#818: Ibu Bapa Masuk Campur dalam Urusan Rumah Tangga Anak

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah ibu bapa mempunyai hak untuk turut campur tangan dalam isu-isu berkaitan rumah tangga anaknya? Sebagai contoh, jika suami sering menganiayai isterinya, bahkan memukul isterinya, bolehkah ibu bapa campur tangan dalam urusan rumah tangga anaknya itu? Misalnya, meminta anaknya untuk berpisah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu dan bapa. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” [1]

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar.[2]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia.[3]

Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”[4]

Justeru, meskipun kita sedang membincangkan hukum-hakam sekiranya perkahwinan itu terjadi, tetapi perlu untuk kita meraikan Islam itu secara syumul yang tidak pernah memisahkan akhlak dalam kehidupan penganutnya. Maka, sebolehnya untuk kita sentiasa menjaga hati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat. Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”[5]

Imam Ibn Kathir telah berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.”[6]

Sayyid Qutb berkata: “Sampai di sini gugurlah kewajipan ta’at kepada dua ibu bapa, dan di sinilah meningkatnya hubungan akidah mengatasi segala hubungan yang lain. Walaubagaimana hebat usaha, perjuangan, desakan dan penerangan yang dikemukakan oleh ibu bapa dengan tujuan memujuk si anak supaya mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diketahui ketuhanannya, maka dia diperintah supaya jangan taat kepada kehendak dua ibu bapa itu. Itulah perintah dari Allah selaku tuan punya hati yang pertama yang pasti ditaati.

Tetapi perbezaan akidah di antara anak dan ibu bapa, juga perintah supaya mentaati ibu bapa dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah, tidaklah menggugurkan hak ibu bapa dari mendapat layanan yang baik dan persahabatan yang mesra dari anak-anaknya.”[7]

Dalam satu riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar RA, dia telah berkata:

أَتَتْنِي أُمِّي رَاغِبَةً فِي عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آصِلُهَا قَالَ نَعَمْ. قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِيهَا: لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Ibuku telah datang kepadaku pada zaman Nabi SAW, dan aku telah bertanya Nabi SAW, adakah aku boleh menyambung silaturrahim dengan ibuku?. Nabi SAW menjawab: “Ya”. Telah berkata Ibn Uyainah: Maka Allah telah menurunkan ayat kepadanya: ((Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil))”[8]

Berkenaan Ibu Bapa Masuk Campur dalam Urusan Rumah Tangga Anak

Pada asasnya, hubungan dan tanggungjawab seseorang anak kepada ibu bapa, sama ada lelaki atau perempuan, tidak terputus apabila mereka berkahwin. Seorang anak itu, sama ada lelaki atau perempuan, wajib berbuat baik kepada ibu bapa, mentaati dan mengelakkan diri daripada melukakan hati mereka. Firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”[9]

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”[10]

Hak dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa itu begitu penting, sehingga diletakkan selepas tanggungjawab kepada Allah SWT di dalam al-Quran. Tanggungjawab itu begitu penting sehingga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang menerangkan keutamaan apabila bertembung antara kasih sayang kepada pasangan dengan ketaatan kepada ibu bapa, hendaklah diutamakan yang kedua.

Kesetiaan Kepada Ibu Bapa Melebihi Isteri

Daripada Hamzah bin Abdullah bin Umar, daripada ayahnya, yang berkata: “Pernah aku berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi Umar tidak menyukainya. Lantas beliau berkata kepadaku: “Engkau ceraikanlah dia.” Aku enggan, lalu Umar berjumpa Rasulullah SAW berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguh Abdullah bin berkahwin dengan wanita yang aku tidak suka. Lalu aku suruhnya bercerai darinya tetapi dia enggan.” Maka bersabda Rasulullah SAW:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ طَلِّقِ امْرَأَتَكَ وَأَطِعْ أَبَاكَ

Maksudnya: “Wahai Abdullah bin Umar! Ceraikanlah isterimu dan taatilah ayahmu.”[11]

Menurut Imam Ali al-Qari, arahan Nabi di atas bermaksud sunat, atau wajib sekiranya ada faktor lain yang berbangkit.[12]

Menurut Syeikh Ahmad Hutaibah (ulama daripada Iskandariah, Mesir) dalam Syarh Riyadhussolihin (14/13), yang ditanya adakah hadis ini memberikan kuasa mutlak kepada ibu untuk meminta anaknya menceraikan pasangannya, maka beliau menjawab: “Tidak, ibu dan bapanya tidak seperti Umar al-Khattab. Beliau mencintai Allah Azza wa Jalla, dan beliau mencintai sesiapa kerana Allah SWT. Jika beliau membenci nescaya bencinya kerana Allah SWT. Oleh itu, siapa yang (ibu bapanya) berkeperibadian seperti Umar, maka hendaklah ditaati dalam urusan ini.

Manakala kalau kita lihat dalam hadis Abi al-Darda’ bahawa seorang lelaki datang menemuinya[13] dan bertanya: “Aku ada isteri tetapi ibuku menyuruh aku mentalakkannya.”

Dalam hadis ini, lelaki itu meminta fatwa daripada Abu al-Darda’ RA tetang dia berkahwin dengan seorang perempuan yang tidak disukai oleh ibunya lalu mengarahkannya untuk menceraikannya. Namun Abu al-Darda’ bersikap meletakkan dirinya di pertengahan dalam isu ini, kerana ibu lelaki itu bukan seperti Umar. Abu al-Darda’ sebaliknya mengkhabarkan kepada orang yang bertanya itu hadis daripada Nabi SAW dan memintanya berfikir tentang keputusannya sendiri. Beliau berkata: Aku mendengan Rasulullah SAW bersabda: “Walid (ibu atau bapa) itu adalah pintu Syurga yang di pertengahan,” bererti cinta dan ketaatanmu kepada bapamu, memasukkanmu ke dalam Syurga melalui pintu Syurga yang paling tengah, maka ibu bapa itu adalah pintu yang paling luas untuk kau masuk ke dalam Syurga. Maka kata Abu al-Darda’: “Jika engkau inginkan, engkau abaikanlah pintu itu, atau jagalah ia.”

Cuba engkau perhatikan di sini, Abu al-Darda’ bersikap pertengahan dalam fatwanya. Dia tidak menyuruh untuk ceraikan.  Tidak juga berkata jangan ceraikan. Ini kerana ada kemungkinan bahawa ibunya betul pada sebab dia benci perempuan muda itu, maka menceraikannya adalah afdhal, mungkin ibu itu tersilap. Lalu beliau meletakkan kaedah, iaitu cintamu kepada ibu bapamu, serta sikap naik kepada ibu bapamu itu adalah pintu Syurga paling tengah. Jika engkau mampu, harmonikanlah antara isteri dan ibumu dan itu yang paling baik. Jika tidak mampu, maka menjadi tanggungjawabmu untuk mencari redha ibu bapamu, terhadap apa yang mereka redha daripada diri, dengan kadar kemampuanmu. Jika engkau tinggal dengan isterimu di rumah yang terdapat dalamnya ibu bapamu, sedangkan ibu bapamu tidak menyukai isteri, maka pindahlah ke tempatlain. Tetapi jika engkau merancang untuk kekal di sana bersama isterimu, maka jangan berbuat suatu yang menyakiti hati ibu akibat perbuatan isterimu, dan tidak perlu berpisah dan bercerai darinya. Itu boleh sahaja.

Cerai itu dibenci, tetapi seseorang insan apabila dia melihat isterinya menyakiti ibunya dan berdegil untuk tetap menghinanya, maka yang afdhal ialah menceraikannya; kerana isteri itu tidak layak bersamanya. Namun jika isteri itu tidak menyakiti sesiapa dan perbahalan itu berpunca daripada ibunya semata, maka asingkanlah mereka berdua. Cubalah menjadi bijak untuk menyelesaikan perbalahan mereka berdua. Kita tidak menyuruhnya untuk talak dan tidak pula kita berkata, “Kau marahlah ibumu dan kau tinggalkan dia” sehinga dia berasa tidak senang denganmu. Tetapi kita kata: “Jadilah orang yang sering berwaspada. Ketahuilah bahawa ihsan terhadap ibumu itu dan juga ayahmu adalah pintu Syurga paling tengah (atau luas) maka janganlah engkau abaikan pintu itu.” Binasanya seorang lelaki itu apabila dia bersama ibu bapanya pada waktu tua, tetapi mereka tidak memasukkannya ke dalam Syurga, seperti yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW.”

Imam Syihabuddin Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Daud (19/417) berkata: “Dikatakan bahawa manusia yang pertama menyuruh anaknya menceraikan isterinya ialah (Nabi) Ibrahim al-Khalil AS.[14] Salah satu contoh berbuat baik akan anak kepada bapanya ialah apabila dia membenci apa yang dibenci oleh bapanya, sekalipun jika dia mencintai sesuatu itu. Begitu juga sebahagian dalam perbuatan baik kepadanya, apabila seorang anak itu menyukai apa yang disukai oleh bapanya, sekalipun dia membencinya. Ini hanya berlaku kalau bapa itu adalah orang agama; yang menyintai dan membenci sesuatu kerana Allah; dan tidak merujuk kepada pengikut hawa nafsu…Antara (faedah) daripada hadis ini ialah bahawa sesungguhnya seorang anak itu apabila tidak mentaati bapanya, pada perkara yang disuruhnya, maka hendaklah meminta tolog untuk menyelesaikannya daripada hakim, atau salah seorang daripada pembesar negeri. Pada zahir hadis ini, hukum bahawa bapa apabila menyuruh anaknya untuk menceraikan isterinya maka wajib ke atas suami itu menceraikannya. Imam al-Ghazali telah menghikayatkan dari sebahagian besar ulama bahawa ketaatan kepada ibu bapa itu adalah wajib sekalipun pada urusan yang samar-samar, dan tidak wajib pada perkara yang haram secara asal, sehingga jika mereka berasa hati disebabkan engkau menjauhkan diri daripada mereka kerana tidak mahu makan (bahan syubhah) maka wajib untuk engkau makan bersama mereka, kerana meninggalkan syubhat ialah warak (sunat) dan redha ibu bapa itu adalah mesti (atau wajib).”

Para ulama berkata:

“Jika perkara itu diarahkan berpunca daripada kebodohan dan kelemahan akalnya, lalu dia menyuruh atau menegah anaknya, dengan suatu perintah yang tidak dianggap menyelisihinya pada uruf sebagai suatu bentuk penderhakaan, maka anak itu tidak dihukum fasiq kerana perbuatan menyelisihi ketika itu, kerana keuzurannya. Begitu juga jika seseorang itu berkahwin dengan perempuan yang dia sayang kemudian ibu bapanya menyuruhnya mentalakkan isterinya, sekalipun perempuan hilang iffahnya (berperangai tidak baik) maka apabila dia tidak mengikut kata-kata ibu ayahnya, itu tidaklah berdosa ke atasnya, berdasarkan hadis Abu Dzar RA yang akan diterangkan (berkenaan kelemahan sebagai pemimipin). Namun begitu, terdapat isyarat bahawa yang afdhal ialah menceraikannya untuk menepati arahan ibu ayahnya. Tentang kerara ini, disokong dengan hadis selepasnya bahawa Umar mengarahkan anaknya untuk menceraikan isterinya, lalu anaknya enggan, kemudian Umar menyebut perkara itu kepada Rasulullah SAW dan baginda menyuruh anak itu menceraikannya. Begitu jugalah hukumnya terhadap sekalian arahan ibu bapa yang tidak dapat difikirkan melainkan berpunca daripada lemahnya akal atau rendahnya ideanya, yang kalau kita bentang kepada orang-orang pandai nescaya akan menentangnya dengan bantahan-bantahan yang senang diterima, dan mereka akan berpendapat kalau anak itu berselisih dengan ibu itu bukanlah suatu bentuk tindakan menyakiti ibu bapanya.”[15]

Kesimpulannya ialah, tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa untuk cakna kebajikan anak mereka, sekalipun selepas berkahwin, sama ada anak lelaki atau perempuan. Menantu yang baik ialah orang yang menjaga hubungan dengan mertua dan menghormati pandangan mereka serta melayan mereka dengan baik.

