#846 Maksud Mushaf Al-Quran

[ux_products]

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan mushaf al-Quran?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[1]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[2]

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.[3]

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.[4]

Maksud Mushaf al-Quran

Syeikh Muhammad bin Umar dalam mendefinisikan maksud al-mushaf menyatakan: Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.[5]

Menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyahal-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT antara dua kulit. Mushaf pula adalah apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Quran atau apa yang disebut sebagai mushaf secara uruf atau ditulis padanya sedikit ayat al-Quran seperti hizib.[6]

Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya, iaitu apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah dipermukaan bumi. Jika sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air maka ia bukanlah sebagai tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi.[7]

Justeru, Ia dikira mushaf sekiranya apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Qur’an, atau ia yang dikenali sebagai mushaf secara uruf dan adat, walaupun ia ayatnya sikit seperti 1 hizb sepertimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi ataupun kurang daripada itu, seperti kertas yang mengandungi beberapa surah al-Quran, papan, atau tempat yang bertulis. [8]

Al-Kasani menyatakan: “Dan dikatakan bahawa al-Quran itu mushaf. Hal ini kerana ia telah dikumpulkan daripada pelbagai lembaran daripada tangan para Sahabat, dan dikatakan: Kerana ia mengumpulkan dan memuatkan – secara ringkasan- semua yang ada dalam kitab para nabi dan lembaran mereka secara tidak terperinci”. [9]

Perbezaan antara Mushaf dan Al-Quran

Daripada sudut perbahasan bahasa bagi lafaz “Quran” dan lafaz “Mushaf”, dan apa yang didefinisikan berkenaannya, Dapat difahami perbezaan antara al-Quran dan Mushaf, iaitu:

Mushaf ialah nama bagi apa yang ditulis padanya ayat-ayat al-Quran, yang digabungkan dan dikumpulkan antara dua kulit buku, Manakala al-Quran ialah nama bagi Kalam Allah yang tertulis di dalam Mushaf.[10]

Selain itu, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mashaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai wudhu’ serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit.[11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa mushaf bermaksud apa yang ditulis padanya al-Quran secara keseluruhan ataupun sebahagiannya secara juzuk ataupun hizib.

Kami menutup perbincangan ini dengan hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

 Maksudnya: Sebaik-baik daripada kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarnya.[12]

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam syarahnya: Orang yang belajar al-Quran mendapat kebaikan walaupun tidak mengajarkannya. Namun, orang yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain mendapat kebaikan lebih banyak kerana mendapat manfaat sebagai (guru) yang diikuti.[13]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

[1] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[2] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[3] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[4] Riwayat Muslim (804)

[5] Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 32

[6] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/5

[7] Lihat Hasyiah al-Bujairimi al-Khatib, 3/498

[8] Lihat Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 1/125 dan Hasyiah al-Qalyubi ‘ala Minhaj al-Talibin, 1/35

[9] Lihat Basair Dzawi al-Tamyiz fi Lataif al-Kitab al-Aziz, 1/87

[10] Lihat Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Sharaie’, 3/8-9

[11] Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran JAKIM, hlm. 7

[12] Riwayat al-Bukhari (5027), dan Abu Dawud (1452)

[13] Lihat Fath al-Bari, 9/76

Latest articles

Related articles