#837 Membunuh Cicak

[ux_products]

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah dibolehkan untuk membunuh cicak? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Cicak

Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies.[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, cicak ialah sejenis reptilia kecil, badan dan ekornya panjang serta memiliki empat kaki.[2] Takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ini lebih dekat dengan cicak sebagaimana yang dikenali oleh kita semua di Malaysia.

Dalam bahasa Arab cicak disebut sebagai “الوزغة” dan dikenali sebagai haiwan yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.[3]

Membunuh cicak

Mengenai hal ini, terdapat hadith yang memerintahkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk dalam jenis haiwan perosak (fuwaisiq), sebagaimana diperintahkan juga untuk membunuh haiwan fawasiq yang lain seperti ular, kala jengking dan lain-lain. Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jamak “فُوَيْسِق” iaitu ‘si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan).’ Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia.[4] Tambahan lagi, perkataan ‘fasiq’ pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia.[5]

Terdapat riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah R.Anha — isteri Nabi SAW — bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang cicak:

فُوَيْسِقٌ، وَلَمْ أَسْمَعْهُ أَمَرَ بِقَتْلِهِ

Maksudnya: “‘(Ia ialah) binatang perosak.’ Tetapi aku tidak mendengar Baginda memerintahkan untuk membunuhnya.”[6]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بقَتْلِ الوَزَغِ وَسَمّاهُ فُوَيْسِقًا

Maksudnya:Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan memanggilnya sebagai fuwaisiq — haiwan perosak.”[7]

Justeru, perintah untuk membunuhnya adalah disebabkan oleh gangguan dan kemudaratannya. Al-Damiri menjelaskan, memanggil cicak sebagai ‘fuwaisiq’, maka ia adalah sebanding dengan haiwan-haiwan perosak lima yang lain — sebagaimana yang disebutkan dalam hadith lain — yang diharuskan untuk membunuhnya sama ada di tanah halal mahupun tanah haram. Asal makna ‘al-Fisq’ ialah keluar. Maka, kesemua haiwan yang disebutkan ini telah terkeluar daripada sifat kebanyakan haiwan yang melata (hasyarat) dan seumpamanya, disebabkan oleh kemudaratan dan gangguan yang dibawanya.[8]

Selain itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik R.Anha bahawa:

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan bersabda: ‘Dahulunya cicak meniup api (untuk membakar) Nabi Ibrahim A.S.’[9]

Hadith ini menjelaskan berkenaan seburuk-buruk jenis haiwan ini dan kerosakannya, serta ia termasuk dalam jenis haiwan beracun yang memudaratkan. Menurut Ibn al-Malik, salah satu keinginannya adalah untuk merosakan makanan terutamanya garam. Sekiranya tiada jalan untuk ia merosakan makanan itu, maka ia akan naik ke atas bumbung, lalu membuang najisnya ke tempat bersebelahan makanan itu. Justeru, hadith ini bertujuan bagi menjelaskan bahawa tabiat semula jadinya yang buruk dan membawa kerosakan.[10] Selain daripada itu, lafaz “كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم” (yakni dahulunya cicak meniup api untuk membakar Nabi Ibrahim A.S) adalah bagi menunjukkan kepada kerosakan dan keburukan cicak itu dan bukannya semata-mata ‘illah (sebab) bagi membunuhnya. Tambahan lagi, al-Syarwani ada menyebutkan bahawa oleh kerana asalnya lahir daripada cicak yang meniup api bagi membakar Nabi Ibrahim, maka terbuktilah keburukan daripada jenis haiwan ini, sebagai menghormati Nabi Ibrahim.[11]

Di samping itu, di antara keburukannya juga adalah membuang najis ke dalam bekas. Lalu apabila ada orang yang menggunakan bekas itu, akan sangat tidak menyukainya.[12] Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menjelaskan mengenai sebab dibenarkan untuk membunuhnya iaitu ulama telah bersepakat bahawa cicak termasuk dalam jenis haiwan yang memudaratkan. Justeru, Nabi SAW memerintahkan untuk membunuhnya, di samping memberi galakan dalam hal tersebut kerana ia termasuk dalam haiwan yang memudaratkan kepada manusia.[13] Dalam hal ini terdapat riwayat daripada Abu Hurairah yang menyebutkan berkenaan ganjaran bagi sesiapa yang membunuh haiwan perosak, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ وَزَغَةً فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً، وَمَنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّانِيَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً، لِدُونِ الْأُولَى، وَإِنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّالِثَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً، لِدُونِ الثَّانِيَةِ

Maksudnya:Sesiapa yang membunuh cicak dengan pukulan yang pertama, baginya sekian pahala, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan kedua, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan pertama, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan ketiga, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan kedua.”[14]

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sememangnya terdapat perintah bahkan disunatkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk dalam jenis haiwan perosak yang mengganggu dan memudaratkan. Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan sekalipun Islam memberi keizinan untuk membunuhnya, akan tetapi bukanlah dengan cara menyeksanya. Hal ini kerana agama Islam juga menuntut penganutnya untuk bersikap ihsan terhadap haiwan. Justeru, pilihlah cara yang terbaik ketika membunuhnya yang boleh mematikannya dengan segera sebagaimana kita juga diperintahkan untuk menyembelih haiwan yang halal dimakan dengan cara yang terbaik. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[15]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

[1] Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/273.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cicak. Diakses pada 30 Disember 2021.

[3] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/544.

[4] Lihat Lisan al-Arab, 10/310.

[5] Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375.

[6] Riwayat al-Bukhari (1831)

[7] Riwayat Muslim (2238)

[8] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/546; lihat juga al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/237.

[9] Sahih al-Bukhari (3359)

[10] Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2671.

[11] Lihat Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 9/383.

[12] Lihat ‘Umdah al-Qari, 15/250.

[13] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/236.

[14] Riwayat Muslim (2240)

[15] Riwayat al-Bukhari (5997)

Latest articles

Related articles