Implikasi Memukul dan Menganiayai Pasangan

Isu yang kedua, berkenaan menantu yang suka memukul dan menganiayai anak perempuan. Maka kami katakan di sini, suami tidak mempunyai hak untuk memukul sehingga mencederakan isteri, apatalagi menganiayainya. Mendatangkan kecederaan dan menganiayai isteri memiliki implikasi dalam undang-undang persekutuan, dan undang-undang Syariah. Contohnya. Seksyen 52 Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. Seksyen itu memperuntukkan, antara lain;

(1) “Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu: lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

Ini menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan dan menganiayai isteri adalah darar Syarie yang mengharuskan tuntutan fasakh. Dalam masa yang sama, Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan dalam Seksyen 319 ke atas berkenaan kesalahan mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mana-mana orang. Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada ibu bapa untuk membuat laporan polis atau memberikan keselamatan dan perlindungan kepada anaknya, sama ada lelaki atau perempuan, yang dipukul, dicederakan dan dianiaya oleh pasangan.

Justeru, menjawab juga isu ketiga, adakah ibu bapa berdosa menyuruh anak mereka agar bercerai kerana wujud darar Syarie kepada anak tersebut jika masih mengekalkan hubungan perkahwinan dengan pasangannya, maka jawapannya juga adalah tidak berdosa.

Kami kuatkan jawapan kami dengan menukilkan perkara tersebut daripada kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie[16] karangan Syeikh Muhammad al-Zuhaili. Hukum talak itu berbeza mengikut keadaan dan situasi, kepada lima, iaitu:

Pertama, Wajib: Talak itu wajib pada dua keadaan; pada waktu Iila’ apabila sudah tamat. Maka suami itu diperintahkan untuk melaksanakan janjinya untuk bercerai…(kedua) pada keadaan berlaku syiqaq (perseteruan) antara suami isteri apabila keadaan menjadi sangat genting. Kemudia, kedua-dua hakam daripada kedua belah pihak berpendapat untuk berpisah, maka hukum talak menjadi wajib.

Kedua, Sunat: terdapat tiga keadaan;

  • Jika isteri tidak konsisten melaksanakan pergaulan yang baik dengan suaminya, dan berperangai buruk.
  • Suami cuai dalam memberikan hak isterinya kerana alasan benci atau selainnya. Firman Allah SWT:

فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ

Maksudnya: “maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik;”[17]Ini kerana jika dia tidak menceraikan isterinya ketika itu maka tidak ada jaminan bahawa tidak berlaku syiqaq, atau kerosakan rumahtangga dan pergaulan yang buruk, dan hilanglah tujuan-tujuan perkahwinan.

  • Jika isteri tidak menjaga kesucian dirinya, berdasarkan riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa seorang lelaki berjumpa Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya isteriku tidak menolak setiap tangan lelaki yang menyentuhnya, maka bersabda Nabi SAW: “Ceraikan dia.” Riwayat  al-Nasaie (3229). Ini kerana tidak ada jaminan kepada suami itu bahawa isterinya tidak akan merosakkan perkahwinan mereka dengan menasabkan anak zina kepada suaminya.

Ketiga, Makruh: Jika isteri ialah seorang yang konsisten menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Talak itu juga tidak dijustifikasi dengan sebab yang diharuskan Syarak, atau hanya alasan yang remeh, maka hendaklah suami itu menanggungnya, dan bersabar. Dia juga digalakkan untuk bersikap baik dengan isterinya sehingga dapat pahala dan ganjaran dari Allah SWT. Dalilnya ialah hadis:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah cerai.”[18]

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ، فَإِنَّ المَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Maksudnya: “Layanlah wanita dengan baik. Sesungguhnya wanita itu dicipta daripada tulang rusuk. Dan jika sesuatu dari tulang rusuk tersebut bengkok, dan engkau meluruskannya dengan paksaan maka engkau akan mematahkannya (atau menceraikannya, dalam riwayat yang lain). Kalau engkau membiarkan pula, maka akan terus bengkok. Maka layanlah wanita dengan baik.”[19]

Keempat, Harus: Jika terdapat sebab Syarie yang diterima maka hukumnya adalah diharuskan. Lebih utama ialah suami itu menanggungnya dan berkelakuan baik kepada isterinya. Balaslah keburukan dengan kebaikan, untuk menjaga keutuhan keluarga, dan kelangsunagn rumah tangga, kebajikan anak-anak dan hubungan persemendaan.

Kelima, Haram:  Hukum haram itu berbahagi kepada tiga:

  • Berlaku talak ketika haid
  • Berlaku talak semasa suci tetapi selepas persetubuhan
  • Berlaku talak dengan sebab yang zalim, seperti seorang lelaki yang berkahwin ramai, kemudian menceraikan salah seorang daripada isterinya sebelum sempat dia memperoleh bahagiannya untuk lelaki itu tinggal bersamanya.

Imam Abu Jaafar al-Tahawi mengulas berkenaan hadis Ibn Umar sebelum ini: “Hadis ini memiliki faedah yang menunjukkan bahawa menjadi hak seorang bapa ke atas anaknya untuk menjawab permintaannya. Begitu juga kepada ibunya maka lebih wajib dan mesti dibuat, kerana hak ibu ke atas anak melebihi hak ayah ke atas anak….Berkata Abu Ja’far: Tidak diharuskan ke atas ibu bapa untuk menyuruh anak dengan alasan yang dilarang oleh Allah untuk menceraikan isterinya. Ibu bapa hanya boleh menyuruh anaknya bercerai dengan alasan yang diharuskan Allah, bukan dengan alasan yang berlawanan dengannya.[20]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa ibu bapa mempunyai hak untuk menasihati anak-anak berkenaan urusan rumah tangga mereka, tertakluk kepada hukum-hukum yang diperuntukkan dalam Syariah Islam. Mereka juga bertangungjawab, sama seperti orang Islam yang lain, untuk melakukan amar makruf nahi mungkar apabila mereka melihat suatu jenayah dilakukan terhadap seseorang khususnya terhadap anak mereka sendiri.

Tidak dianggap sebagai berdosa apabila ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anak tentang hal rumah tangga. Malah apabila berlaku syiqaq antara suami isteri, ibu bapa kepada pasangan masing-masing berhak dilantik menjadi hakam yang bertindak sebagai orang tengah bagi mendamaikan pihak yang bertelagah; sama ada dengan cara menyelesaikan isu rumah tangga sehingga pasangan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing semula, atau membubarkan perkahwinan.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] (Surah al-Isra’: 23)

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932

[3] Lihat Tafsir al-Munir, 15/54

[4] Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

[5] (Surah Luqman: 15)

[6] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402

[7] Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2788-2789

[8] Riwayat al-Bukhari (5978)

[9] Surah al-Nisa’ (36)

[10] (Surah al-Isra’: 23)

[11] Riwayat al-Hakim (2798) dalam al-Mustadrak; RIwayat al-Nasaie (5631); Abu Daud (5138); al-Tirmidzi (1189) dan lain-lain. Berkata al-Tirmidzi hadis ini hasan sahih. Al-Dzahabi: “atas syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim.”

[12] Lihat mirqah al-Masobih, 7/3097

[13] Hadis tersebut diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Maksudnya: “Ibu bapa ialah pintu syurga yang paling tengah. Jika mahu, engkau boleh memilih untuk mensia-siakannya pintu itu, atau menjaganya dengan baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1900) dalam Sunan-nya. Kata beliau: “hadis ini sahih.”

[14] Hadis berkenaan hal ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no. 3364) dalam Sahihnya, dalam satu hadis yang panjang daripada Ibn Abbas R.Anhuma. Kami sebutkan di sini keratan darinya:

فَجَاءَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَمَا تَزَوَّجَ إِسْمَاعِيلُ يُطَالِعُ تَرِكَتَهُ، فَلَمْ يَجِدْ إِسْمَاعِيلَ، فَسَأَلَ امْرَأَتَهُ عَنْهُ فَقَالَتْ: خَرَجَ يَبْتَغِي لَنَا، ثُمَّ سَأَلَهَا عَنْ عَيْشِهِمْ وَهَيْئَتِهِمْ، فَقَالَتْ نَحْنُ بِشَرٍّ، نَحْنُ فِي ضِيقٍ وَشِدَّةٍ، فَشَكَتْ إِلَيْهِ، قَالَ: فَإِذَا جَاءَ زَوْجُكِ فَاقْرَئِي عَلَيْهِ السَّلاَمَ، وَقُولِي لَهُ يُغَيِّرْ عَتَبَةَ بَابِهِ، فَلَمَّا جَاءَ إِسْمَاعِيلُ كَأَنَّهُ آنَسَ شَيْئًا، فَقَالَ: هَلْ جَاءَكُمْ مِنْ أَحَدٍ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، جَاءَنَا شَيْخٌ كَذَا وَكَذَا، فَسَأَلَنَا عَنْكَ فَأَخْبَرْتُهُ، وَسَأَلَنِي كَيْفَ عَيْشُنَا، فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّا فِي جَهْدٍ وَشِدَّةٍ، قَالَ: فَهَلْ أَوْصَاكِ بِشَيْءٍ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، أَمَرَنِي أَنْ أَقْرَأَ عَلَيْكَ السَّلاَمَ، وَيَقُولُ غَيِّرْ عَتَبَةَ بَابِكَ، قَالَ: ذَاكِ أَبِي، وَقَدْ أَمَرَنِي أَنْ أُفَارِقَكِ، الحَقِي بِأَهْلِكِ، فَطَلَّقَهَا، وَتَزَوَّجَ مِنْهُمْ أُخْرَى، فَلَبِثَ عَنْهُمْ إِبْرَاهِيمُ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ أَتَاهُمْ بَعْدُ فَلَمْ يَجِدْهُ، فَدَخَلَ عَلَى [ص:144] امْرَأَتِهِ فَسَأَلَهَا عَنْهُ، فَقَالَتْ: خَرَجَ يَبْتَغِي لَنَا، قَالَ: كَيْفَ أَنْتُمْ؟ وَسَأَلَهَا عَنْ عَيْشِهِمْ وَهَيْئَتِهِمْ، فَقَالَتْ: نَحْنُ بِخَيْرٍ وَسَعَةٍ، وَأَثْنَتْ عَلَى اللَّهِ، فَقَالَ: مَا طَعَامُكُمْ؟ قَالَتِ اللَّحْمُ، قَالَ فَمَا شَرَابُكُمْ؟ قَالَتِ المَاءُ. قَالَ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي اللَّحْمِ وَالمَاءِ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ يَوْمَئِذٍ حَبٌّ، وَلَوْ كَانَ لَهُمْ دَعَا لَهُمْ فِيهِ». قَالَ: فَهُمَا لاَ يَخْلُو عَلَيْهِمَا أَحَدٌ بِغَيْرِ مَكَّةَ إِلَّا لَمْ يُوَافِقَاهُ، قَالَ: فَإِذَا جَاءَ زَوْجُكِ فَاقْرَئِي عَلَيْهِ السَّلاَمَ، وَمُرِيهِ يُثْبِتُ عَتَبَةَ بَابِهِ، فَلَمَّا جَاءَ إِسْمَاعِيلُ قَالَ: هَلْ أَتَاكُمْ مِنْ أَحَدٍ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، أَتَانَا شَيْخٌ حَسَنُ الهَيْئَةِ، وَأَثْنَتْ عَلَيْهِ، فَسَأَلَنِي عَنْكَ فَأَخْبَرْتُهُ، فَسَأَلَنِي كَيْفَ عَيْشُنَا فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّا بِخَيْرٍ، قَالَ: فَأَوْصَاكِ بِشَيْءٍ، قَالَتْ: نَعَمْ، هُوَ يَقْرَأُ عَلَيْكَ السَّلاَمَ، وَيَأْمُرُكَ أَنْ تُثْبِتَ عَتَبَةَ بَابِكَ، قَالَ: ذَاكِ أَبِي وَأَنْتِ العَتَبَةُ، أَمَرَنِي أَنْ أُمْسِكَكِ

