SAW membacakan firman Allah SWT:
وَلا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْراً لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”[15]
Ibn Kathir berkata: Yakni, janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa dia mengumpulkan harta itu akan bermanfaat baginya. Bahkan, hal itu akan membahayakannya dalam (urusan) agamanya, dan kemungkinan juga dalam (urusan) dunianya. Kemudian, Allah mengkhabarkan tentang tempat kembali hartanya pada hari Kiamat. Dia berfirman, “Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka kelak pada hari Kiamat.”[16]
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi. Oleh itu, mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah SWT? Di dunia ini, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya. Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang ‘amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah SWT hendaklah menentang mereka.[17]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Taubah (103)
[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913
[3] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913
[4] (Surah al-Syams: 9)
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11
[6] Riwayat al-Bukhari (1335) dan Muslim (20)
[7] Lihat al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/212-213
[8] 1/639
[9] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/205
[10] Lihat Fath al-Bari, 3/262
[11] (Surah al-Taubah: 34-35)
[12] Riwayat al-Bukhari (4)
[13] Riwayat al-Bukhari (1338)
[14] Lihat Fath al-Bari, 3/268
[15] (Surah ali-Imran: 180)
[16] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/174)
[17] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/639)