#851 Daging Babi Tiruan

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging babi tiruan (fake pork) yang dihasilkan daripada bahan-bahan halal yang langsung tidak mengandungi babi, tetapi menyerupai daging babi asal (real pork), dari segi rasa, bau dan warna dagingnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya,[1] berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.[2]

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya.[3] Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci.[4]

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.”[5]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[6]

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[7]

Pengharaman daging babi

Begitu juga, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih.[8] Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[9]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[10] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’[11]

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya.[12]

Hukum daging babi tiruan (fake pork)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika suatu makanan itu adalah bersumberkan daripada bahan-bahan yang halal dan tidak ada sebarang bahan yang bernajis mahupun tidak halal digunakan, maka makanan itu dihukumkan sebagai halal dan diharuskan untuk memakannya. Hal ini adalah sebagaimana daging tiruan yang dibuat daripada kacang soya atau kacang hijau, bagi memenuhi permintaan vegetarian yang ingin merasai bagaimana rasa daging yang sebenar.

Justeru, ‘daging babi tiruan’ yang dihasilkan daripada bahan-bahan yang halal secara asasnya adalah halal kerana ia bukanlah babi yang sebenar, bahkan langsung tidak berkaitan dengan babi. Meskipun begitu, dalam isu ini, kita juga hendaklah melihatnya dari skop yang lebih luas dan pelbagai. Maka, atas dasar itu, kami tetap berpendapat bahawa daging babi tiruan (fake pork) adalah haram dimakan sekalipun bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal. Bagi hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘  iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati produk berasaskan babi iaitu dengan merasa ‘daging babi tiruan’ halal. Perkara ini seterusnya boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan memakan daging babi sebenar (real pork) dengan sangkaan ia ialah daging babi tiruan (fake pork).

Selain daripada itu, daging babi tiruan tersebut berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan daging babi sebenar, memakan daging tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan memakan daging babi atau perkara-perkara yang diharamkan di dalam agama. Tambahan lagi, dalam kalangan ulama ada menyebutkan beberapa perkara, yang mana orang kafir zimmi tidak boleh menzahirkannya kepada orang Islam. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa termasuk dalam perkara yang ditegah adalah menzahirkan kemungkaran dalam kalangan orang Islam seperti arak, babi dan loceng gereja. Menurut beliau lagi, di antara sebab perkara-perkara itu ditegah adalah kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkaran yang lain. Selain itu, perkara yang turut dilarang sama sekali dan tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran.[13]

Di samping itu, umat Islam juga diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya. Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam kalangan mereka.[14]

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.[15]

Oleh itu, perbuatan memakan daging babi adalah perbuatan dan makanan biasa yang dimakan oleh orang kafir. Sedangkan daging babi itu pula jelas dilarang dalam agama Islam berdasarkan nas al-Quran. Justeru, umat Islam dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang memakan daging babi.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa memakan daging babi tiruan (fake pork) adalah diharamkan sekalipun bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal. Dalam hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘  iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakan mendekati produk berasaskan babi iaitu dengan merasa ‘daging babi tiruan’ halal. Perkara ini seterusnya boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan memakan daging babi sebenar (real pork) dengan sangkaan ia ialah daging babi tiruan (fake pork).

Selain daripada itu, kita juga sama sekali tidak boleh melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan daging babi khususnya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dengan label ‘daging babi halal’. Perbuatan itu hanya akan menimbulkan lagi kekeliruan, di samping menyentuh sensitiviti umat Islam. Jadilah seorang pengguna Muslim yang bijak dengan menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Lebih-lebih lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti daging babi. Terdapat riwayat daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan, kerana sesungguhnya kebenaran itu ialah suatu ketenangan dan dusta itu pula ialah suatu keraguan.”[16]

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[17]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[1] Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685.

[2] Surah al-Baqarah: 29

[3] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.

[4] Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685.

[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125.

[6] Surah al-Baqarah: 168

[7] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[8] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302.

[9] Surah al-Ma’idah: 3

[10] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.

[11] Surah al-An‘am: 145

[12] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141.

[13] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/301.

[14] Riwayat Abu Daud (4031)

[15] Lihat Subul al-Salam, 4/175.

[16] Riwayat al-Tirmizi (2518); Ahmad (1723)

[17] Surah al-A‘raf: 157

Latest articles

Related articles