#860: Aminkan Doa Khutbah Jumaat dengan Kuat

-43%
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
-25%

Inspirasi Kehidupan

Inilah Doaku

Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-25%
Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum mengaminkan bacaan doa imam dengan kuat semasa khutbah? Dan apakah kita dituntut melakukannya? Serta adakah kita perlu mengangkat tangan semasa doa tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, mengaminkan doa ketika khutbah Jumaat adalah dibolehkan, tetapi hendaklah dilakukan dengan suara yang perlahan.

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman Ibn Soleh Ali Bassam menyebut: “Bahawa mengaminkan do’a khatib itu dibolehkan.” [1]

Begitu juga dalam kalangan al-Malikiyah, mereka berpendapat bahawa disunnahkan untuk mengaminkan khatib ketika berdo’a akan tetapi dengan suara perlahan. Jika dikuatkan, maka hukumnya makruh dan menjadi haram jika perkara itu dilakukan berkali-kali. [2]

Al-Hanabilah juga membolehkan untuk mengaminkan do’a khatib semasa khutbah, dengan tanpa meninggikan suara, kerana do’a menurut mereka adalah tidak termasuk dalam rukun khutbah. [3]

Kami berpendapat bahawa dibolehkan mengaminkan ketika imam berdoa semasa khutbah Jumaat kerana termasuk dalam umum perintah untuk mengaminkan doa. Antara hujahnya adalah seperti disebut oleh Syeikh Bakar Abu Zaid yang menyebut dalam Tashih al-Du’a bahawa mengaminkan termasuk dalam khususiyyat atau keistimewaan umat ini. Hal ini berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ قَوْمٌ حُسَّدٌ ، وَهُمْ لَا يَحْسُدُونَا عَلَى شَيْءٍ كَمَا يَحْسُدُونَا عَلَى السَّلَامِ ، وَعَلَى آمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi kaum yang penuh dengan hasad dengki dan mereka tidak berhasad dengki kepada kami lebih daripada mereka berhasad dengki dalam isu amalan salam dan doa dengan amin.” [4]

Menadah Tangan Ketika Doa Khutbah Kedua Jumaat

Berkenaan dengan soalan di atas, masalah ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama’. Syeikh Abdul Aziz dalam Fatawa Islamiyyah berpendapat bahawa tidak disyariatkan untuk mengangkat kedua tangan ketika khutbah Jumaat, sama ada imam atau makmum, kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-Rasyidin.

Tetapi ketika doa minta hujan di dalam khutbah Jumaat, Nabi SAW mengangkat tangan. Beliau juga berkata: “Begitu juga perbuatan makmum mengaminkan doa imam, aku tidak mengetahui tegahannya jika tanpa mengangkat suara. Tetapi zahir hadis berkenaan dengan doa bahawa ianya disunatkan mengangkat tangan dan mengaminkannya. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ رَبَّكُم تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَييٌّ كَرِيْمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إلَيهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi Mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi-Nya permintaan itu.” [5]

Begitu juga kita digalakkan untuk berdoa pada hari dan malam Jumaat. Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili melalui kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata: “Maka diharap dibanyakkan untuk berdoa bertepatan dengan waktu maqbul diperkenankan doa, di mana Rasulullah SAW menyebutnya pada hari Jumaat.”

Antara lain, Rasulullah SAW bersabda:

فِيهِ سَاعَةٌ لاَيُوَافِقُهَا عَبدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللهَ تَعَالىَ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا. وَفي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: وَهِيَ سَاعَةٌ خَفِيْفَةٌ.

Maksudnya: “Padanya terdapat satu waktu seseorang hamba Muslim ketika dalam keadaan berdiri solat memohon sesuatu kepada Allah SWT, kecuali dikurniakannya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya menunjukkan bahawa masanya sedikit. Dalam riwayat Muslim: Ia adalah waktu yang singkat.” [6]

Berdasarkan kepada hal ini, kami berpendapat bahawa boleh mengangkat tangan dan mengaminkan doa imam secara perlahan kerana ia diharap untuk dimustajabkan Tuhan. Ini berdasarkan kepada beberapa adab doa, Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ الرَّجُلُ إِذَا أَسْلَمَ عَلَّمَهُ النَّبِيُّ الصَّلاَةَ ثُمَّ أَمَرَهُ أَنْ يَدْعُوَ هَؤُلاَءِ الكَلِمَاتِ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي. وَفِي رِوَايَةٍ: وَيَجْمَعُ أَصَابِعَهُ إِلاَّ الإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلاَءِ تَجْمَعُ لكَ دُنْياَكَ وَآخِرَتَكَ.

Maksudnya“Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi SAW akan mengajarnya bersolat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut: ‘Ya Allah ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, berikanlah hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan kurniakanlah rezeki kepadaku.’ Dalam riwayat yang lain: Baginda merapatkan jari-jarinya kecuali ibu jari. Kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.” [7]

Berkenaan dengan menyapu muka dengan dua tangan selepas berdoa, sebahagian ulama mengatakan ia digalakkan berdasarkan beberapa hadith.

Antaranya hadith Ibn Abbas RA berkata: “Apabila kamu memohon kepada Allah SWT, mohonlah dengan tapak-tapak tangan kamu dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tanganmu.”[8]

Dalil lain, diriwayatkan bahawa al-Saaib bin Yazid menceritakan bapanya telah memberitahu bahawa apabila berdoa, Baginda SAW menadah kedua-dua belah tangannya, Baginda SAW akan menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan tersebut.[9]

Dalil lain, Umar bin al-Khattab RA menceritakan, apabila Baginda SAW mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk berdoa, Baginda SAW tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua-dua belah tangan tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi.[10]

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehkan mengaminkan ketika imam berdoa semasa khutbah Jumaat kerana termasuk dalam umum perintah untuk mengaminkan doa. Meskipun begitu, kami berpendapat bahawa boleh mengangkat tangan dan boleh mengaminkan tetapi dilakukan dengan suara yang perlahan. Manakala menyapu dua tangan ke muka selepas selesai berdoa, ia digalakkan oleh sebahagian ulama, tetapi tidak ada hadis sahih yang menyokongnya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat Taisir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 2/323

[2] Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah oleh Abd al-Rahman al-Jaziri, 1/360

[3] Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, 1/362

[4] Riwayat Al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (988), Ibn Khuzaimah (574), Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (2649)

[5] Riwayat Abu Daud (1490), al-Tirmizi (3556), al-Baihaqi (2965), dan Ibn Hibban (876). Kata al-Tirmizi, “Hadis ini hasan gharib.

[6] Riwayat al-Bukhari (893) dan Muslim (852)

[7] Riwayat Muslim (2697)

[8] Riwayat Ibn Majah (3866). Hadith ini dhaif kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan, yang dihukum munkar al-hadith oleh al-Bukhari. Abu Hatim menghukum hadith ini sebagai munkar. (Lihat al-`Ilal 2/351)

[9] Riwayat Ahmad (17943) dan Abu Daud (1494). Kata al-Zaila’ie dalam Nasb al-Rayah (3/43), “Ada kecacatan kerana terdapat Ibn Lahi’ah.”

[10] Lihat Sunan al-Tirmizi (no. 3386) dan beliau mendhaifkannya. Ibn al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah, (2/838) menilai hadith ini tidak sahih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *