Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah benar terdapat nas yang membenarkan untuk dibunuh haiwan-haiwan tertentu di dalam Islam? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Suruhan berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”[1]
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan.[2]
Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[3]
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”[4]
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”[5]
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya.[6]
Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”[7]
Bukan itu sahaja, bahkan ketika hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat baik kepada haiwan itu dengan mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”[8]
Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut.[9]
Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain.[10]
Haiwan yang harus dibunuh dalam Islam
Bagi menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat nas yang membenarkan umat Islam untuk membunuh haiwan-haiwan tertentu. Hal ini kerana sesetengah haiwan tersebut melakukan kerosakan, bahkan sehingga mengancam nyawa manusia. Di dalam nas, ia dipanggil sebagai haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”[11]
Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jamak “فُوَيْسِق” iaitu ‘si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan).’ Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia.[12] Tambahan lagi, perkataan ‘fasiq’ pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia.[13]
Selain itu, Ibn Daqiq al-‘Id turut menyebutkan bahawa nas tersebut mengandungi isyarat yang jelas bahawa dibolehkan untuk membunuh kelompok haiwan tertentu, kerana sifatnya yang fasiq yakni melampaui batas.[14] Di samping itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan.[15]
Begitu juga, lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana dalam nas hadith, tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk contoh dalam menyatakan jenis haiwan fasiq serta tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Hal ini kerana Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat yang lain.[16]
Tambahan pula, haiwan-haiwan fasiq yang dinyatakan itu, kesemuanya memiliki sifat zalim yang mengancam kesejahteraan hidup. Di dalam yang hadith yang lain, turut disebutkan dengan bilangan yang berbeza. Akan tetapi kesemuanya adalah bagi menunjukkan kesepakatan ulama berkenaan ‘illah sifat haiwan tersebut — yakni sebab yang membolehkan haiwan itu harus dibunuh — iaitu menyakiti, mengganggu, tidak bermanfaat dan suka melakukan kerosakan pada manusia.[17]
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sememangnya terdapat haiwan yang dibenarkan untuk dibunuh dalam Islam. Namun, keizinan tersebut adalah di atas ‘illah — yakni sebab-sebab — tertentu seperti sifatnya yang suka melakukan kerosakan, boleh mendatangkan bahaya bahkan sehingga mengancam nyawa manusia. Disebabkan oleh itu, ia dibenarkan dan diharuskan untuk dibunuh. Selain itu, ia juga boleh diqiaskan kepada haiwan lain yang boleh memberi bahaya kepada manusia seperti tebuan, lipan, labah-labah beracun, ular, buaya dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan sekalipun Islam memberi keizinan untuk membunuh haiwan-haiwan tersebut, akan tetapi bukanlah dengan cara menyeksanya. Hal ini kerana agama Islam juga menuntut penganutnya untuk bersikap ihsan terhadap haiwan. Justeru, pilihlah cara yang terbaik ketika membunuhnya yang boleh mematikannya dengan segera sebagaimana kita juga diperintahkan untuk menyembelih haiwan yang halal dimakan dengan cara yang terbaik. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[18]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Nahl: 90
[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447
[3] Riwayat al-Bukhari (5997)
[4] Surah al-Taubah: 128
[5] Surah al-Ma’idah: 13
[6] Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123.
[7] Riwayat al-Nasa’i (4349)
[8] Riwayat Muslim (1955)
[9] Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127.
[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92
[11] Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)
[12] Lihat Lisan al-Arab, 10/310.
[13] Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375.
[14] Lihat Fath al-Bari, 10/208.
[15] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/97.
[16] Lihat Fath al-Bari, 4/44.
[17] Lihat Syarh Sunan al-Nasa’i al-Musamma Zakhirah al-Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 24/390; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/184.
[18] Riwayat al-Bukhari (5997)