#824: Daging Anjing

[ux_products]

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum makan daging anjing dan adakah benar terdapat pendapat dalam mazhab Maliki yang menghalalkan daging anjing? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Definisi anjing

Anjing ialah haiwan kesayangan yang popular di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 10,000 tahun dahulu, anjing menjadi haiwan yang pertama dijinakkan. Sepanjang masa tersebut, pembiak baka telah membiakkan beratus-ratus baka anjing untuk melakukan pelbagai tugas, dijadikan teman dan untuk menyenangkan mata manusia. Kebanyakan ahli sains percaya bahawa manusia prasejarah mulanya menghargai anjing sebagai anjing pengawal. Kemudian, manusia sedar bahawa anjing juga boleh digunakan untuk menggembala dan memburu haiwan-haiwan lain. Dalam masa ribuan tahun, baka seperti collie, comondor dan puli dibiakkan untuk menggembala biri-biri, kambing dan lembu. Hound, pointer retrievar, setter spaniel, dan terrier dibiakkan untuk pelbagai jenis pemburuan. Kecerdikan, kesetiaan dan kebolehan mengesan menjadikan anjing berguna kepada penggembala dan pemburu, dan juga untuk peranan-peranan lain. Misalnya, polis menggunakan anjing untuk mengesan penjenayah dan untuk menghidu dadah dan bahan letupan yang disembunyikan.

Kesemua baka anjing menjadi teman baik kepada manusia, dan banyak baka, termasuk anjing kecil, dibiakkan khususnya untuk tujuan ini. Anjing sebagai teman menyumbang kepada kesejahteraan seseorang. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa menepuk-nepuk anjing memperlahankan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah orang yang melakukannya. Anjing membantu orang cacat, memandu orang buta dan berfungsi sebagai “telinga” bagi orang pekak. Di samping itu, anjing juga menaikkan semangat pesakit di hospital dan di rumah penjagaan. Penyelidik perubatan juga menggunakan anjing dalam eksperimen untuk membantu menghasilkan ubat baru dan teknik pembedahan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang menganggap bahawa menggunakan anjing atau haiwan-haiwan lain dalam eksperimen makmal adalah kejam. Anjing juga menghiburkan manusia berabad-abad lamanya. Pada zaman dahulu, penonton suka membuat pertaruhan dalam perlawanan sesama anjing dan anjing dengan haiwan-haiwan lain seperti beruang, lembu jantan atau singa. Kini banyak negara mengharamkan perlawanan demikian. Hari ini, pertandingan seperti lumba anjing, pertandingan lapangan dan uji kesetiaan menarik ramai penonton. Anjing juga membuat persembahan di sarkas, di atas pentas, dalam filem dan televisyen.

Sesetengah baka anjing mempunyai rupa yang luar biasa. Misalnya, anjing tanpa bulu Mexico tidak mempunyai bulu di badannya melainkan beberapa jambak bulu di atas kepalanya. Kulit shar pei China adalah kendur dan berkedut. Kedutan ini begitu tebal hinggakan ia kadangkala menutupi mata anjing ini. Chow-chow mempunyai lidah berwarna biru hitam. Basenji adalah satu-satunya anjing yang tidak boleh menyalak, walaupun ia boleh mengeluarkan bunyi yodel. Anjing tergolong dalam famili Canidae, haiwan pemakan daging yang juga termasuk serigala, koyote, rubah, dan jackal. Anjing menyerupai haiwan-haiwan ini dari segi struktur badan dan kelakuan. Dingo di Australia dan haiwan tertentu yang tinggal di bahagian-bahagian lain di dunia, biasanya dirujuk sebagai anjing liar.[4]

Hukum daging anjing

Berbalik kepada soalan yang diajukan, majoriti ulama bahkan keseluruhannya berpendapat bahawa daging anjing adalah haram untuk dimakan. Dalam hal ini, Muhammad al-Amin al-Syanqiti menyebutkan bahawa memakan anjing adalah haram di sisi seluruh ulama. Walau bagaimanapun, terdapat pendapat yang sangat lemah yang dinukilkan daripada Imam Malik bahawa hukum memakannya adalah makruh.[5]

Begitu juga al-Dardir menyebutkan bahawa pendapat muktamad — yakni dalam mazhab Maliki — ialah anjing jinak makruh untuk dimakan. Namun, terdapat pendapat dalam mazhab yang menyatakan bahawa hukumnya adalah haram, dan tidak ada satu pendapat pun yang mengharuskannya untuk dimakan. Al-Dusuki dalam hasyiahnya menjelaskan lagi mengenai perkara ini bahawa hasil daripada penelitian al-Hattab disimpulkan terdapat dua pendapat dalam mazhab iaitu haram dan makruh. Ibn ‘Abd al-Bar mensahihkan pendapat yang mengharamkannya untuk dimakan. Lalu al-Hattab menyebutkan bahawa beliau berpendapat tidak ada dalam mazhab mereka yang menukilkan mengenai keharusan untuk memakan anjing.[6]

Kemudian, al-Amin al-Syanqiti menjelaskan, pendapat yang mengharamkannya ini adalah berdasarkan kepada banyak dalil. Di antaranya, anjing terdiri daripada haiwan yang memiliki taring — dan terdapat larangan bagi memakan setiap haiwan yang bertaring. Selain itu, di antara dalilnya, kalaulah diharuskan untuk memakannya, maka sudah tentu diharuskan juga untuk menjualnya. Akan tetapi terdapat riwayat daripada Abu Mas‘ud R.A, beliau berkata:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ

Maksudnya:Nabi SAW melarang daripada hasil jualan anjing, upah daripada tukang tilik dan mahar pelacur (upahnya).[7]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Rafi‘ bin Khadij dengan lafaz:

ثَمَنُ الكَلْبِ خَبِيثٌ

Maksudnya:Hasil jualan anjing adalah buruk.”[8]

Justeru, perkara itu — yakni merujuk kepada khabith (buruk) — terdapat nas yang mengharamkannya,[9] berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[10]

Selain daripada itu, pengharamkan daging anjing ini juga adalah disebabkan oleh kenajisannya. Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.[11]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[12]

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging anjing adalah haram untuk dimakan berdasarkan kepada dalil-dalil yang jelas menunjukkan kepada pengharamannya. Ini merupakan pendapat majoriti bahkan keseluruhan ulama. Adapun pendapat yang dinisbahkan kepada mazhab Maliki, yang menyatakan mengenai makruh memakannya ialah pendapat yang tersangat lemah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Amin al-Syanqiti. Bahkan Ibn ‘Abd al-Bar daripada kalangan ulama mazhab Maliki juga mensahihkan pendapat yang mengharamkannya untuk dimakan.

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[14]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H

 

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/622

[5] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 1/529.

[6] Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuki, 2/117.

[7] Riwayat al-Bukhari (5346)

[8] Riwayat Muslim (1568)

[9] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 1/529.

[10] Surah al-A‘raf: 157.

[11] Riwayat al-Nasa’i (66)

[12] Riwayat Muslim (279)

[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568.

[14] Surah al-A‘raf: 157

Latest articles

Related articles