Maksudnya: “Ibrahim datang setelah Isma’il bernikah untuk mencari tahu apa yang telah ditinggalkannya namun dia tidak menemukan Isma’il. Ibrahim bertanya tentang Isma’il kepada isterinya Isma’il. Isterinya menjawab; “Dia sedang pergi mencari nafkah untuk kami. Lalu Ibrahim bertanya tentang kehidupan dan keadaan mereka. Isteri Isma’il menjawab; “Kami mengalami banyak keburukan dan hidup kami sempit dan penuh penderitaan yang berat”. Isteri Isma’il mengadukan kehidupan yang dijalaninya bersama suaminya kepada Ibrahim. Ibrahim berkata; “Nanti apabila suami kamu datang sampaikan salam dariku dan katakan kepadanya agar mengubah daun pintu rumahnya”. Ketika Isma’il datang dia merasakan sesuatu lalu dia bertanya kepada isterinya; “Apakah ada orang yang datang kepadamu?”. Isterinya menjawab; “Ya. Tadi ada orang tua begini begini keadaannya datang kepada kami dan dia menanyakan kamu lalu aku terangkan dan dia bertanya kepadaku tentang keadaan kehidupan kita maka aku terangkan bahwa aku hidup dalam kepayahan dan penderitaan”. Isma’il bertanya; “Apakah orang itu ada memberi pesan kepadamu tentang sesuatu?”. Isterinya menjawab; “Ya. Dia memerintahkan aku agar aku menyampaikan salam darinya kepadamu dan berpesan agar kamu mengubah daun pintu rumah kamu”. Isma’il berkata; “Dialah ayahku dan sungguh dia telah memerintahkan aku untuk menceraikan kamu maka itu kembalilah kamu kepada keluargamu”. Maka Isma’il menceraikan isterinya. Kemudian Isma’il menikah lagi dengan seorang wanita lain dari kalangan penduduk itu lalu Ibrahim pergi lagi meninggalkan mereka dalam kurun waktu yang dikehendaki Allah dan setelah itu datang kembali untuk menemui mereka namun dia tidak mendapatkan Isma’il hingga akhirnya dia mendatangi isteri Isma’il lalu bertanya kepadanya tentang Isma’il. Isterinya menjawab; “Dia sedang pergi mencari nafkah untuk kami. Lalu Ibrahim bertanya lagi; “Bagaimana keadaan kalian”. Dia bertanya kepada isterinya Isma’il tentang kehidupan dan keadaan hidup mereka. Isterinya menjawab; “Kami selalu dalam keadaan baik-baik saja dan cukup”. Isteri Isma’il memuji Allah. Ibrahim bertanya; ‘Apa makanan kalian? ‘. Isteri Isma’il menjawab; “Daging”. Ibrahim bertanya lagi; “Apa minuman kalian? ‘. Isteri Isma’il menjawab; “Air”. Maka Ibrahim berdo’a: “Ya Allah, berkahilah mereka dalam daging dan air mereka”. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Saat itu tidak ada biji-bijian di Makkah dan seandainya ada tentu Ibrahim sudah mendo’akannya”. Dia berkata; “Dan dari doa Ibrahim tentang daging dan air itulah, tidak ada seorangpun selain penduduk Makkah yang mengeluh bila yang mereka dapati hanya daging dan air”. Ibrahim selanjutnya berkata; “Jika nanti suamimu datang, sampaikan salam dariku kepadanya dan perintahkanlah dia agar memperkokoh daun pintu rumahnya”. Ketika Isma’il datang, dia berkata: “Apakah ada orang yang datang kepadamu?”. Isterinya menjawab; “Ya. Tadi ada orang tua dengan penampilan sangat baik datang kepada kami”. Isterinya mengagumi Ibrahim. Dia bertanya kepadaku tentang kamu maka aku terangkan lalu dia bertanya kepadaku tentang keadaan hidup kita maka aku jawab bahawa aku dalam keadaan baik-baik saja”.”. Isma’il bertanya; “Apakah orang itu ada memberi pesan kepadamu tentang sesuatu?”. Isterinya menjawab; “Ya. Dia memerintahkan aku agar aku menyampaikan salam darinya kepadamu dan berpesan agar kamu mempertahankan daun pintu rumah kamu”. Isma’il berkata; “Dialah ayahku dan daun pintu yang dimaksud adalah kamu. Dia memerintahkanku untuk mempertahankan kamu”.

[15] Lihat al-Zawajir oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, 2/115

[16] 4/138

[17] Surah al-Talak: 2

[18] Riwayat al-Nasaie (14894) dan Abu Daud (2178)

[19] Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)

[20] Lihat Syarh Musykil al-Athar, 3/417

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *